Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Ogos 2012

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Alhamdulilah segala puji hanyalah bagi Allah tuhan sekalian alam…

“Al-Quran..oooo…oooo..Kalamullah”

Apa yang ingin dibanggakan dengan khatam Al-Quran?

Sememangnya diketahui  menghabiskan bacaan Al-Quran keseluruhanya di dalam bulan Ramadhan adalah digalakkan bahkan pahalanya berganda-ganda ditambah pula dengan kiraan pahala bacaanya berdasarkan huruf-huruf yang dibaca seperti yang dikatakan di dalam hadith Abdullah Bin Mas’ud riwayat At-Tirmizi dengan nilaian hasan sahih itu.

Tidak dinafikan bahawa secara umumnya si pembaca mendapat segala janjian Allah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih yang berupa pahala yang berganda, mendapat syafaat, ditinggikan darjat, mendapat ketenangan dan sebagainya apabila membacanya dan lebih-lebih lagi apabila mampu mengkhatamkanya.

Namun apa yang berlaku adalah keghairahan sesetengah orang yang terlalu ingin mengejar khatam Al-Quran lalu tergopoh-gapah membacanya dan apabila selesai membacanya sebanyak dua juzuk atau lebih mereka mengumpat hal orang lain, mereka memandang perkara yang diharamkan oleh Allah, dan masih tergamak melakukan maksiat lagi sedangkan baru sahaja melakukan ketaatan?!

Begitu juga masih liat hatinya untuk bersedeqah, masih belum dapat mengimani bahawa hukuman Allah menjadi penyelesaian aktiviti jenayah, dan masih teraba-raba mencari penyelesaian selain kata-kata Allah sedangkan mereka membaca Al-Quran di waktu pagi dan petang?!

Begitu juga para penuntut ilmu dan ustaz serta ustazah bahkan para hafiz dan hafizah masih suka menyindir dan menempelak orang lain yang tidak sependapat dengan mereka, meremehkan orang yang jahil, kesukaan berdebat dan memaki hamun orang lain dan berakhlaq bukan seperti anjuran Al-Quran sedangkan mereka mempelajari dan menghafaznya bertahun-tahun?!!

Di manakah silapnya para pembaca Al-Quran ini?!

Silapnya adalah mereka terlupa untuk memahami tujuan utama penurunan kitab suci ini, yang mana telah dinyatakan di dalam surah yang terawal sekali bahawa kitab suci ini menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa, menunjukkan anda jalan supaya segala larangan Allah dijauhi, dan cara untuk mendapat petunjuk dan menjauhi segala larangan Allah adalah tidak cukup dengan anda hanya membacanya secara membuta tuli dan dengan perasaan ingin cepat khatam tetapi disana adanya juga galakkan untuk  memahami apakah yang sebenarnya ingin Allah sampaikan dan mengetahui apakah perkara yang Allah larangi.

Mereka bangga kerana mampu khatam kurang 30 hari…tetapi mereka tidak rasa bersalah apabila berakhlaq buruk dan menolak hukum Allah berhari-hari!

Ya, anda menang dari sudut mampu menghabiskan masa kosong anda dengan membacanya, anda menang dari sudut mendapat pahala yang berganda dan segala janjian Allah terhadap pembacanya tetapi anda kalah dari sudut menjadikan kata-kata Allah sebagai azimat mendepani kehidupan dunia yang penuh cabaran, anda gagal untuk berhenti melakukan perkara yang Allah larangi kerana takutkan Allah disebabkan anda tiada sandaran untuk berbuat demikian!

Bacaan Al-Quran tanpa memahami apa yang ingin Allah sampaikan adalah kosong daripada ruh Al-Quran, umpama membaca buku-buku ilmiah dan teori-teori manusia tetapi tidak mampu menggunakanya di dalam kehidupan seharian kerana tidak memahaminya.

 

Menjadi ‘abid atau menjadi orang ‘alim?

