Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘teladan hidup’ Category

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Alhamdulilah segala puji hanyalah bagi Allah tuhan sekalian alam…

“Al-Quran..oooo…oooo..Kalamullah”

Apa yang ingin dibanggakan dengan khatam Al-Quran?

Sememangnya diketahui  menghabiskan bacaan Al-Quran keseluruhanya di dalam bulan Ramadhan adalah digalakkan bahkan pahalanya berganda-ganda ditambah pula dengan kiraan pahala bacaanya berdasarkan huruf-huruf yang dibaca seperti yang dikatakan di dalam hadith Abdullah Bin Mas’ud riwayat At-Tirmizi dengan nilaian hasan sahih itu.

Tidak dinafikan bahawa secara umumnya si pembaca mendapat segala janjian Allah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih yang berupa pahala yang berganda, mendapat syafaat, ditinggikan darjat, mendapat ketenangan dan sebagainya apabila membacanya dan lebih-lebih lagi apabila mampu mengkhatamkanya.

Namun apa yang berlaku adalah keghairahan sesetengah orang yang terlalu ingin mengejar khatam Al-Quran lalu tergopoh-gapah membacanya dan apabila selesai membacanya sebanyak dua juzuk atau lebih mereka mengumpat hal orang lain, mereka memandang perkara yang diharamkan oleh Allah, dan masih tergamak melakukan maksiat lagi sedangkan baru sahaja melakukan ketaatan?!

Begitu juga masih liat hatinya untuk bersedeqah, masih belum dapat mengimani bahawa hukuman Allah menjadi penyelesaian aktiviti jenayah, dan masih teraba-raba mencari penyelesaian selain kata-kata Allah sedangkan mereka membaca Al-Quran di waktu pagi dan petang?!

Begitu juga para penuntut ilmu dan ustaz serta ustazah bahkan para hafiz dan hafizah masih suka menyindir dan menempelak orang lain yang tidak sependapat dengan mereka, meremehkan orang yang jahil, kesukaan berdebat dan memaki hamun orang lain dan berakhlaq bukan seperti anjuran Al-Quran sedangkan mereka mempelajari dan menghafaznya bertahun-tahun?!!

Di manakah silapnya para pembaca Al-Quran ini?!

Silapnya adalah mereka terlupa untuk memahami tujuan utama penurunan kitab suci ini, yang mana telah dinyatakan di dalam surah yang terawal sekali bahawa kitab suci ini menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa, menunjukkan anda jalan supaya segala larangan Allah dijauhi, dan cara untuk mendapat petunjuk dan menjauhi segala larangan Allah adalah tidak cukup dengan anda hanya membacanya secara membuta tuli dan dengan perasaan ingin cepat khatam tetapi disana adanya juga galakkan untuk  memahami apakah yang sebenarnya ingin Allah sampaikan dan mengetahui apakah perkara yang Allah larangi.

Mereka bangga kerana mampu khatam kurang 30 hari…tetapi mereka tidak rasa bersalah apabila berakhlaq buruk dan menolak hukum Allah berhari-hari!

Ya, anda menang dari sudut mampu menghabiskan masa kosong anda dengan membacanya, anda menang dari sudut mendapat pahala yang berganda dan segala janjian Allah terhadap pembacanya tetapi anda kalah dari sudut menjadikan kata-kata Allah sebagai azimat mendepani kehidupan dunia yang penuh cabaran, anda gagal untuk berhenti melakukan perkara yang Allah larangi kerana takutkan Allah disebabkan anda tiada sandaran untuk berbuat demikian!

Bacaan Al-Quran tanpa memahami apa yang ingin Allah sampaikan adalah kosong daripada ruh Al-Quran, umpama membaca buku-buku ilmiah dan teori-teori manusia tetapi tidak mampu menggunakanya di dalam kehidupan seharian kerana tidak memahaminya.

 

Menjadi ‘abid atau menjadi orang ‘alim?

“Nak jadi ‘abid semata-mata?….Aku mahu menjadi ‘alim!”

            Seseorang yang membaca Al-Quran kerana mengharapkan pahala semata-mata adalah seperti seorang ‘abid (orang yang banyak melakukan ibadah) tetapi dia tidak tahu pun apakah ibadahnya mengikut sunnah baginda rasul atau tidak, dan orang yang membaca Al-Quran dan cuba memahaminya serta mengkajinya adalah seperti penuntut ilmu yang mana ikan di lautan pun meminta ampun terhadap dosa-dosanya bahkan darjatnya lebih tinggi daripada seorang ‘abid :

من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له طريقا إلى الجنة وإن الملائكة لتضع أجنحتها رضا لطالب العلم وإن طالب العلم يستغفر له من في السماء والأرض حتى الحيتان في الماء وإن فضل العالم على العابد كفضل القمر على سائر الكواكب إن العلماء ورثة الأنبياء إن الأنبياء لم يورثوا دينارا ولا درهما إنما ورثوا العلم فمن أخذه أخذ بحظ وافر

Bermaksud : Sesiapa yang menyusuri jalan menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga, dan para malaikat akan menghamparkan sayapnya kerana redha dengan penuntut ilmu, dan sesungguhnya setiap yang berada di langit dan di bumi sehinggakan ikan di laut pun akan memohon keampunan kepada si penuntut ilmu, dan orang yang berilmu adalah lebih tinggi darjatnya daripada seorang ‘abid seperti bulan yang lebih besar daripada sekalian bebintang, sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar juga dirham tetapi mewariskan ilmu, sesiapa yang mengambilnya, dia telah mengambil suatu keuntungan yang besar (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmizi dan telah disahihkan oleh Imamuna Al-Albani)

Apakah anda hanya ingin menjadi seorang ‘abid semata-mata yang mengharapkan pahala sahaja atau anda ingin menjadi seorang penuntut ilmu? Orang yang bijak ialah orang yang menggabungkan segala kebaikkan dan bukanya berfikir-fikir untuk mengorbankan salah satunya. Maka jadilah kedua-duanya adalah langkah yang bijak, dan untuk menjadi orang yang bijak anda perlu bekerja keras!

 

Apakah tujuanya?!

“Syeikhuna Al-Allamah Soleh Uthaimen..Aku menyayangimu kerana Allah”

            Dinyatakan di dalam kitab : Syarhu Muqaddimati Fi Usulit Tafsir oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullahu taala dan disyarahkan oleh Fadhilatus Syeikh Al-Allamah Muhammad Bin Soleh Al-‘Utsaimeen bahawa Al-Quran itu diturunkan kerana tiga tujuan :

  1. Membacanya sebagai ibadah
  2. Memahami maknanya
  3. Mempraktikkanya di dalam kehidupan seharian. (Rujuk : Syarhu Muqaddimati Fi Usulit Tafsir cetakkan Dar Ibnul Jauzi m/s : 7)

Dari membacanya kepada memahaminya seterusnya bergerak mengamalkanya hasil pemahaman yang dipelajari adalah sebab utama kitab suci ini diturunkan, anda mampu mengamalkanya kerana anda baca dan anda faham! Itu sifirnya!

Dan jalan para Salafussoleh ridhwanullahi alaihim ‘ajmain adalah yang terbaik untuk diikuti, mereka dahulunya apabila diajari oleh baginda rasulullah sallallahu alaihi wassalam sepuluh ayat-ayat Al-Quran, mereka tidak akan tergesa-gesa meminta baginda mengajarkan sepuluh ayat seterusnya jika mereka belum mengamalkan ayat yang telah mereka dipelajari, maka Al-Quran yang berada di dalam dada para sahabat adalah berupa bacaan, hafazan dan amalan sekaligus walaupun hanya beberapa ayat sahaja yang diketahui sesetengah mereka.

Abdullah Ibnu Umar ‘terlalu lambat’ mempelajari surah Al-Baqarah selama 8 tahun lamanya kerana sibuk mengamalkanya, Umar radiallahu anhu mempelajari surah Al-Baqarah pula selama 12 tahun lamanya dan apabila habis mempelajarinya beliau menyembelih seekor unta kerana bersyukur mempelajarinya dan ‘berjihad’ untuk mengamalkanya, Abdullah Ibnu Mas’ud pernah mengeluh kesusahan kerana sukar untuk menghafaz Al-Quran tetapi beliau merasakan adalah lebih senang untuk mengamalkan ayat yang difahaminya.

Sesungguhnya Allah memberikan golongan Salafusoleh keringanan untuk mengamalkan ayat yang dipelajari kerana mereka bergerak untuk menghayati, mereka tidak risaukan tentang berapa banyak ayat yang belum dibaca dan dihafaz, tetapi apa yang berlegar di kepala mereka adalah berapa banyakkah ayat yang belum diamal  seperti yang dilafaz.

