Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…
Alhamdulilah,segala puji hanyalah bagi Allah…

“Ustaz masuk UMNO,pelik juga bunyinya ya??”
Penyertaan 40 orang ulama’ muda ke dalam UMNO…
Berita sebegini amatlah memeranjatkanku,pada mulanya berita ini hanyalah ura-ura,tetapi menjadi realiti dengan terpampangnya gambar-gambar insan yang ku kenali ini menyatakan kerjasama mereka dengan UMNO…
Pertamanya,janganlah kalian para pejuang islam sekalian melatah-latah memaki hamun dan menyalahkan mereka bahkan mengatakan mereka dengan gelaran ulama’ suuk (ulama’ jahat) kerana perlakuan sedemikian adalah tidak matang bahkan akan memberikan persepsi kepada masyarakat awam bahawa kita tidak bersifat terbuka terhadap kebebasan individu di dalam memilih wadah perjuangan…
Tapi alhamdulilah,Al-Fadhil Al-Ustaz Dr.Asri Zainal Abidin hafizahullahu taala tidak ikut serta,kerana andai beliau ikut serta beliau pun bakal terkena tempias fitnah tersebut,dan mengelakkan diri ke dalam kancah fitnah adalah lebih utama lagi.

“Bercakap yang baik sahaja atau DIAM!!”
Beramallah dengan ilmu…
Nasihat ini aku tujukan kepada diriku yang pertamanya dan kepada para pejuang islam yang keduanya,sikap melabel-label,memaki hamun tanpa usul periksa dan marah-marah tidak kena pada tempatnya dan emosi tak bertempat ialah sikap orang yang jahil,jahil pada hakikat agama,jagalah lisan anda daripada perlakuan tersebut,kalau boleh berdiam diri sahaja adalah lebih baik..
عن أبي هريرة رضي الله تعالى عنه أن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم قال : من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت…إلخ الحديث رواه البخاري ومسلم
Bermaksud : Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu sesungguhnya rasulullah sallallahu alaihi wassalam telah bersabda : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka katakanlah yang baik ataupun diam sahaja ( Riwayat Bukhari Muslim)
Berkatanya Imam Nawawi rahimahuallahu taala sebagai komentar beliau pada hadith ini di dalam kitabnya : Al-Azkar Al-Muntakhab Min Kalami Sayyidil Abrar :
“Hadith ini yang disepakati kesahihanya ini merupakan suatu nas yang jelas yang menunjukkan bahawa tidak diharuskan berkata-kata kecuali pada perkara-perkara yang baik sahaja,yang mana kata-kata tersebut bakal membuahkan kebaikkan terhadap sesuatu dan apabila dia ragu-ragu yang kata-katanya boleh membuahkan kebaikkan atau tidak kepada sesuatu maka berdiam diri ketika itu adalah lebih baik”
Dan berkata pula Imam As-Syafiey tentang hadith ini : “Jika seseorang itu ingin berkata-kata,maka hendaklah dia berfikir dahulu sebelum berkata-kata,jika dia merasakan akan membawa kebaikkan maka bercakaplah,jika dia ragu-ragu boleh mendatangkan kebaikkan atau tidak maka janganlah bercakap sehinggalah dia yakin boleh membawa kebaikkan (pada kata-katanya)”
Oleh itu :
(1) Janganlah berkata-kata yang tidak baik seperti makian,hamunan juga kata-kata buruk sangka kerana sudah semestinya perkara tersebut tidak membawa kepada kebaikkan,
(2) Tetapi bercakaplah,menulislah dan berikanlah pendapat anda dengan perkataan-perkataan yang baik,bersangka baik dan tenanglah kerana sudah semestinya di situ akan membawa kebaikkan kepada perjuangan parti kita dan dapat menepis sangkaan buruk masyarakat terhadap PAS,
(3) Bercakaplah dengan fakta dan ilmiah dan jauhilah emosi gila menuding jari kepada mereka dengan berkata : Ulama’ UMNO,sesat barat dan ulama’ dunia,berdiam dirilah pada perkara yang kita tidak pasti juga samar-samar kesahihanya,kerana andai bersuara,memakan diri kita kembali dan bakal mengundang fitnah yang besar kepada parti.

“UMNO sebenarnya sudah tidak releven lagi..”
Apakah releven??