“Nak jadi ‘abid semata-mata?….Aku mahu menjadi ‘alim!”

            Seseorang yang membaca Al-Quran kerana mengharapkan pahala semata-mata adalah seperti seorang ‘abid (orang yang banyak melakukan ibadah) tetapi dia tidak tahu pun apakah ibadahnya mengikut sunnah baginda rasul atau tidak, dan orang yang membaca Al-Quran dan cuba memahaminya serta mengkajinya adalah seperti penuntut ilmu yang mana ikan di lautan pun meminta ampun terhadap dosa-dosanya bahkan darjatnya lebih tinggi daripada seorang ‘abid :

من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له طريقا إلى الجنة وإن الملائكة لتضع أجنحتها رضا لطالب العلم وإن طالب العلم يستغفر له من في السماء والأرض حتى الحيتان في الماء وإن فضل العالم على العابد كفضل القمر على سائر الكواكب إن العلماء ورثة الأنبياء إن الأنبياء لم يورثوا دينارا ولا درهما إنما ورثوا العلم فمن أخذه أخذ بحظ وافر

Bermaksud : Sesiapa yang menyusuri jalan menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga, dan para malaikat akan menghamparkan sayapnya kerana redha dengan penuntut ilmu, dan sesungguhnya setiap yang berada di langit dan di bumi sehinggakan ikan di laut pun akan memohon keampunan kepada si penuntut ilmu, dan orang yang berilmu adalah lebih tinggi darjatnya daripada seorang ‘abid seperti bulan yang lebih besar daripada sekalian bebintang, sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar juga dirham tetapi mewariskan ilmu, sesiapa yang mengambilnya, dia telah mengambil suatu keuntungan yang besar (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmizi dan telah disahihkan oleh Imamuna Al-Albani)

Apakah anda hanya ingin menjadi seorang ‘abid semata-mata yang mengharapkan pahala sahaja atau anda ingin menjadi seorang penuntut ilmu? Orang yang bijak ialah orang yang menggabungkan segala kebaikkan dan bukanya berfikir-fikir untuk mengorbankan salah satunya. Maka jadilah kedua-duanya adalah langkah yang bijak, dan untuk menjadi orang yang bijak anda perlu bekerja keras!

 

Apakah tujuanya?!

“Syeikhuna Al-Allamah Soleh Uthaimen..Aku menyayangimu kerana Allah”

            Dinyatakan di dalam kitab : Syarhu Muqaddimati Fi Usulit Tafsir oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullahu taala dan disyarahkan oleh Fadhilatus Syeikh Al-Allamah Muhammad Bin Soleh Al-‘Utsaimeen bahawa Al-Quran itu diturunkan kerana tiga tujuan :

  1. Membacanya sebagai ibadah
  2. Memahami maknanya
  3. Mempraktikkanya di dalam kehidupan seharian. (Rujuk : Syarhu Muqaddimati Fi Usulit Tafsir cetakkan Dar Ibnul Jauzi m/s : 7)

Dari membacanya kepada memahaminya seterusnya bergerak mengamalkanya hasil pemahaman yang dipelajari adalah sebab utama kitab suci ini diturunkan, anda mampu mengamalkanya kerana anda baca dan anda faham! Itu sifirnya!

Dan jalan para Salafussoleh ridhwanullahi alaihim ‘ajmain adalah yang terbaik untuk diikuti, mereka dahulunya apabila diajari oleh baginda rasulullah sallallahu alaihi wassalam sepuluh ayat-ayat Al-Quran, mereka tidak akan tergesa-gesa meminta baginda mengajarkan sepuluh ayat seterusnya jika mereka belum mengamalkan ayat yang telah mereka dipelajari, maka Al-Quran yang berada di dalam dada para sahabat adalah berupa bacaan, hafazan dan amalan sekaligus walaupun hanya beberapa ayat sahaja yang diketahui sesetengah mereka.