 

Contoh-contoh aplikasi

 

Ketika Allah menurunkan ayat ini :

Bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya (Al-Maidah : 90)

Anas Bin Malik radiallahu anhu berkata bahawa : “Ketika aku sedang mengedarkan gelas-gelas yang berisi arak kepada Abu Thalhah, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Muaz Bin Jabal, Suhail Bin Baidha’ dan kepada Abu Dujanah, mereka meminumnya sehingga mabuk hasil perahan campuran tamar yang muda dan tamar yang kering, tiba-tiba aku terdengar seseorang berkata : Sesungguhnya ayat pengharaman arak telah diturunkan! Lalu kami terus memecahkan gelas yang diminum, memecahkan terus balang-balang yang berisi arak dan ada yang terus berwudhuk bahkan ada yang terus mandi dan memakai minyak wangi lalu terus menuju ke masjid, lalu kami mendengar baginda nabi sallallahu alaihi wassalam membaca ayat ini (Al-Maidah : 90)” (Rujuk : Tafsir Al-Quranil Azim oleh Ibnu Katsir jilid : 3 m/s : 182)

 

Ketika Allah menurunkan ayat ini juga :

Bermaksud : Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi (Ali-Imran : 92)

Anas Bin Malik pernah berkata : Sesungguhnya Abu Thalhah merupakan orang Ansar yang paling banyak hartanya di Madinah, dan hartanya yang paling disayanginya ialah sebuah kebun di tempat yang bernama Bairaha’ dan kebun tersebut berdepan dengan masjid, dan baginda nabi sallallahu alaihi wassalam pernah memasukinya dan pernah minum air di kebun tersebut yang sejuk, dan apabila turun ayat ini Abu Thalhah telah berkata kepada baginda nabi : “Wahai nabi, Allah telah berkata bahawa seseorang tidak akan mendapat kebaikkan jika dia belum mendermakan harta yang disayanginya, dan harta yang aku sayangi adalah Bairaha’ ini, dengan ini aku dermakan Bairaha’ ini dan inginkan pahala daripada Allah! Maka lakukanlah apa yang kamu sukai dengan kebun ini! Lalu baginda nabi sangat kagum dan berkata : harta yang banyak, harta yang banyak, aku rasakan supaya kamu dermakan kepada kaum keluargamu, lalu beliau terus membahagikanya kepada kaum keluarganya (Riwayat Bukhari dan Muslim, Rujuk : Tafsir Al-Quranil Azim oleh Ibnu Katsir jilid 2 m/s : 73)

 

Begitu juga dengan ayat ini :

Bermaksud : Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab neraka (At-Thur : 27)

‘Ibad Ibnu Hazimah berkata : Aku pernah masuk berjumpa dengan Asma’ Bintu Abi Bakar dan ketika beliau sedang membaca ayat ini beliau terus berhenti lalu berdoa dan meminta perlindungan kepada Allah, lalu aku pun pergi ke pasar untuk membeli barang keperluanku dan selepas aku balik aku melihat beliau masih lagi mengangkat tangan dan masih terus berdoa.

 

Ketika ayat ini pula diturunkan :

Bermaksud : Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? (Al-Baqarah : 245)

Apabila turunya ayat ini, Abu Dahdah radiallahu anhu bertanya kepada rasulullah sallallahu alaihi wassalam :

“Wahai rasulullah, apakah Allah inginkan pinjaman daripada kita?”

Baginda menjawab : “Ya wahai Aba Dahdah”

Beliau berkata : “Hulurkanlah tanganmu wahai rasulullah”

Lalu baginda pun menghulurkan tangan baginda yang mulia, lalu beliau berkata :

“Sesungguhnya aku ingin ‘meminjamkan’ kepada Allah kebunku ini yang mana ianya ditanami dengan 600 batang tamar dan keluargaku pun berada di dalamnya”

Lalu beliau pun memanggil isterinya seraya berkata dengan penuh slumber :

“Keluarlah wahai Ummu Dahdah bersama anak-anak kita daripada kebun ini kerana aku telah mendermakanya ke jalan Allah!” (Riwayat Ibnu Mardaweih daripada Abdur Rahman Bin Zaid Bin Aslam daripada bapanya daripada Umar secara Marfu’ dan riwayat Ath-Thobrani di dalam Al-Kabir dengan sanad yang lemah tetapi adanya syawahid daripada riwayat Anas dan Umar radiallahu anhuma)

 

Begitu juga dengan ayat ini :

Bermaksud : ….Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka (An-Nur : 31)

Aisyah radiallahu anha pernah berkata bahawa apabila turunya ayat ini para wanita Muhajirin terus mengoyakkan kain-kain yang mereka ada dan terus memakaikanya di kepala! (Hadith bernombor 4758 di dalam Sahihul Bukhari)

Dan beliau juga pernah menyatakan bahawa belum pernah aku melihat orang yang paling beriman dengan Kitabullah seperti wanita Ansar, apabila turunya ayat ini para lelaki mereka bergegas membacakanya kepada kaum kerabat, suku-sakat, saudara-mara mereka dan wanita-wanita mereka, lalu wanita-wanita tersebut pun bergegas mengambil kain yang labuh lalu menutupi kepala mereka seolah-olah burung gagak duduk di atas kepala mereka bermakna semuanya sedondon bertudung litup dengan warna hitam (Riwayat Imam Bukhari dan  Abu Daud, nilaian Hasan Li Ghairihi kerana di dalamnya ada Muslim Bin Khalid Az-Zinji yang lemah dari sudut hafazanya tetapi tsiqah)

Subhanallah!! Apakah yang telah membuatkan mereka begitu cepat dan bergegas mengamalkan suruhan Allah di dalam Al-Quran ketika ia masih ‘panas-panas’ baru diturunkan?!

Ya, keimanan mereka terhadap Allah…bagaimana? Kerana mereka menghayatinya…bagaimana?…kerana mereka memahaminya!! Maka mereka mampu menjadi baik selepas membaca Al-Quran! Subhanallah…

 

Berfikir-fikir…

“What Are you sinking??”

            Aku berfikir-fikir, jikalau aku berada di zaman para sahabat dengan baginda nabi berdekatan apakah aku boleh menjadi secepat mereka mengamalkan suruhan Allah dengan keadaan aku yang lebih banyak senang dari kesusahan?

Maka inilah jawapan aku kepada ramai orang yang bertanya bagaimana ingin terus menjadi baik walaupun baru sahaja berbuat baik…membaca Al-Quran bersama tafsir dan berusaha memahaminya tanpa membacanya sahaja tak faham maknanya, insyallah anda akan menjadi baik! Selamat beramal!

 

Daud Bin Dalib At-Tetouani

Taman Maju, Jasin, Melaka

24 Ramadhan 1433H

7:02 PM

Advertisements

Read Full Post »

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Alhamdulilah segala puji hanyalah bagi Allah tuhan sekalian alam…

“Bacalah Al-Quran…fahamilah ia”

Apakah Al-Quran berbicara tentang Negara Islam,penubuhanya dan pemerintahnya??

Allah berfirman di dalam kalamNya :

Dan Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi” (Al-Baqarah : 30)

Imamuna Al-Jalil Al-Qurthubi rahimahullahu taala telah menyatakan di dalam tafsirnya berkenaan ayat ini :

“Ayat ini merupakan suatu dasar di dalam melantik Imam (Ketua Negara) dan Khalifah yang mesti didengari katanya lagi ditaati perintahnya supaya ummat bersatu padu dan dapat melaksanakan hukum-hakam yang berkaitan dengan khalifah,dan tiadanya khilaf terhadap kewajipan tersebut samada di antara ummat atau di antara para ulamak kecuali  suatu riwayat daripada Al-Asamm (seorang pemimpin Muktazilah)” (Rujuk : Al-Jaami’ Li Ahkamil Quran jilid 1  mukasurat : 250 terbitan Darul Hadith,Qaherah ditahqiq oleh Dr.Muhammad Ibrahim Al-Hafnawi dan ditakhrij hadithnya oleh Mahmud Haamid ‘Utsman)

Al-Quran sememangnya tidak berbicara tentang penubuhan Negara Islam secara terus-terang,tetapi di sana terdapatnya para ulamak yang mengeluarkan hukum penubuhan Negara Islam berdasarkan tafsir,pemahaman dan ijtihad mereka sendiri…dan ijtihad itu tidak boleh diperendah-rendahkan oleh seorang ‘alim kepada ‘alim yang lain tetapi perlu dibincangkan dengan penuh suasana harmoni,beradab dan bertolak ansur…

Apakah dapat dilaksanakan segala kewajipan yang berdiri di atas dalil-dalil yang qoth’ie secara menyeluruh dan holistik tanpa Khalifah dapat memegang tampuk pemerintahan??

Sesungguhnya penubuhan Negara Islam bukanlah suatu isthilah yang pelik,kerana Al-Quran memang ada berbicara tentangnya :

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkanya dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat.

Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan pemerintah di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (An-Nisak : 58 dan 59)

Ayat – ayat ini disampaikan kepada para pemerintah agar menjaga amanah (pemerintahan negara) dan berhukum dengan penuh keadilan,jikalau amanah besar ini disia-siakan maka di sana adanya “jaminan” berupa kecelaruan ummat dan kehancuran negara bakal berlaku :

فإذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة . فقيل : كيف إضاعتها ؟ قال : إذا وسد الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة

Maksud : Jika disia-siakan amanah itu maka nantikanlah saat kiamat itu tiba.Maka baginda ditanya : bagaimanakah ianya disia-siakan?? Jika diserahkan suatu amanah kepada yang bukan ahlinya maka nantikanlah kiamat itu tiba. ( Hadith riwayat Imam Bukhari dalam Kitabul ‘Ilmu hadith bernombor 59 di dalam Fathul Baari jilid 1 m/s 141 daripada Abu Hurairah)

Ayat ini juga disampaikan kepada rakyat-rakyat yang beriman agar mentaati pemerintah  mereka dengan syarat hendaklah ketaatan tersebut hadhir selepas ketaatan kepada Allah dan rasulNya,dan andai mereka berselisih tentang sesuatu maka sewajibnya perselisihan tersebut dirujuk di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Jikalau kita melihat kepada sunnah pula,baginda telah berkata :

من مات وليس في عنقه بيعة مات ميتة جاهلية

Maksud : Barangsiapa yang mati dalam keadaan tidak berbai’ah maka matinya mati jahiliyyah!! (Hadith riwayat Imam Muslim daripada Ibnu ‘Umar bernombor 1851 dalam Kitabul Imarah)

Dan tanpa syak lagi haramlah kepada seorang muslim itu membai’ah kepada pemerintah yang tidak mengikut hukum islam,dan bai’ah yang dapat menyelamatkanya daripada perkara demikian ialah membai’ah kepada pemerintah yang berhukum dengan hukum Allah,jika tidak,maka semua umat islam berdosa ketika itu sehinggalah tertegaknya pemerintahan islam,dan tidaklah umat islam itu terlepas daripada dosa ini kecuali dengan membuat dua perkara :

(1) Al-Inkar : menyatakan ketidaksetujuan seperti membuat demo bantahan terhadap sikap pemerintah yang tidak mengikut lunas syarak, walaupun membencinya dengan hati !! (tidak sesuai dengan hati sahaja dikala kekuasaan di tanganya dan dia mampu menentang)

(2) As-Sa’yu : bergerak kerja dengan bersungguh-sungguh untuk menegakkan suasana pemerintahan islam yang syumul,dan gerak kerja ini tidak sesuai dilakukan secara individual,semestinya dia berganding bahu bergerak bersama-sama dengan para mu’min yang lain yang bertuhankan Allah yang esa.