Kesemua mereka ialah orang-orang yang berilmu,yang pasti tahu halal juga haram,tahu hadith juga Al-Quran,bahkan pasti tahu mana yang baik dan mana pula yang buruk,golongan seperti mereka Allah telah puji di dalam firmaNya…
Jikalau ada yang berkata mereka ini hanya berilmu tinggi tetapi tidak mengamalkanya dengan menyertai UMNO,bersekongkol dengan puak munafiq yang tergamak menghalalkan judi …tanyalah mereka,apakah mereka bersetuju dengan tindakkan kerajaan?? Aku yakin mereka pasti menggeleng,kerana keharamanya telah jelas,masakan mungkin kesemua 40 orang ulama’ muda tersebut mengangguk bersetuju sedangkan keharamanya budak berumur 7 tahun pun tahu…mereka baru masuk UMNO semalam,dakwah pun belum lagi berjalan,adalah tidak adil mengaitkan mereka bersekongkol dengan kemungkaran yang dilakukan oleh UMNO sedangkan mereka tidak pernah pun menyatakan persetujuan dengan apa yang dilakukan UMNO..lainlah kalau mereka sudah 20 tahun di dalam UMNO tetapi berdiam diri tidak berkata apa apabila UMNO menghalalkan yang haram…
Bersangka baiklah bahawa kemasukkan mereka itu ada sebab tertentu dan bukan kerana mereka merasakan perjuangan UMNO adalah betul,satu malaysia tahu siapa UMNO dan kemungkaran mereka,mana mungkin mereka tidak tahu perkara tersebut…

“Channel History dalam Astro pasti berulang tetapi sejarah hanya mungkin sahaja berulang”
Sejarah mungkin berulang??
Ada juga yang berkata sejarah lama mungkin berulang,kerana tindakkan mereka yang ingin membersihkan UMNO dari dalam sama seperti insan-insan terdahulu pernah lakukan akhirnya menemui jalan buntu,lalu disisihkan oleh UMNO…Kata Dr.HAMKA :
“Sejarah itu tidak berulang,tetapi sikap manusia itu yang berulang”
Cuba kita lihat bagaimana sikap “insan terdahulu” membersihkan UMNO dari dalam,mereka tidak berjemaah!! maka suara mereka yang seorang itu pastilah tidak akan didengari oleh puak-puak UMNO yang degil itu,disebabkan itulah dakwah individu mereka menemui jalan buntu,dan “insan terdahulu” tidak serius dan lantang di dalam membetulkan UMNO,bahkan mereka pula yang terikutkan rentak UMNO kemudian selesa pula berada di dalamnya,andaikata mereka tegas dan serius di dalam memerangi kemungkaran UMNO,insyallah UMNO dapat diperbetulkan…andaikata sikap mereka sama sahaja seperti insan terdahulu di dalam membetulkan UMNO,maka waktu itu sejarah mungkin berulang…Tidak semestinya sejarah pasti berulang,tetapi hanya mungkin sahaja berulang kerana terdapat juga di dalam sejarah perkara yang tidak berulang,asalkan jejak orang lama yang salah tidak diikuti…
Sebenarnya keinginan mereka ingin membetulkan UMNO harus dipuji,kerana mereka ada keinginan untuk mencuba dan tidak mengendahkan akan sejarah mungkin berulang,cuba kita soroti sejarah pembebasan Kota Konstantinopel yang mana telah dibuka oleh Sultan Muhammad Al-Fatih yang mana ketika itu beliau baru berumur 19 tahun!! Atas keimanan baginda dengan hadith nabi yang menjanjikan bahawa kota tersebut bakal dibuka,maka baginda tidak mengendahkan langsung percubaan-percubaan insan terdahulu untuk membuka kota tersebut menemui jalan buntu :
لتفتحن القسطنطينية، ولنعم الأمير أميرها، ولنعم الجيش ذلك الجيش
Bermaksud : Sesungguhnya Kota Konstantinopel itu akan dibuka,yang mana rajanya adalah sebaik-baik raja dan askar-askarnya adalah sebaik-baik askar ( Hadith riwayat Imam Ahmad )
Andaikata baginda risaukan dan takutkan bahawa orang-orang terdahulu yang lebih hebat dan berpengalaman daripada baginda bahkan berpangkat sahabat nabi pernah cuba untuk membuka kota tersebut dan menemui jalan buntu akhirnya baginda membuat keputusan untuk tidak membukanya,maka pastilah sehingga hari ini kota tersebut tidak akan dibuka bahkan hadith nabi tersebut tidak akan baginda realisasikan!!