Abdullah Ibnu Umar ‘terlalu lambat’ mempelajari surah Al-Baqarah selama 8 tahun lamanya kerana sibuk mengamalkanya, Umar radiallahu anhu mempelajari surah Al-Baqarah pula selama 12 tahun lamanya dan apabila habis mempelajarinya beliau menyembelih seekor unta kerana bersyukur mempelajarinya dan ‘berjihad’ untuk mengamalkanya, Abdullah Ibnu Mas’ud pernah mengeluh kesusahan kerana sukar untuk menghafaz Al-Quran tetapi beliau merasakan adalah lebih senang untuk mengamalkan ayat yang difahaminya.

Sesungguhnya Allah memberikan golongan Salafusoleh keringanan untuk mengamalkan ayat yang dipelajari kerana mereka bergerak untuk menghayati, mereka tidak risaukan tentang berapa banyak ayat yang belum dibaca dan dihafaz, tetapi apa yang berlegar di kepala mereka adalah berapa banyakkah ayat yang belum diamal  seperti yang dilafaz.

 

Contoh-contoh aplikasi

 

Ketika Allah menurunkan ayat ini :

Bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya (Al-Maidah : 90)

Anas Bin Malik radiallahu anhu berkata bahawa : “Ketika aku sedang mengedarkan gelas-gelas yang berisi arak kepada Abu Thalhah, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Muaz Bin Jabal, Suhail Bin Baidha’ dan kepada Abu Dujanah, mereka meminumnya sehingga mabuk hasil perahan campuran tamar yang muda dan tamar yang kering, tiba-tiba aku terdengar seseorang berkata : Sesungguhnya ayat pengharaman arak telah diturunkan! Lalu kami terus memecahkan gelas yang diminum, memecahkan terus balang-balang yang berisi arak dan ada yang terus berwudhuk bahkan ada yang terus mandi dan memakai minyak wangi lalu terus menuju ke masjid, lalu kami mendengar baginda nabi sallallahu alaihi wassalam membaca ayat ini (Al-Maidah : 90)” (Rujuk : Tafsir Al-Quranil Azim oleh Ibnu Katsir jilid : 3 m/s : 182)

 

Ketika Allah menurunkan ayat ini juga :

Bermaksud : Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi (Ali-Imran : 92)

Anas Bin Malik pernah berkata : Sesungguhnya Abu Thalhah merupakan orang Ansar yang paling banyak hartanya di Madinah, dan hartanya yang paling disayanginya ialah sebuah kebun di tempat yang bernama Bairaha’ dan kebun tersebut berdepan dengan masjid, dan baginda nabi sallallahu alaihi wassalam pernah memasukinya dan pernah minum air di kebun tersebut yang sejuk, dan apabila turun ayat ini Abu Thalhah telah berkata kepada baginda nabi : “Wahai nabi, Allah telah berkata bahawa seseorang tidak akan mendapat kebaikkan jika dia belum mendermakan harta yang disayanginya, dan harta yang aku sayangi adalah Bairaha’ ini, dengan ini aku dermakan Bairaha’ ini dan inginkan pahala daripada Allah! Maka lakukanlah apa yang kamu sukai dengan kebun ini! Lalu baginda nabi sangat kagum dan berkata : harta yang banyak, harta yang banyak, aku rasakan supaya kamu dermakan kepada kaum keluargamu, lalu beliau terus membahagikanya kepada kaum keluarganya (Riwayat Bukhari dan Muslim, Rujuk : Tafsir Al-Quranil Azim oleh Ibnu Katsir jilid 2 m/s : 73)

 

Begitu juga dengan ayat ini :

Bermaksud : Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab neraka (At-Thur : 27)

‘Ibad Ibnu Hazimah berkata : Aku pernah masuk berjumpa dengan Asma’ Bintu Abi Bakar dan ketika beliau sedang membaca ayat ini beliau terus berhenti lalu berdoa dan meminta perlindungan kepada Allah, lalu aku pun pergi ke pasar untuk membeli barang keperluanku dan selepas aku balik aku melihat beliau masih lagi mengangkat tangan dan masih terus berdoa.