Betapa banyak hadith-hadith sahih yang membicarakan tentang Khilafah,Imarah,Kehakiman,sifat-sifat pemerintah dan lain-lain lagi tentang hal ehwal kenegaraan dan pentadbiran negara,sesungguhnya kita dapat lihat bahawa hal ehwal ini ada tercatat di dalam kitab-kitab Aqidah dan Usuluddin begitu juga kitab-kitab feqh…

Bahkan terdapat suatu kitab khas yang membicarakan tentang hal ehwal kenegaraan dan pentadbiran negara iaitu Ahkamus Sulthaniyah oleh Imam Mawardi,begitu juga seperti Abu Ya’la,Kitab Al-Ghiyatsi oleh Imam Al-Juwaini (Al-Haramain) As-Siyasatus Syar’iyyah oleh Imamuna Ibnu Taimiyah,Tahrirul Ahkam oleh Ibnu Jama’ah ,Kitabul Kharaj oleh Abu Yusuf (Al-Ashabul Hanafiah),begitu juga Yahya Ibnu Adam,Kitabul Amwal oleh Abu ‘Ubaid dan begitu juga Ibnu Zanjawiyah,tidak dilupakan juga Ath-Thuruqul Hukmiyah Fis Siyasatis Syar’iyyah oleh Imamuna Ibnu Qayyim Al-Jauziyah,At-Tabsirah oleh Ibnul Jauzi dan juga Mu’inul Hukkam Fima Yataraddadu Bainal Khasmaini Minal Ahkam oleh ‘Alauddin At-Tarablusi Al-Hanafi…

“Melihat dari kacamata sejarah”

Dari kacamata sejarah…

Keberangkatan baginda nabi ke Madinah iaitu Negara Islam daripada Negara Kuffar adalah untuk menegakkan sebuah Negara Islam yang berdaulat dan ketika itu berjihad mempertahankan negara tersebut adalah fardhu ke atas setiap orang islam,dan masih belum sempurna imanya jika seseorang itu belum berhijrah ke Negara Islam :

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertoIongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungi dan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajiban sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah (Al-Anfaal : 72)

Bahkan ketika saat kewafatan baginda nabi sallallahu alaihi wassalam perkara pertama yang disibukkan oleh para sahabat ridwanullahi alaihim ajma’in ialah memilih ketua!! dan mendepankan perkara tersebut sebelum menguruskan jenazah baginda yang mana akhirnya mereka membai’ah Abu Bakar radiallahu anhu,berdasarkan sejarah ini beserta nas-nas tadi maka para ulama’ menjadikan perlantikkan Khalifah yang menjadi tanda Negara Islam adalah menjadi suatu kewajipan.

 

Betapa pentingnya!!

Agama Islam itu sangat meliputi setiap perkara di dalam kehidupan kita,adalah tidak masuk aqal dari sekecil-kecil perkara pun ada nisbahnya di dalam islam tetapi perkara sebesar pemerintahan islam dan Khalifah diabaikan oleh islam!! lebih parah lagi apabila kita membiarkan sahaja para pemerintah yang beragama islam ini mentadbir urus negara mengikut hawa nafsu mereka dan meninggalkan terus Al-Quran juga As-Sunnah dan hanya pakai keduanya apabila perlu!! betapa kasihan kumpulan yang ingin memperjuangkan pemerintahan mengikut agama Allah diremehkan usaha mereka bahkan ditekan dari semua sudut,samada daripada golongan pemerintah atau agamawan!!!

Imamuna Al-Jalil Ibnu Qayyim rahimahullahu taala ketikamana di zamanya (pada kurun ke-8 Hijrah) pernah mengadu tentang pembekuan pemikiran para fuqaha’ di zamanya,yang mana mereka pernah mendesak para pemerintah ketika itu agar dirangka undang-undang perlembagaan negara yang tidak berkait dengan hukum syarak!! lalu Ibnu Qayyim telah menempelak para fuqaha’ itu terhadap perlakuan pelik mereka,dan perlakuan ini mungkin boleh dianggap sebagai demo bantahan yang pertama terhadap Undang-Undang Sivil ciptaan manusia…

Berkatanya Imamuna Ibnu Taimiyah rahimahullahu taala di dalam kitabnya As-Siyasatus Syar’iyyah :

“Sewajibnya diketahui bahawasanya pentadbiran urusan rakyat jelata merupakan di antara kewajipan yang terbesar di dalam agama,bahkan tidak akan tertegak urusan agama itu juga urusan dunia melainkan dengan pemerintahan islam…”

Dan menyambung : “Kerana Allah mewajibkan menyuruh kepada kebaikkan dan mencegah kepada kemungkaran,dan pastilah tidak boleh dilakukan perkara sedemikian melainkan hanya dengan kekuasaan dan pemerintahan!! dan begitulah juga perkara-perkara lain di dalam agama yang telah diwajibkan seperti jihad dan menegakkan keadilan,melaksanakan hudud,membantu orang yang dizalimi dan lain-lain jikalau tiada kekuasaan dan pemerintahan!!” (Rujuk : As-Siyasatus Syar’iyyah di dalam kitab Majmu’ Fatawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah jilid 28 m/s : 390 dan 391 bittasarruf)

Berkata pula Tuan Guru Hj.Abdul Hadi Awang :

“Menegakkan negara islam menjadi sunnah amaliah yang dilakukan oleh rasulullah sallallahu alaihi wassalam apabila beliau berhijrah ke Madinah dan menolak tawaran memimpin negara dengan cara jahiliyyah ketika berada di Mekah,Ini menunjukkan menegakkan negara itu adalah suatu perkara agama yang besar dan negara yang ditetapkan itu mestilah Negara Islam” (Rujuk : Bagaimana Islam memerintah Negara m/s : 7 terbitan PTS Islamika Sdn.Bhd)

Sesungguhnya Negara Islam itu ialah berupa negara Aqidah dan Fikriyah,iaitu negara yang berdiri di atas Aqidah dan manhaj dan bukanya hanya semata-mata untuk memberikan keamanan kepada negara daripada serangan musuh dari dalam dan luar negara,tetapi tugas Negara Islam itu adalah lebih dalam dan lebih besar dari perkara itu sahaja!! Ia perlu mengajar rakyat jelata tentang pemahaman islam yang tulen dan sejati,supaya rakyat dapat mengamalkan ajaran islam yang sebenarnya dan bukanya membuta tuli sesiapa sahaja boleh memerintah negara asalkan ada kelulusan tinggi dan berpengaruh maka silakan…tanpa diambil kira pemaham agama serta pengamalan agamanya..

Berkatanya Ibnu Khaldun ketika menceritakan tentang Khilafah :

“Iaitu meletakkan segala perkara di atas pandangan syarak untuk kebaikkan akhirat dan kehidupan dunia mereka yang dirujuk kepada pemerintah,dan kehidupan dunia itu,semuanya mestilah dirujuk kepada orang yang arif  di dalam syarak untuk dihukumkan demi kebahagiaan akhirat,hakikatnya khilafah itu mestilah dipegang oleh orang yang arif Ilmu Syariat untuk menjaga agama dan mentadbir dunia denganya” (Rujuk : Muqaddimah Ibnu Khaldun jilid 2 m/s : 518 terbitan : Lajnah Al-Bayanul ‘Arabi yang ditahqiq oleh Dr.Ali Abdul Wahid Wafi)

“Siapa kata islam tidak boleh memerintah?? tapi kena dapatkan daulah dulu..”

Hikmah di dalam dakwah…

Ya,jalan dakwah itu luas dan cara dakwah itu pelbagai,tetapi apa yang kita inginkan ialah suatu strategi dakwah yang berkesan dan berhikmah agar insan yang didakwah kembali kepada Allah walaupun pada hakikatnya hidayah itu milik Allah,kita tidak disoal tentang apakah berjaya atau tidak insan itu kembali kepada Allah,tetapi kita bakal disoal apakah usaha terbaik yang telah kita lakukan untuk agama hanif ini…

Alang-alang menyeluk pekasam,biar sampai ke pangkal lengan..alang-alang ingin terlibat di dalam medan dakwah biar sampai menitiskan peluh dan darah…

Ingin berdakwah di dalam golongan Salafi,silakan..ingin berdakwah di dalam golongan Tabligh silakan..ingin berdakwah di dalam golongan Sufi pun silakan..terpulang kepada selera masing-masing…Tapi !!Allah telah berfirman supaya menyeru ke jalan dakwah itu dengan hikmah :

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik (An-Nahl : 125)

Apakah itu hikmah?? berkatanya Imamuna Ibnu Qayyim Al-Jauziyah rahimahullahu taala :

فعل ماينبغي كما ينبغي في الوقت الذي ينبغي

Maksud : Melakukan apa yang sepatutnya sepertimana yang sepatutnya pada waktu yang sepatutnya..

Apakah yang sepatutnya dilakukan apabila hukum-hukum Allah terlalu ramai yang masih buta mengenainya kerana para pemerintah tidak cuba menegakkanya secara menyeluruh bahkan memberikan contoh yang tidak baik apabila meluluskan perkara yang haram dan dimurkai Allah??

Apakah yang terbaik dilakukan apabila begitu ramai remaja perempuan keluar daripada rumah dengan berpakaian separuh telanjang dan berpeleseran lelaki dan perempuan dengan bebas dan lebih mengeruhkan keadaan apabila pemerintah yang mempunyai kuasa telah meluluskan segala macam konsert hiburan dan rancangan hiburan melampau agar muda-mudi lebih menambahkan keseronokkan dan lupa kepada tanggungjawab agama??

Apakah dengan hanya membuat seminar-seminar tertutup dan pembentangan kertas-kertas kerja yang hanya kedengaran perbincangan mengenai sunnah dan bid’aah dan mengatakan As-Sam’u wat Tho’ah terhadap apa pun jua keburukkan yang dilakukan pemerintah merupakan yang sepatutnya dilakukan untuk membendung gejala ini ??