Berilah mereka peluang untuk membetulkan UMNO dari dalam,kita semestinya mendoakan kejayaan mereka membetulkan manusia-manusia durjana tersebut kembali ke pangkal jalan,andaikata kita sibuk memperlekehkan usaha mereka dan memaki hamun mereka,masyarakat luar akan beranggapan bahawa PAS tidak bersifat terbuka di dalam mempelbagaikan jalan dakwah,dan makian juga sangka buruk kita tidak akan menemui jalan penyelesaian tetapi hanya mengeruhkan lagi keadaan…
Tujuan utama kita berada di dalam PAS dan melakukan pelbagai kerja dakwah adalah semata-mata untuk mencapai redha Allah dan menginginkan kalimah Allah tertegak dengan tertegaknya sebuah Daulah Islamiah di negara kita,dan impian besar sedemikian memerlukan kerjasama yang jitu dari pelbagai pihak,tidak kira samada para ulama’ luar PAS,dalam PAS atau tabligh,NGO dan lain-lain,masing-masing bebas menjalankan dakwah dengan aulawiyaat (keutamaan) masing-masing selagimana tujuan utama tersebut tersemat di dalam wadah perjuangan,oleh itu,tidak kisahlah mahu berjuang di dalam mana-mana lapangan pun,asalkan ikhlas demi Allah,oleh itu kita tidak perlulah memaki mereka untuk berjuang di dalam UMNO sedangkan kita berkongsi matlamat akhir yang sama iaitu redha Allah dan ingin mengembalikan manusia kepada ajaran Allah…
Imam Ghazali pernah berkata di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin :
أن يكون في طلب الحق كناشد ضالة لا يفرق بين أن تظهر الضالة على يده أو على يد من يعاونه،ويرى رفيقه معيناً لا خصماً،ويشكره إذا عرفه الخطأ وأظهر له الحق
Bermaksud : “Jadilah kamu di dalam mencari suatu kebenaran itu seperti orang yang mencari barang yang hilang,dia tidak kisah barangnya yang hilang itu samada dijumpai oleh dirinya sendiri atau orang lain yang menolongnya mencari barang tersebut,dan dia memandang orang yang menolong tersebut sebagai penolong dan bukanya musuh,dan berterima kasih kepadanya jika dia tersalah dan orang itu pula membetulkan kesalahanya itu”
Ya kita perlu berterima kasih kepada mereka kerana mereka telah membantu kita menjalankan kerja dakwah,bahkan dapat menyenangkan lagi jalan kerja kita kerana cuba mempelbagaikan jalan dakwah…

“Ingat-ingat wahai saudara…”
Beringat…
Tetapi perlu diingat juga,perlakuan mereka itu juga dapat memberikan keuntungan kepada UMNO,kerana masyarakat luar akan beranggapan bahawa UMNO sekarang sudah menjadi sebuah parti yang releven kerana keterlibatan 40 orang ulama’ muda di dalam UMNO secara beramai-ramai yang mana belum pernah berlaku di dalam PAS dimasuki oleh ulama’ secara beramai-ramai dan serentak…ya,ianya akan menguntungkan UMNO andainya para ulama’ tersebut merasakan masuk ke dalam UMNO merupakan hanya semata-mata suatu lesen besar kepada mereka untuk melebar luaskan dakwah mereka yang hanya berlegar mengatakan itu sunnah ini sunnah dan itu bid’aah dan ini bid’aah!!
Tapi sedarlah yang ianya akan merugikan UMNO dan menempelak UMNO sendiri sekiranya dakwah mereka yang sebelum ini hanya bertumpu pada satu perkara dilebarluaskan dengan berdakwah lebih agresif dengan lebih banyak menyentuh tentang dosa memberi dan menerima rasuah,dosa menghalalkan dan menganjurkan kemungkaran,dosa mendedahkan aurat,dosa membiarkan rakyat di dalam kemiskinan,perjuangan di atas nama bangsa,dosa mengampu pemimpin dengan niat yang buruk dan mereka mesti menerangkan tentang prinsip keadilan yang sejati…andaikata dakwah sebegini yang lebih banyak mereka laungkan semasa mereka di dalam UMNO dan UMNO pula panas punggung tutup telinga tidak mengendahkanya,maka tunggulah saat UMNO akan hancur kerana rakyat sudah mula dapat membezakan mana parti yang baik dan ikhlas memperjuangkan islam dan parti mana yang tidak sama sekali!!

“Kalau lubang ular sebegini masuk walau sekali pun aku tak mahu!!”
Tidak bersetuju…
Jauh di sudut hatiku,aku tidak bersetuju dengan beberapa rakan menyatakan kepadaku bahawa mereka juga ingin mengikut jejak langkah 40 ulama’ tersebut masuk UMNO kerana ingin berdakwah di dalam UMNO…
Aku tidak bersetuju seandainya mereka hanya berseorangan melakukan dakwah tersebut,dan diri mereka pula masih belum kemas dengan ilmu-ilmu agama sekemas para ulama’ ini,dan apakah mereka dapat memastikan diri mereka bakal bersikap tegas lantang dan garang apabila kehormatan agama Allah dilanggar sesuka hati oleh puak-puak UMNO??