 

Ketika ayat ini pula diturunkan :

Bermaksud : Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? (Al-Baqarah : 245)

Apabila turunya ayat ini, Abu Dahdah radiallahu anhu bertanya kepada rasulullah sallallahu alaihi wassalam :

“Wahai rasulullah, apakah Allah inginkan pinjaman daripada kita?”

Baginda menjawab : “Ya wahai Aba Dahdah”

Beliau berkata : “Hulurkanlah tanganmu wahai rasulullah”

Lalu baginda pun menghulurkan tangan baginda yang mulia, lalu beliau berkata :

“Sesungguhnya aku ingin ‘meminjamkan’ kepada Allah kebunku ini yang mana ianya ditanami dengan 600 batang tamar dan keluargaku pun berada di dalamnya”

Lalu beliau pun memanggil isterinya seraya berkata dengan penuh slumber :

“Keluarlah wahai Ummu Dahdah bersama anak-anak kita daripada kebun ini kerana aku telah mendermakanya ke jalan Allah!” (Riwayat Ibnu Mardaweih daripada Abdur Rahman Bin Zaid Bin Aslam daripada bapanya daripada Umar secara Marfu’ dan riwayat Ath-Thobrani di dalam Al-Kabir dengan sanad yang lemah tetapi adanya syawahid daripada riwayat Anas dan Umar radiallahu anhuma)

 

Begitu juga dengan ayat ini :

Bermaksud : ….Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka (An-Nur : 31)

Aisyah radiallahu anha pernah berkata bahawa apabila turunya ayat ini para wanita Muhajirin terus mengoyakkan kain-kain yang mereka ada dan terus memakaikanya di kepala! (Hadith bernombor 4758 di dalam Sahihul Bukhari)

Dan beliau juga pernah menyatakan bahawa belum pernah aku melihat orang yang paling beriman dengan Kitabullah seperti wanita Ansar, apabila turunya ayat ini para lelaki mereka bergegas membacakanya kepada kaum kerabat, suku-sakat, saudara-mara mereka dan wanita-wanita mereka, lalu wanita-wanita tersebut pun bergegas mengambil kain yang labuh lalu menutupi kepala mereka seolah-olah burung gagak duduk di atas kepala mereka bermakna semuanya sedondon bertudung litup dengan warna hitam (Riwayat Imam Bukhari dan  Abu Daud, nilaian Hasan Li Ghairihi kerana di dalamnya ada Muslim Bin Khalid Az-Zinji yang lemah dari sudut hafazanya tetapi tsiqah)

Subhanallah!! Apakah yang telah membuatkan mereka begitu cepat dan bergegas mengamalkan suruhan Allah di dalam Al-Quran ketika ia masih ‘panas-panas’ baru diturunkan?!

Ya, keimanan mereka terhadap Allah…bagaimana? Kerana mereka menghayatinya…bagaimana?…kerana mereka memahaminya!! Maka mereka mampu menjadi baik selepas membaca Al-Quran! Subhanallah…

 

Berfikir-fikir…

“What Are you sinking??”

            Aku berfikir-fikir, jikalau aku berada di zaman para sahabat dengan baginda nabi berdekatan apakah aku boleh menjadi secepat mereka mengamalkan suruhan Allah dengan keadaan aku yang lebih banyak senang dari kesusahan?

Maka inilah jawapan aku kepada ramai orang yang bertanya bagaimana ingin terus menjadi baik walaupun baru sahaja berbuat baik…membaca Al-Quran bersama tafsir dan berusaha memahaminya tanpa membacanya sahaja tak faham maknanya, insyallah anda akan menjadi baik! Selamat beramal!

 

Daud Bin Dalib At-Tetouani

Taman Maju, Jasin, Melaka

24 Ramadhan 1433H

7:02 PM

Advertisement

Read Full Post »