Apakah dengan hanya membacakan kitab-kitab tertentu untuk membaiki ahli-ahli mereka sahaja tetapi tidak tergerak untuk bergerak dengan berhikmah membetulkan insan-insan di luar sana dan membiarkan para pemerintah meratah hak-hak rakyat merupakan yang sepatutnya dilakukan??

Kuasa!! kuasa dan kuasa pemerintahan merupakan yang sepatutnya di adakan untuk membendung terus gejala-gejala ini daripada terus membarah!! Ingin membuat “Kempen Menutup Aurat” secara menyeluruh?? silakan! kuasa di tangan anda..ingin menapis rancangan-rancangan hiburan melampau di televisyen?? silakan kerana kuasa di tangan anda..ingin mengawal konsert dengan mengasingkan tempat duduk lelaki dan perempuan?? silakan,kerana kuasa milik anda!!

Kuasa pemerintahan islam memerlukan undi majoriti..untuk mendapatkan undi kita perlu ada sebuah parti politik…untuk menubuhkan parti politik kita memerlukan jemaah…untuk menubuhkan jemaah kita perlukan dakwah dan tarbiyyah masyarakat awam agar faham kepentingan ini…ingin membuat supaya mereka faham memerlukan gerak kerja dakwah dan politik…ingin melakukan gerak kerja dakwah perlukan sokongan dan sumbangan semua pihak…

Aku rindukan pemerintahan islam…

HIDUPLAH PERJUANGAN ISLAM SELAMANYA…

Rujukkan : kebanyakkan isi diambil dan diolah daripada kitab : Min Fiqhid Daulah Fil Islam karangan Dr.Yusuf Al-Qardhawi terbitan Darus Syuruq cetakkan kelima tahun 2007..

DAUD BIN DALIB

Guru Agama Pendidikan Khas dan Prasekolah juga tahun 3.

Read Full Post »

Dengan nama  Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Alhamdulilah,segala puji hanyalah bagi Allah…

“Ustaz masuk UMNO,pelik juga bunyinya ya??”

Penyertaan 40 orang ulama’ muda ke dalam UMNO…

Berita sebegini amatlah memeranjatkanku,pada mulanya berita ini hanyalah ura-ura,tetapi menjadi realiti dengan terpampangnya gambar-gambar insan yang ku kenali ini menyatakan kerjasama mereka dengan UMNO…

Pertamanya,janganlah kalian para pejuang islam sekalian melatah-latah memaki hamun dan menyalahkan mereka bahkan mengatakan mereka dengan gelaran ulama’ suuk (ulama’ jahat) kerana perlakuan sedemikian adalah tidak matang bahkan akan memberikan persepsi kepada masyarakat awam bahawa kita tidak bersifat terbuka terhadap kebebasan individu di dalam memilih wadah perjuangan…

Tapi alhamdulilah,Al-Fadhil Al-Ustaz Dr.Asri Zainal Abidin hafizahullahu taala tidak ikut serta,kerana andai beliau ikut serta beliau pun bakal terkena tempias fitnah tersebut,dan mengelakkan diri ke dalam kancah fitnah adalah lebih utama lagi.

“Bercakap yang baik sahaja atau DIAM!!”

Beramallah dengan ilmu…

Nasihat ini aku tujukan kepada diriku yang pertamanya dan kepada para pejuang islam yang keduanya,sikap melabel-label,memaki hamun tanpa usul periksa dan marah-marah tidak kena pada tempatnya dan emosi tak bertempat ialah sikap orang yang jahil,jahil pada hakikat agama,jagalah lisan anda daripada perlakuan tersebut,kalau boleh berdiam diri sahaja adalah lebih baik..

عن أبي هريرة رضي الله تعالى عنه أن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم قال : من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت…إلخ الحديث رواه البخاري ومسلم

Bermaksud : Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu sesungguhnya rasulullah sallallahu alaihi wassalam telah bersabda : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka katakanlah yang baik ataupun diam sahaja ( Riwayat Bukhari Muslim)

Berkatanya Imam Nawawi rahimahuallahu taala sebagai komentar beliau pada hadith ini di dalam kitabnya : Al-Azkar Al-Muntakhab Min Kalami Sayyidil Abrar :

“Hadith ini yang disepakati kesahihanya ini merupakan suatu nas yang jelas yang menunjukkan bahawa tidak diharuskan berkata-kata kecuali pada perkara-perkara yang baik sahaja,yang mana kata-kata tersebut bakal membuahkan kebaikkan terhadap sesuatu dan apabila dia ragu-ragu yang kata-katanya boleh membuahkan kebaikkan atau tidak kepada sesuatu maka berdiam diri ketika itu adalah lebih baik”

Dan berkata pula Imam As-Syafiey tentang hadith ini : “Jika seseorang itu ingin berkata-kata,maka hendaklah dia berfikir dahulu sebelum berkata-kata,jika dia merasakan akan membawa kebaikkan maka bercakaplah,jika dia ragu-ragu boleh mendatangkan kebaikkan atau tidak maka janganlah bercakap sehinggalah dia yakin boleh membawa kebaikkan (pada kata-katanya)”

Oleh itu :

(1) Janganlah berkata-kata yang tidak baik seperti makian,hamunan juga kata-kata buruk sangka kerana sudah semestinya perkara tersebut tidak membawa kepada kebaikkan,

(2) Tetapi bercakaplah,menulislah dan berikanlah pendapat anda dengan perkataan-perkataan yang baik,bersangka baik dan tenanglah kerana sudah semestinya di situ akan membawa kebaikkan kepada perjuangan parti kita dan dapat menepis sangkaan buruk masyarakat terhadap PAS,

(3) Bercakaplah dengan fakta dan ilmiah dan jauhilah emosi gila menuding jari kepada mereka dengan berkata : Ulama’ UMNO,sesat barat dan ulama’ dunia,berdiam dirilah pada perkara yang kita tidak pasti juga samar-samar kesahihanya,kerana andai bersuara,memakan diri kita kembali dan bakal mengundang fitnah yang besar kepada parti.

“UMNO sebenarnya sudah tidak releven lagi..”

Apakah releven??

Kesemua mereka ialah orang-orang yang berilmu,yang pasti tahu halal juga haram,tahu hadith juga Al-Quran,bahkan pasti tahu mana yang baik dan mana pula yang buruk,golongan seperti mereka Allah telah puji di dalam firmaNya…

Jikalau ada yang berkata mereka ini hanya berilmu tinggi tetapi tidak mengamalkanya dengan menyertai UMNO,bersekongkol dengan puak munafiq yang tergamak menghalalkan judi …tanyalah mereka,apakah mereka bersetuju dengan tindakkan kerajaan?? Aku yakin mereka pasti menggeleng,kerana keharamanya telah jelas,masakan mungkin kesemua 40 orang ulama’ muda tersebut mengangguk bersetuju sedangkan keharamanya budak berumur 7 tahun pun tahu…mereka baru masuk UMNO semalam,dakwah pun belum lagi berjalan,adalah tidak adil mengaitkan mereka bersekongkol dengan kemungkaran yang dilakukan oleh UMNO sedangkan mereka tidak pernah pun menyatakan persetujuan dengan apa yang dilakukan UMNO..lainlah kalau mereka sudah 20 tahun di dalam UMNO tetapi berdiam diri tidak berkata apa apabila UMNO menghalalkan yang haram…

Bersangka baiklah bahawa kemasukkan mereka itu ada sebab tertentu dan bukan kerana mereka merasakan perjuangan UMNO adalah betul,satu malaysia tahu siapa UMNO dan kemungkaran mereka,mana mungkin mereka tidak tahu perkara tersebut…

“Channel History dalam Astro pasti berulang tetapi sejarah hanya mungkin sahaja berulang”

Sejarah mungkin berulang??

Ada juga yang berkata sejarah lama mungkin berulang,kerana tindakkan mereka yang ingin membersihkan UMNO dari dalam sama seperti insan-insan terdahulu pernah lakukan akhirnya menemui jalan buntu,lalu disisihkan oleh UMNO…Kata Dr.HAMKA :

“Sejarah itu tidak berulang,tetapi sikap manusia itu yang berulang

Cuba kita lihat bagaimana sikap “insan terdahulu” membersihkan UMNO dari dalam,mereka tidak berjemaah!! maka suara mereka yang seorang itu pastilah tidak akan didengari oleh puak-puak UMNO yang degil itu,disebabkan itulah dakwah individu mereka menemui jalan buntu,dan “insan terdahulu” tidak serius dan lantang di dalam membetulkan UMNO,bahkan mereka pula yang terikutkan rentak UMNO kemudian selesa pula berada di dalamnya,andaikata mereka tegas dan serius di dalam memerangi kemungkaran UMNO,insyallah UMNO dapat diperbetulkan…andaikata sikap mereka sama sahaja seperti insan terdahulu di dalam membetulkan UMNO,maka waktu itu sejarah mungkin berulang…Tidak semestinya sejarah pasti berulang,tetapi hanya mungkin sahaja berulang kerana terdapat juga di dalam sejarah perkara yang tidak berulang,asalkan jejak orang lama yang salah tidak diikuti…

Sebenarnya keinginan mereka ingin membetulkan UMNO harus dipuji,kerana mereka ada keinginan untuk mencuba dan tidak mengendahkan akan sejarah mungkin berulang,cuba kita soroti sejarah pembebasan Kota Konstantinopel  yang mana telah dibuka oleh Sultan Muhammad Al-Fatih yang mana ketika itu beliau baru berumur 19 tahun!! Atas keimanan baginda dengan hadith nabi yang menjanjikan bahawa kota tersebut bakal dibuka,maka baginda tidak mengendahkan langsung percubaan-percubaan insan terdahulu untuk membuka kota tersebut menemui jalan buntu :

لتفتحن القسطنطينية، ولنعم الأمير أميرها، ولنعم الجيش ذلك الجيش

Bermaksud : Sesungguhnya Kota Konstantinopel itu akan dibuka,yang mana rajanya adalah sebaik-baik raja dan askar-askarnya adalah sebaik-baik askar ( Hadith riwayat Imam Ahmad )

Andaikata baginda risaukan dan takutkan bahawa orang-orang terdahulu yang lebih hebat dan berpengalaman daripada baginda bahkan berpangkat sahabat nabi pernah cuba untuk membuka kota tersebut dan menemui jalan buntu akhirnya baginda membuat keputusan untuk tidak membukanya,maka pastilah sehingga hari ini kota tersebut tidak akan dibuka bahkan hadith nabi tersebut tidak akan baginda realisasikan!!