Jadilah seperti rasulullah sallallahu alaihi wassalam yang mana baginda tidak pernah marah langsung apabila kehormatan dirinya yang dicaci maki tetapi akan menjadi garang,agresif dan marah andaikata kehormatan agama Allah yang dicarik-carik :
عن عائشة زوج النبي صلى الله عليه وآله وسلم قالت : ما خير رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم بين أمرين إلا اختار أيسرهما ، ما لم يكن إثماً ، فإذا كان إثماً كان أبعد الناس منه ، وما انتقم رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم لنفسه إلا أن تنتهك حرمة الله فينتقم لله عز و جل بها
Bermaksud : “Daripada Aisyah radiallahu anha isteri baginda nabi berkata : Tidaklah diberikan pilihan kepada baginda nabi sallallahu alaihi wassalam di antara dua perkara kecuali pastilah baginda memilih perkara yang paling senang di antara dua pilihan tersebut selagimana perkara tersebut tidak terdapat dosa di dalamnya,jika terdapat dosa di dalamnya maka bagindalah orang yang paling jauh dengan perkara tersebut,dan tidaklah baginda akan membalas dendam untuk dirinya sendiri melainkan jika kehormatan Allah itu dicabuli maka baginda akan membalas dendam kerana Allah terhadap perkara tersebut” ( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dan berkatanya As-Syeikh Albanni rahimahullahu taala : hadith ini sahih )
Tetapi andai ingin masuk juga terserah kepada kalian,jikalau menyesal sila tanggung sendiri…
Aku?? Sesungguhnya aku minta berlindung daripada Allah untuk terjebak ke dalam UMNO selagimana UMNO tidak berubah dan mengubah dasar-dasar perjuangan mereka,kita marahkan UMNO bukan kerana dia UMNO,tetapi kita marahkan UMNO kerana sikap mereka yang sudah banyak melampaui batasan agama,biarkanlah aku terus berjuang di dalam PAS dan melakukan kerja-kerja dakwah di dalam jemaah ini kerana aku lebih senang untuk berdakwah di dalamnya,dan aku tidak memandang PAS hanya semata-mata sebuah parti politik,tetapi aku memandang PAS ialah medan dakwah yang strategik sekali untuk disertai,bahkan lebih daripada itu,kepada pihak-pihak yang ingin berjuang di dalam UMNO falakum zaalik ( terserah kepada kalian ) dan aku bukanlah orang yang terlalu kuat untuk berbuat demikian…
Tentang pendapat beberapa pihak yang mengatakan mereka masuk UMNO adalah kerana ingin menyelamatkan diri daripada tuduhan JI,Wahhabi dan Militan,sesungguhnya aku tidak berani untuk mengatakan sedemikian,kerana kita tidak tahu niat masing-masing,hanya Allah yang berhak mengetahuinya,dan aku hanya bercakap dari apa yang terzahir,seperti qaedah :
أن الأحكام يعمل فيها بالظواهر والله يتولى السرائر
Bermaksud : Sesungguhnya hukum hakam itu dinilai berdasarkan apa yang terzahir dan selebihnya ( apa yang tersirat di dalam hati ) biarlah Allah sahaja yang menguruskanya.
Kesimpulanya,aku tidak membantah 40 orang ulama’ itu masuk UMNO andainya niat mereka berbuat demikian adalah betul-betul serius untuk berdakwah kepada UMNO,dan aku mengharapkan yang mereka betul-betul mengambil peluang dakwah apabila mereka berada di dalamnya dengan mengubah aulawiyaat dakwah mereka yang selama ini hanya tertumpu kepada sesetengah perkara sahaja dan tidak memberatkan sesetengah perkara yang lain dan aku akan bersama sesiapa pun menentang mereka seandainya mereka mendiamkan diri terhadap kemungkaran yang terang-terang dilakukan oleh UMNO dan aku akan mendoakan mereka semoga berjaya di dalam kerja dakwah mereka dan supaya mereka tidak terikut jejak langkah orang terdahulu yang melakukan kesilapan di dalam mengubah UMNO supaya sejarah tidak lagi berulang :
لا يلدغ المؤمن من جحر واحد مرتين
Bermaksud : Seorang mu’min (yang bijak) itu tidak akan disengat di dalam lubang ular yang sama buat kedua kalinya (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)
HIDUPLAH PERJUANGAN ISLAM SELAMANYA!!
Read Full Post »