Berilah mereka peluang untuk membetulkan UMNO dari dalam,kita semestinya mendoakan kejayaan mereka membetulkan manusia-manusia durjana tersebut kembali ke pangkal jalan,andaikata kita sibuk memperlekehkan usaha mereka dan memaki hamun mereka,masyarakat luar akan beranggapan bahawa PAS tidak bersifat terbuka di dalam mempelbagaikan jalan dakwah,dan makian juga sangka buruk kita tidak akan menemui jalan penyelesaian tetapi hanya mengeruhkan lagi keadaan…

Tujuan utama kita berada di dalam PAS dan melakukan pelbagai kerja dakwah adalah semata-mata untuk mencapai redha Allah dan menginginkan kalimah Allah tertegak dengan tertegaknya sebuah Daulah Islamiah di negara kita,dan impian besar sedemikian memerlukan kerjasama yang jitu dari pelbagai pihak,tidak kira samada para ulama’ luar PAS,dalam PAS atau tabligh,NGO dan lain-lain,masing-masing bebas menjalankan dakwah dengan aulawiyaat (keutamaan) masing-masing selagimana tujuan utama tersebut tersemat di dalam wadah perjuangan,oleh itu,tidak kisahlah mahu berjuang di dalam mana-mana lapangan pun,asalkan ikhlas demi Allah,oleh itu kita tidak perlulah memaki mereka untuk berjuang di dalam UMNO sedangkan kita berkongsi matlamat akhir yang sama iaitu redha Allah dan ingin mengembalikan manusia kepada ajaran Allah…

Imam Ghazali pernah berkata di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin :

أن يكون في طلب الحق كناشد ضالة لا يفرق بين أن تظهر الضالة على يده أو على يد من يعاونه،ويرى رفيقه معيناً لا خصماً،ويشكره إذا عرفه الخطأ وأظهر له الحق

Bermaksud : “Jadilah kamu di dalam mencari suatu kebenaran itu seperti orang yang mencari barang yang hilang,dia tidak kisah barangnya yang hilang itu samada dijumpai oleh dirinya sendiri atau orang lain yang menolongnya mencari barang tersebut,dan dia memandang orang yang menolong tersebut sebagai penolong dan bukanya musuh,dan berterima kasih kepadanya jika dia tersalah dan orang itu pula membetulkan kesalahanya itu”

Ya kita perlu berterima kasih kepada mereka kerana mereka telah membantu kita menjalankan kerja dakwah,bahkan dapat menyenangkan lagi jalan kerja kita kerana cuba mempelbagaikan jalan dakwah…

“Ingat-ingat wahai saudara…”

Beringat…

Tetapi perlu diingat juga,perlakuan mereka itu juga dapat memberikan keuntungan kepada UMNO,kerana masyarakat luar akan beranggapan bahawa UMNO sekarang sudah menjadi sebuah parti yang releven kerana keterlibatan 40 orang ulama’ muda di dalam UMNO secara beramai-ramai yang mana belum pernah berlaku di dalam PAS dimasuki oleh ulama’ secara beramai-ramai dan serentak…ya,ianya akan menguntungkan UMNO andainya para ulama’ tersebut merasakan masuk ke dalam UMNO merupakan hanya semata-mata suatu lesen besar kepada mereka  untuk melebar luaskan dakwah mereka yang hanya berlegar mengatakan itu sunnah ini sunnah dan itu bid’aah dan ini bid’aah!!

Tapi sedarlah yang ianya akan merugikan UMNO dan menempelak UMNO sendiri sekiranya dakwah mereka yang sebelum ini hanya bertumpu pada satu perkara dilebarluaskan dengan berdakwah lebih agresif dengan lebih banyak menyentuh tentang dosa memberi dan menerima rasuah,dosa menghalalkan dan menganjurkan kemungkaran,dosa mendedahkan aurat,dosa membiarkan rakyat di dalam kemiskinan,perjuangan di atas nama bangsa,dosa mengampu pemimpin dengan niat yang buruk dan mereka mesti menerangkan tentang prinsip keadilan yang sejati…andaikata dakwah sebegini yang lebih banyak mereka laungkan semasa mereka di dalam UMNO dan UMNO pula panas punggung tutup telinga tidak mengendahkanya,maka tunggulah saat UMNO akan hancur kerana rakyat sudah mula dapat membezakan mana parti yang baik dan ikhlas memperjuangkan islam dan parti mana yang tidak sama sekali!!

“Kalau lubang ular sebegini masuk walau sekali pun aku tak mahu!!”

Tidak bersetuju…

Jauh di sudut hatiku,aku tidak bersetuju dengan beberapa rakan menyatakan kepadaku bahawa mereka juga ingin mengikut jejak langkah 40 ulama’ tersebut masuk UMNO kerana ingin berdakwah di dalam UMNO…

Aku tidak bersetuju seandainya mereka hanya berseorangan melakukan dakwah tersebut,dan diri mereka pula masih belum kemas dengan ilmu-ilmu agama sekemas para ulama’ ini,dan apakah mereka dapat memastikan diri mereka bakal bersikap tegas lantang dan garang apabila kehormatan agama Allah dilanggar sesuka hati oleh puak-puak UMNO??

Jadilah seperti rasulullah sallallahu alaihi wassalam yang mana baginda tidak pernah marah langsung apabila kehormatan dirinya yang dicaci maki tetapi akan menjadi garang,agresif dan marah andaikata kehormatan agama Allah yang dicarik-carik :

عن عائشة زوج النبي صلى الله عليه وآله وسلم قالت : ما خير رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم بين أمرين إلا اختار أيسرهما ، ما لم يكن إثماً ، فإذا كان إثماً كان أبعد الناس منه ، وما انتقم رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم لنفسه إلا أن تنتهك حرمة الله فينتقم لله عز و جل بها

Bermaksud : “Daripada Aisyah radiallahu anha isteri baginda nabi berkata : Tidaklah diberikan pilihan kepada baginda nabi sallallahu alaihi wassalam di antara dua perkara kecuali pastilah baginda memilih perkara yang paling senang di antara dua pilihan tersebut selagimana perkara tersebut tidak terdapat dosa di dalamnya,jika terdapat dosa di dalamnya maka bagindalah orang yang paling jauh dengan perkara tersebut,dan tidaklah baginda akan membalas dendam untuk dirinya sendiri melainkan jika kehormatan Allah itu dicabuli maka baginda akan membalas dendam kerana Allah terhadap perkara tersebut” ( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dan berkatanya As-Syeikh Albanni rahimahullahu taala : hadith ini sahih )

Tetapi andai ingin masuk juga terserah kepada kalian,jikalau menyesal sila tanggung sendiri…

Aku?? Sesungguhnya aku minta berlindung daripada Allah untuk terjebak ke dalam UMNO selagimana UMNO tidak berubah dan mengubah dasar-dasar perjuangan mereka,kita marahkan UMNO bukan kerana dia UMNO,tetapi kita marahkan UMNO kerana sikap mereka yang sudah banyak melampaui batasan agama,biarkanlah aku terus berjuang di dalam PAS dan melakukan kerja-kerja dakwah di dalam jemaah ini kerana aku lebih senang untuk berdakwah di dalamnya,dan aku tidak memandang PAS hanya semata-mata sebuah parti politik,tetapi aku memandang PAS ialah medan dakwah yang strategik sekali untuk disertai,bahkan lebih daripada itu,kepada pihak-pihak yang ingin berjuang di dalam UMNO falakum zaalik ( terserah kepada kalian ) dan aku bukanlah orang yang terlalu kuat untuk berbuat demikian…

Tentang pendapat beberapa pihak yang mengatakan mereka masuk UMNO adalah kerana ingin menyelamatkan diri daripada tuduhan JI,Wahhabi dan Militan,sesungguhnya aku tidak berani untuk mengatakan sedemikian,kerana kita tidak tahu niat masing-masing,hanya Allah yang berhak mengetahuinya,dan aku hanya bercakap dari apa yang terzahir,seperti qaedah :

أن الأحكام يعمل فيها بالظواهر والله يتولى السرائر

Bermaksud : Sesungguhnya hukum hakam itu dinilai berdasarkan apa yang terzahir dan selebihnya ( apa yang tersirat di dalam hati ) biarlah Allah sahaja yang menguruskanya.

Kesimpulanya,aku tidak membantah 40 orang ulama’ itu masuk UMNO andainya niat mereka berbuat demikian adalah betul-betul serius untuk berdakwah kepada UMNO,dan aku mengharapkan yang mereka betul-betul mengambil peluang dakwah apabila mereka berada di dalamnya dengan mengubah aulawiyaat dakwah mereka yang selama ini hanya tertumpu kepada sesetengah perkara sahaja dan tidak memberatkan sesetengah perkara yang lain dan aku akan bersama sesiapa pun menentang mereka seandainya mereka mendiamkan diri terhadap kemungkaran yang terang-terang dilakukan oleh UMNO dan aku akan mendoakan mereka semoga berjaya di dalam kerja dakwah mereka dan supaya mereka tidak terikut jejak langkah orang terdahulu yang melakukan kesilapan di dalam mengubah UMNO supaya sejarah tidak lagi berulang :

لا يلدغ المؤمن من جحر واحد مرتين

Bermaksud : Seorang mu’min (yang bijak) itu tidak akan disengat di dalam lubang ular yang sama buat kedua kalinya (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

HIDUPLAH PERJUANGAN ISLAM SELAMANYA!!

Read Full Post »

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Alhamdulilah,segala puji hanyalah bagi Allah…

“Ambil islam separuh dan tinggalkan islam separuh ibarat duit RM 50 yang terkoyak,tidak bernilai apa-apa!!”

Islam yang tidak berhak untuk dikurang-kurangkan…

Soalan : Bagaimanakah islam yang tidak boleh dikurang-kurangkan??

Jawapan : Haaaa…Sepertimana kita menyeru kepada islam yang tidak boleh ditambah-tambah,maka kita mestilah juga menyeru kepada islam yang tidak boleh dikurang-kurangkan,maka bolehlah disimpulkan : Agama islam itu ialah suatu agama yang tidak boleh langsung untuk ditambah-tambah perkara  baru yang sengaja diada-adakan dan tidak boleh pula dikurangkan dari asalnya!!

Jika pada waktu dahulu, apa yang dihadapi oleh umatnya ialah perbuatan menambah-nambahkan perkara yang tiada asal-usulnya di dalam agama,yang mana perbuatan tersebut berlaku kadang kala adalah disebabkan sifat yang keterlaluan ingin mendekatkan diri kepada Allah tetapi jahil dengan hakikat agama islam!!

Tetapi apa yang kita hadapi pada hari ini adalah cubaan untuk mengurangi ajaran agama suci ini,mengurangkan apa yang sudah pun termaktub pada asalnya!! Pada waktu ia mula-mula datang dahulu…

Ada orang islam yang mahukan islam pada aqidah sahaja tetapi tidak mahu pada ibadahnya,maka tidak peliklah jikalau kalian pernah mendengar ada orang berkata : Asalkan kau sudah beriman kepada Allah itu pun sudah cukuplah,engkau tidak solat,berpuasa Ramadhan membayar zakat dan menunaikan haji pun tidak mengapa!!

Ada juga orang islam yang hanya mahukan islam pada ibadahnya sahaja tetapi tidak mahu islam pada akhlaqnya…Oleh itu mungkin sudah tidak pelik apabila anda pernah mendengar ada orang berkata begini : Alah…kalau engkau cakap bohong ke,mengurat awek ke,pau duit orang ke,kebas duit persatuan ke apa ada hal,asalkan engkau bersolat,berpuasa dan pergi balik naik kapal terbang pergi ke Mekah!!

“Abang lembu…anak cucu tumpang lalu ye..”

Ada juga orang yang hanya mahukan akhlaqnya sahaja tetapi tidak mahu kepada ibadahnya…mungkin anda pernah mendengar orang berkata begini : Weii ! walaupun aku ini tidak tunggang-tonggek bersembahyang,berlapar perut berpuasa,berhabis duit bayar zakat,turun naik airport pergi ke Mekah tetapi engkau akan menyedari bahawa aku ini baik orangnya,sopan santun dan penuh taat setia,lalu depan lembu pun aku tunduk minta izin nak lalu tau!!

Begitu juga ada orang islam yang beriman dengan setengah daripada ayat Al-Quran dan meninggalkan sebahagian yang lain!! Membaca surah Yasin dan Ayatul Kursi,membacanya sebelum tidur,pada malam Jumaat dan pada waktu kenduri kendara tetapi berjual beli dengan sistem riba’ dan mengatakan dengan selamba chekodok : Sembahyang sembahyang,luar sembahyang lain cerita!! Atau : Politik politik lah,kau jangan campur-campurkan dengan agama!!

Inilah masalah yang dihadapi oleh umat islam sekarang ini,memecah belahkan ajaran islam dengan sesuka hati mengikut telunjuk nafsu!!

Ada sesetengah orang islam yang mahukan islam dengan pelbagai wajah yang lain daripada wajahnya yang sebenar,mahukan islam yang menghalalkan kahwin dan mengharamkan talaq,bahkan ada yang berusaha mahu menghapuskan hukum talaq dan poligami daripada undang-undang islam!!

“Benarkah Dato’ Seri…??”

Begitu juga ada yang mahukan islam yang tanpa erti jihad!! Berlemah lembut dengan penjajah yang ingin menjajah bumi islam di atas nama keamanan!! Bahkan kalau boleh mereka ingin menghapuskanya daripada ajaran islam,supaya umat islam menjadi lemah untuk bertindak terhadap musuh agama mereka!! Seperti mana ajaran Ghulam Ahmad Qadhiyani yang menekankan dua perkara besar di dalam ajaranya,pertama : Menghapuskan jihad,kedua : taat setia kepada pemerintah walaupun mereka kafir!!

Ada juga orang islam yang hanya mahukan islam pada aqidahnya dan ibadahnya,tetapi tidak mahu kepada syariatnya!! Maka ketahuilah bahawa pegangan sebegini adalah ajaran yang berasal daripada golongan Komunisme secara umum,mereka ingin menghapuskan syariat islam dan segala hukum-hakamnya…Maka jikalau kalian ingin membuat solat seberapa banyak rakaat pun tidak mengapa,ingin membuat majlis zikir berbelas ribu kali dengan kehadiran puluh ribu manusia pun tidak mengapa,tetapi untuk kalian berjuang menjadikan islam sebagai rang undang-undang dan pentadbiran negara maka kalian seumpama telah mengisytiharkan perang kepada mereka!! Hairan,ambil islam pada perkara tertentu tetapi menolaknya pada perkara tertentu!!

Ketahuilah bahawa pegangan islam dengan sedemikian rupa adalah ditolak sama sekali di dalam islam!! Seratus peratus ditolak tanpa sebarang khilaf pun dikalangan ulama’!!

Umat islam yang kita hadapi pada hari ini adalah umat islam yang amat berlainan sekali,ada orang yang menjadi islam ketika dia di masjid sahaja,tetapi sebaik sahaja keluar daripada masjid dia berubah menjadi insan yang lain,ada juga yang menjadi islam di bulan Ramadhan sahaja,tetapi apabila habis bulan Ramadhan dia tak ubah seperti syaithan yang baru dilepaskan daripada rantainya ketika di bulan Ramadhan,ada juga yang bertudung litup ketika di Mekah,apabila kembalinya dia ke negaranya dia seakan-akan telah lupa apa yang telah dilakukanya semalam di Mekah…

Maka,islam apakah yang kita serukan ini?? Iaitu islam yang tidak boleh sama sekali ditambah-tambah perkara baru yang tiada asalnya di dalam agama dan tidak boleh pula dikurang-kurangkan daripada asalnya!!

“Ya..memang benar…”

HIDUPLAH PERJUANGAN ISLAM SELAMANYA!!

Read Full Post »

“Suci murni islam itu seperti minyak masak Seri Murni..”

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Alhamdulilah segala puji hanyalah bagi Allah…

Islam bagaimanakah yang ingin kita serukan cik bang??

Ya! Sudah tentulah agama islam yang merangkumi setiap aspek kehidupan (syumul ), yang ajaranya lengkap melengkapi,islam yang suci murni lagi tulus mulus…

Soalan : Eh jap jap,apa kebende maksud islam yang suci murni lagi tulus mulus tu?? Macam iklan minyak masak pula??

Jawapan : Haaaa…Iaitu islam yang :

(1) Tiada sebarang penambahan juga bahan pengawet dan pewarna yang dibenarkan,

(2) Tiada sebarang pengurangan,

(3) Tiada sebarang penyelewengan,

(4) Tiada sebarang kecacatan,seimbang dan sama rata,

(5) Tidak berpecah-pecah.

Soalan : Arghhhh..lagi bertambah pecah kepala aku ini,cuba terangkan satu persatu maknanya!!

Jawapan : Haaaa…Kita bermula dari :

“Islam tidak seperti ini,tercacat cela..”

Islam yang tiada sebarang penambahan juga cacat cela

Iaitu menolak sebarang bentuk penambahan yang disandarkan di atas nama islam di dalam keadaan yang fanatik juga melampau-lampau,apa bukankah baginda nabi sallallahu alaihi wassalam telah memberikan peringatan :

إياكم والغلو في دينكم ، فإنما أهلك من كان قبلكم بالغلو في الدين

Bermaksud : Berhati-hatilah kalian daripada fanatik di dalam agama kalian,sesungguhnya kebinasaan yang melanda kaum sebelum kalian adalah disebabkan kefanatikkan di dalam beragama ( hadith riwayat Imam Ahmad,Nasaie,Ibnu Majah,Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hakim dengan riwayat yang sahih daripada Ibnu Abbas )

هلك المتنطعون قالها ثلاثا

Bermaksud : Binasalah orang yang melampau-lampau di dalam perkataan juga perbuatan mereka dan baginda menyatakanya sebanyak 3 kali ( hadith riwayat Imam Muslim)

Maka wajiblah kita menyeru kepada islam sepertimana yang diturunkan oleh Allah,tanpa sebarang penambahan,kerana islam itu agama yang lengkap,maka agama yang sudah pun lengkap,cukup dan sempurna tidak berhajat lagi kepada sebarang penambahan,semenjak Allah mula berfirman :

“ Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku ridhai Islam itu jadi agama bagimu “ ( Al-Maidah : 3)

Tiada seorang pun yang mampu menambah-nambah apa-apa pun di dalam islam,tidak pada aqidah,juga ibadah,juga di dalam syariat dan usul-usulnya,jikalau adanya agama-agama lain yang dengan senang hati menerima sebarang perubahan di dalam agama mereka tetapi islam tidak begitu sama sekali!!

Bahkan ada agama yang memberikan hak kepada manusia untuk merangka syariat agama mereka,juga memberikan hak untuk menghalalkan sesuatu atau mengharamkan sesuatu,oleh itu pada mereka apa-apa yang dihalalkan manusia tersebut maka ianya dikira halal dari langit!! Mari lihat ayat Allah ini :

“ Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah”

Ketikamana ‘Adiy Bin Hatim yang dahulunya seorang Nasrani (kemudianya telah memeluk islam) datang menemui baginda nabi dalam keadaan salib emas tergantung di lehernya,lalu baginda pun membacakan ayat ini,lalu dia pun berkata kepada baginda sallallahu alaihi wassalam : Wahai rasulullah,sesungguhnya kami tidak menyembah mereka (para paderi)?? Berkatanya baginda nabi :

ألم يكونوا يحلون لكم الحرام فتحلوه، ويحرمون عليكم الحلال فتحرموه ؟؟ قال : بلى ، قال : فتلك عبادتهم إياهم

Bermaksud : Apa bukankah mereka (paderi-paderi) menghalalkan kalian apa yang haram dan kalian menghalalkan yang haram itu,dan mereka mengharamkan pula apa yang halal dan kalian mengharamkan yang halal itu?? Berkatanya ‘Adiy : Ya…baginda nabi berkata : Maka itulah dia ibadat kalian terhadap mereka ( hadith riwayat Imam Tirmizi )

“Mereka boleh menambah-nambah apa pun di dalam agama mereka…”

Sesungguhnya islam tidak memberikan sebarang hak mutlaq pun kepada mana-mana perhimpunan,persidangan,khalifah juga pemimpin walaupun para ulamak yang berserban besar dan berjanggut panjang untuk menambah – nambah atau mengurangkan apa-apa pun di dalam agama ini!!

Oleh itu,sebarang penambahan yang telah pun berlaku di dalam islam sepanjang meniti sejarah dahulu adalah baathil dan tertolak sama sekali!! Tidak diterima langsung di dalam islam,dan betapa beruntungnya agama ini,Allah sekali-kali tidak akan membiarkan hambanya zaman-berzaman terhanyut dengan bid’aah ini melainkan pasti Allah akan utuskan para ulamak yang akan membetulkan kembali manusia kepada jalan yang lurus dan memerangi segala bid’aah :

“ Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan ada umat yang memberi petunjuk dengan hak, dan dengan yang hak itu (pula) mereka menjalankan keadilan “ ( Al-A’raf : 181)

Dan di antara penambahan yang ditambahkan kepada islam sepanjang meniti zaman : Teori-teori yang melampau dan terpesong yang dibawa oleh golongan Mutakallimun di dalam aqidah,begitu juga teori-teori Ahli Sufi ( yang terpesong) di dalam Suluk mereka,begitu juga para fuqaha’ yang cenderung kepada pendapat-pendapat yang ingin mengambil langkah berjaga-jaga yang melampau sehingga menyusahkan penganutnya dan ada pula yang cenderung kepada pendapat yang terlalu mengambil mudah urusan agama tanpa sebarang dalil tetapi hanya ikutan nafsu semata-mata…

Maka sewajibnya kita kembali kepada islam yang menyenangkan dan tidak menyusahkan tetapi yang berasaskan dalil dan hujjah yang konsisten bukanya berasaskan hawa nafsu yang tamakkan perhiasan dunia juga cakap-cakap orang,dan hendaklah menyeru masyarakat dengan ajaran islam yang menyenangkan dan bukanya menyusahkan penganutnya!!

Soalan : Ermm,selepas itu cik bang,pemahaman islam yang kedua…

Jawapan : Insyallah kita sambung ke hari lain ye…bersambung…

Read Full Post »

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Alhamdulilah,segala puji hanyalah bagi Allah…

“Karikatur penghinaan terhadap islam kini semakin menjadi..”

Islam..islam…bagaimanakah??

Agama Islam itu sempurna…

Setiap ajaranya merangkumi setiap aspek kehidupan manusia…

Islam menjaga manusia daripada lahirnya ke dunia sehinggalah tertanamnya ditimbusi tanah..

Daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah ke sebesar-besar perkara..semuanya ada undang-undangnya yang tersendiri,ada hukum-hakamnya yang tersendiri..Islam pasti menjaganya..

Adalah tidak adil manusia yang meminjam bumi Allah ini untuk berteduh,yang menyedut setiap kandungan udara milik Allah ini untuk bernafas,yang berdiri di atas tanah milikNya untuk berjalan mengambil sebahagian daripada ajaraNya dan kekasihNya dan meninggalkan pula sebahagian yang lain di dalam kehidupan mereka…

Mereka bertudung litup di jalanan tetapi separuh bogel di tepi laut..

Mereka bersolat di masjid dan membayar zakat apabila sampai nisab dan cukup haul tetapi mereka berjual beli dengan sistem riba’…

Mereka berjubah dan berkopiah serta berjanggut tetapi mereka menyakiti hati jiran,mengumpat orang lain..

Mereka memakai hukum islam apabila nampak keadilan islam pada dirinya jika dilaksanakan tetapi buang hukum islam apabila merasakan hukum tersebut mengganggu privasi dan hak asasi dirinya!!

Mereka mengajak manusia mengamalkan sunnah baginda nabi tetapi tanpa mereka sedari mereka perlahan-lahan melenyapkan sunnah baginda nabi yang lain…

Apakah islam itu hanya tinggi,suci,adil dan sempurna ajaranya pada sesetengah tempat tetapi jelek,serba kekurangan,mundur,kampungan pada sesetengah tempat yang lain??

Tidak!! Sama sekali tidak!!

Aku memandang adanya islam pada mendidik anak,adanya islam pada pentadbiran negara,adanya islam di dalam menguruskan ekonomi negara,adanya islam pada bersuci hatta hubungan kelamin suami isteri!! Pendek kata dari bangun celik mata sehinggalah pejam mata semula segalanya ada kaitanya dengan islam!!

Meninggalkan islam pada pentadbiran negara dan ambil islam pada nikah-cerai,rujuk-talaq sahaja adalah perbuatan orang islam yang kebingungan!! Dia tidak yakin bahawa islam itu ialah cara hidup dan bukan hanya agama semata-mata!!

“Propaganda barat yang memomokkan islam kepada dunia”

Apakah yang kita perlukan??….

Aku melihat ada sekumpulan remaja yang jiwa mereka mahukan islam,mahu bekerja untuk islam bahkan mahu mati di dalam islam,tetapi masih tersilap lagi percaturan mereka yang mana ianya perlu diperbetulkan agar semangat juang sebegitu tidak dipersia-siakan begitu sahaja..

Apakah yang kita perlukan??

Ya! Kita perlukan gerak kerja dakwah yang konsisten daripada para ahli agama yang mengetahui hukum-hakam agama,yang sedia berkhidmat kepada masyarakat dengan limpahan ilmunya dan mampu tersenyum walau tidak diberikan upah,yang sanggup mengorbankan masanya untuk menyelongkar khazanah-khazanah kitabnya demi mencari suatu kebenaran yang adil daripada hanya mampu bercakap hasil daripada cakap-cakap orang yang tidak didasari sebarang dalil juga nas,yang tidak mudah berputus asa apabila dakwahnya tidak didengari,yang kuat pegangan imanya,walau besar mana pun badai perjuangan serta ranjau durinya yang terbentang tetap tenang hatinya,yang menjadi role model pada masyarakat,dilakukan apa yang dicakapnya bukanya cakapnya sahaja yang berdegar tetapi amalanya tiada!!

Ada golongan masyarakat yang sememangnya mahukan islam,tetapi tidak tahu caranya yang betul mengikut syarak,para ustaz kuat melaungkan ISLAM ADALAH CARA HIDUP!! Tetapi apabila mereka inginkan penyelesaianya di dalam islam,mereka tidak mampu menerangkanya secara betul,akhirnya si buta dipandu oleh si buta,terlanggarlah tiang-tiang,tersadunglah segala bendul…

Bukan sahaja masyarakat awam yang kabur tentang islam,tetapi para pejuang islam sendiri pun masih kabur tentang islam,masih belum mampu mengamalkan islam sepenuhnya,masih belum tahu cara perjuangan yang betul,perkara ini memerlukan pengorbanan,gerak kerja,usaha dan doa serta tawakkal…bukanya dengan emosi,semangat yang membuta tuli sahaja,kerana berjuang hanya berbekalkan semangat sahaja tidak cukup,kerana di sana adanya perkara yang dinamakan ilmu dan belajar!!

Disebabkan islamlah yang kita seru,dan ingin meyakinkan kepada manusia lain bahawa ia adalah cara hidup,setiap masalah ada penyelesaianya di dalam islam,maka kerja para pendakwah ialah berusaha mendalami setiap bahagian di dalam agama,berusahalah setakat mana yang mampu :

“Apa yang tidak mampu dilakukan semuanya,maka janganlah pula ditinggalkan semuanya”

Jangan malu untuk menyatakan : “Aku tidak tahu” pada perkara yang betul-betul anda tidak tahu dan menyatakan hanya perkara yang anda tahu sahaja.Kerana walau para ustaz ini sudah berpenat lelah menimba ilmu,bertanya dan mengkaji,tetapi haruslah diakui bahawa ada juga perkara-perkara yang mereka tidak tahu :

إذا عرفت شيئا غابت عنك الأشياء

Bermaksud : “Jika kamu mengetahui sesuatu,maka ketahuilah sesungguhnya masih banyak lagi yang kamu tidak tahu”

“Kita perlukan dakwah!! keperluanya terlalu mendesak saat ini!!”

Islam yang bagaimanakah yang harus diserukan??

Marilah daku pinjamkan kata-kata dari sebuah kitab As-Syeikh Dr.Yusuf Al-Qardhawi tentang islam apakah yang ingin kita serukan kepada masyarakat,apakah Islam-Salafi?? Islam-Sunni?? Islam-Syi’ie?? Islam –Liberal?? Islam-Haraki?? Islam Sufi?? Atau Islam Hadhari??

“ Sesungguhnya islam yang kita imani dan yang kita serukan ialah islam yang tidak terikat dengan apa-apa negara,tidak terikat dengan mana-mana individu,bangsa atau zaman juga mazhab,sesungguhnya ia adalah islam awal iaitu Islam Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi peganganya,islam yang telah dibawa oleh baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam,dan barangsiapa yang ingin mengetahui islam jenis apakah yang kita serukan,maka selaklah Al-Quran dan bacalah serta fahamilah dan kajilah ayat-ayatnya untuk mengetahui kepada apakah yang kita serukan,begitu juga bacalah hadith-hadith nabi yang sahih dan kalian akan bertemu islam jenis apakah yang kita serukan!! “

“Ketahuilah bahawa islam yang kita serukan ialah islam yang terang-benderang,tiada keraguan padanya juga tiada kekeliruan,islam Al-Quran dan As-Sunnah,sumber-sumbernya pun terang,tujuanya pun jelas,usul-usul di dalamnya pun nyata..”

“Kita menyeru kepada islam yang awal sebelum ianya ditambah-tambah dengan perkara-perkara baru di dalam agama atau bid’aah,kita inginkan islam yang suci sepertimana yang difahami oleh generasi terbaik ummat ini iaitu para sahabat ridwanullahi alaihim ajmain dan para tabi’en,golongan manusia yang paling faham ruh agama ini,dan tujuan-tujuan agama ini,kita berpandukan kepada pemahaman golongan ini,dan selain daripada perkara tersebut maka boleh sahaja diambil atau ditinggalkan sahaja perkataan mereka kecuali hanya kata-kata dari yang ma’sum sallallahu alaihi wassalam..”

“Kita menyeru kepada islam yang sentiasa diperbaharui dengan pemahaman yang baru dan ijtihad disebabkan masalah-masalah semasa yang melanda,kita tidak menyeru kepada islam yang statik (jumud),tertutup,perkauman juga fanatik kepada mazhab,kita ambil daripada semua jenis mazhab,dan bukanya hanya terhad kepada empat mazhab sahaja,kerana terdapatnya mazhab yang banyak selain empat ini,ada yang sudah pupus dan ada juga yang masih kekal hingga sekarang…”

(Al-islamu kama nu’minu bihi,dhowabith wa malamih oleh Dr.Yusuf Al-Qardhawi m/s : 14-15)

Baiklah,apakah kriteria islam yang dikatakan syumul itu?? Insyallah bersambung…

Read Full Post »

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Alhamdulilah,segala puji hanyalah bagi Allah….

“Masjid Quba’….”

Ziarah pertama : Masjid Quba’…

قال النبي صلى الله عليه و سلم : من خرج حتى يأتي هذا المسجد يعني مسجد قباء فيصلي فيه كان كعدل عمرة

Bermaksud : Barangsiapa yang keluar (daripada rumahnya) sehinggalah sampai ke masjid ini iaitu masjid  Quba’ lalu bersolat di dalamnya maka pahalanya seperti pahala umrah (berkatanya Az-Zahbi,hadith ini sahih)

Sesungguhnya mengikut sunnah rasulullah sallallahu alaihi wassalam baginda nabi datang ke Masjid Quba’ pada setiap hari Sabtu samada berjalan kaki atau menaiki tunggangan dan baginda akan bersolat di dalamnya 2 rakaat…

Alhamdulilah,sememangnya rombongan kami dapat mengikut sunnah dengan pergi ke masjid tersebut pada hari Sabtu dan alhamdulilah juga kami sempat bersolat sunat 2 rakaat di dalam masjid tersebut dengan niat mengikut sunnah baginda nabi,terasa tidak lengkap ziarah jikalau tidak ke masjid ini,masjid ini jauhnya dengan Masjid Nabawi lebih kurang 5 kilometer sahaja,dan terdapatnya sebuah perigi yang dinisbahkan kepada Abu Ayub Al-Anshari di dalam masjid ini…

Masjid Quba’ merupakan masjid yang pertama dibina oleh baginda nabi sallallahu alaihi wassalam ketikamana baginda berhijrah daripada Mekah ke Madinah,mengikut riwayat Ibnu Abi Khaitsamah,ketika baginda mengasaskan masjid ini,baginda merupakan orang pertama yang meletakkan batu asas pembinaanya di arah kiblat masjid ini,kemudian diikuti oleh Abu Bakar As-Siddiq radiallahu anhu,kemudian Umar Al-Faruq radiallahu anhu pula meletakkan batu asasnya di samping batu yang telah diletakkan oleh Abu Bakar,lalu manusia seluruhnya pun mula membina masjid tersebut…

Dan ketahuilah bahawa masjid ini merupakan masjid yang telah dibina di atas asas ketaqwaan yang mana Allah telah merakamkan tentangnya di dalam Al-Quran :

“ Sesungguhnya masjid yang didirikan di atas dasar taqwa (masjid Quba),sejak hari pertama (ianya dibina) adalah lebih patut kamu solat di dalamnya,di dalam masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.” (At-Taubah : 108)

Bahkan di dalam hadith baginda :

عن أبيّ بن كعب: أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: “المسجد الذي أسس على التقوى مسجدي هذا

Bermaksud : Daripada Ubay Bin Ka’ab radiallahu anhu sesungguhnya nabi sallallahu alaihi wasalam telah bersabda : Masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan ialah masjidku ini (Masjid Quba’) (riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya)

“Dari bahagian hadapan..subhanallah..”

Ceritera di sebalik Masjid Quba’…

Sesungguhnya sebelum kedatangan baginda nabi ke Madinah,terdapatnya seorang lelaki dari Bani Khazraj yang bernama Abu ‘Amir Ar-Rahiib yang mana beliau ini dahulunya penyembah berhala seperti masyarakat jahiliah yang lain kemudianya beliau memeluk agama Kristian dan telah berguru dengan para ahli kitab tentang Kitab Injil,dan beliau mempunyai kedudukkan yang tinggi di kalangan Bani Khazraj,dan apabila baginda nabi berhijrah ke Madinah,dan semua orang Ansar meletakkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda ditambah pula dengan kemenangan orang-orang islam di dalam peperangan Badar,beliau berasa sangat iri hati dan sangat benci kepada baginda,lalu beliau pun bergegas ke Mekah untuk bergabung bersama para tentera Musyrikun Mekah di dalam peperangan Uhud untuk memerangi baginda nabi,beliau telah menggali beberapa parit yang besar di Siffin sehingga menyebabkan baginda nabi telah terjatuh ke dalam salah satu parit tersebut,sehingga patah tulang peha baginda nabi yang mulia…

Tidak cukup dengan perbuatan tersebut,beliau pun pergi ke pemerintah Rom pada masa itu iaitu Raja Hercules untuk meminta pertolongan daripada raja tersebut untuk memerangi baginda nabi,dan raja tersebut pun bersetuju untuk menolongnya,lalu beliau pun memberitahu kaum-kaumnya yang munafiq dan fasiq di Madinah bahawa beliau akan menghantar suatu bala tentera yang besar untuk mengalahkan baginda nabi dan mengarahkan mereka persiapkan diri mereka dengan kelengkapan perang,selepas itu,beliau pun mula membina sebuah masjid yang berdekatan dengan Masjid Quba’,dan pembinaan masjid tersebut telah selesai sebelum baginda keluar ke peperangan Tabuk,lalu para pengikutnya pun mengajak baginda nabi agar sudi bersolat di masjid yang telah dibina mereka agar dapat menjadi suatu hujjah bahawa baginda nabi  merestui mereka jika baginda bersolat di situ,mereka menyatakan kepada baginda bahawa masjid itu dibina untuk orang-orang yang susah dan sebagai tempat berlindung daripada kesejukkan musim sejuk di waktu malam,tetapi Allah telah melindungi nabi daripada termakan ajakkan mereka itu dengan bersabda :

“Sesungguhnya aku ini di dalam permusafiran (ke Tabuk) dengan izin Allah sekembalinya kami daripada musafir,kami akan bersolat di situ..”

Kemudian,sekembalinya baginda nabi daripada Tabuk ke Madinah,tidak sampai sehari atau dua hari turunlah wahyu daripada Allah memberikan peringatan tentang Masjid Dhirar (masjid yang dibina oleh Abu ‘Amir) yang mana ianya di bina di atas asas kekafiran kepada Allah dan bertujuan untuk memecahbelahkan kesatuan kaum muslimin yang bersolat jemaah di Masjid Quba’ yang  diasaskan di atas asas taqwa kepada Allah :

Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belahkan antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu.Sesungguhnya mereka bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan.” dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya)(At-Taubah : 107)

Dan juga larangan Allah kepada baginda agar tidak bersolat di situ :

“Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan di atas dasar taqwa (masjid Quba),sejak hari pertama (ianya dibina) adalah lebih patut kamu solat di dalamnya,di dalam masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih” (At-Taubah : 108)

Kemudianya,baginda nabi pun menghantar Malik Bin Dukhsyum dan Ma’an bin ‘Adiy untuk merobohkan Masjid Dhirar itu dan membakarnya…(rujuk Tafsir Ibnu Katsir iaitu riwayat tentang surah At-Taubah ayat 107-108)

“Yang warna merah ranum itu Rathab dan yang di dalam mangkuk itu Tamar..”

Pasar kurma…

Di bahagian luar masjid ini,terdapat beberapa pasar kurma,di masjid inilah aku pertama kali merasa kurma yang sungguh sedap sekali,kurma ini sangat basah dan sangat ranum serta masih terasa lagi manisnya,seakan-akan ianya telah direndam lama-lama di dalam air gula,dan rasanya seperti campuran buah anggur dan kurma,dan mutawif aku memberitahu bahawa kurma yang basah dan ranum ianya dipanggil sebagai “Rathab” (basah) manakala kurma yang sudah dikeringkan pula dinamakan sebagai “Tamar” dan perkara ini merupakan ilmu baru bagi aku,kerana sebelum ini aku tidak tahu pula kurma yang dikeringkan dinamakan sebagai tamar,hehe…

Keadaan di dalam masjid ini sungguh tenang dan nyaman sekali,terdapat suatu ruang legar di bahagian tengah masjid ini,tetapi memang sungguh,terasa masjid ini dibina atas rasa ketaqwaan,kerana aku dapat merasakan suatu ketenangan yang aneh apabila bersolat di dalamnya,sungguh aneh…sesungguhnya kalam Allah dan rasulNya sangat benar…percayalah bahawa apabila anda masuk lalu bersolat ke dalam masjid ini,insyallah akan merasainya juga…

Bersambung insyallah ke Ceritera Haramain 3 tentang ziarah-ziarah kami yang seterusnya..

Read Full Post »

Older Posts »