Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Mei 2010

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Alhamdulilah,segala puji hanyalah bagi Allah….

“Masjid Quba’….”

Ziarah pertama : Masjid Quba’…

قال النبي صلى الله عليه و سلم : من خرج حتى يأتي هذا المسجد يعني مسجد قباء فيصلي فيه كان كعدل عمرة

Bermaksud : Barangsiapa yang keluar (daripada rumahnya) sehinggalah sampai ke masjid ini iaitu masjid  Quba’ lalu bersolat di dalamnya maka pahalanya seperti pahala umrah (berkatanya Az-Zahbi,hadith ini sahih)

Sesungguhnya mengikut sunnah rasulullah sallallahu alaihi wassalam baginda nabi datang ke Masjid Quba’ pada setiap hari Sabtu samada berjalan kaki atau menaiki tunggangan dan baginda akan bersolat di dalamnya 2 rakaat…

Alhamdulilah,sememangnya rombongan kami dapat mengikut sunnah dengan pergi ke masjid tersebut pada hari Sabtu dan alhamdulilah juga kami sempat bersolat sunat 2 rakaat di dalam masjid tersebut dengan niat mengikut sunnah baginda nabi,terasa tidak lengkap ziarah jikalau tidak ke masjid ini,masjid ini jauhnya dengan Masjid Nabawi lebih kurang 5 kilometer sahaja,dan terdapatnya sebuah perigi yang dinisbahkan kepada Abu Ayub Al-Anshari di dalam masjid ini…

Masjid Quba’ merupakan masjid yang pertama dibina oleh baginda nabi sallallahu alaihi wassalam ketikamana baginda berhijrah daripada Mekah ke Madinah,mengikut riwayat Ibnu Abi Khaitsamah,ketika baginda mengasaskan masjid ini,baginda merupakan orang pertama yang meletakkan batu asas pembinaanya di arah kiblat masjid ini,kemudian diikuti oleh Abu Bakar As-Siddiq radiallahu anhu,kemudian Umar Al-Faruq radiallahu anhu pula meletakkan batu asasnya di samping batu yang telah diletakkan oleh Abu Bakar,lalu manusia seluruhnya pun mula membina masjid tersebut…

Dan ketahuilah bahawa masjid ini merupakan masjid yang telah dibina di atas asas ketaqwaan yang mana Allah telah merakamkan tentangnya di dalam Al-Quran :

“ Sesungguhnya masjid yang didirikan di atas dasar taqwa (masjid Quba),sejak hari pertama (ianya dibina) adalah lebih patut kamu solat di dalamnya,di dalam masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih.” (At-Taubah : 108)

Bahkan di dalam hadith baginda :

عن أبيّ بن كعب: أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: “المسجد الذي أسس على التقوى مسجدي هذا

Bermaksud : Daripada Ubay Bin Ka’ab radiallahu anhu sesungguhnya nabi sallallahu alaihi wasalam telah bersabda : Masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan ialah masjidku ini (Masjid Quba’) (riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya)

“Dari bahagian hadapan..subhanallah..”

Ceritera di sebalik Masjid Quba’…

Sesungguhnya sebelum kedatangan baginda nabi ke Madinah,terdapatnya seorang lelaki dari Bani Khazraj yang bernama Abu ‘Amir Ar-Rahiib yang mana beliau ini dahulunya penyembah berhala seperti masyarakat jahiliah yang lain kemudianya beliau memeluk agama Kristian dan telah berguru dengan para ahli kitab tentang Kitab Injil,dan beliau mempunyai kedudukkan yang tinggi di kalangan Bani Khazraj,dan apabila baginda nabi berhijrah ke Madinah,dan semua orang Ansar meletakkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda ditambah pula dengan kemenangan orang-orang islam di dalam peperangan Badar,beliau berasa sangat iri hati dan sangat benci kepada baginda,lalu beliau pun bergegas ke Mekah untuk bergabung bersama para tentera Musyrikun Mekah di dalam peperangan Uhud untuk memerangi baginda nabi,beliau telah menggali beberapa parit yang besar di Siffin sehingga menyebabkan baginda nabi telah terjatuh ke dalam salah satu parit tersebut,sehingga patah tulang peha baginda nabi yang mulia…

Tidak cukup dengan perbuatan tersebut,beliau pun pergi ke pemerintah Rom pada masa itu iaitu Raja Hercules untuk meminta pertolongan daripada raja tersebut untuk memerangi baginda nabi,dan raja tersebut pun bersetuju untuk menolongnya,lalu beliau pun memberitahu kaum-kaumnya yang munafiq dan fasiq di Madinah bahawa beliau akan menghantar suatu bala tentera yang besar untuk mengalahkan baginda nabi dan mengarahkan mereka persiapkan diri mereka dengan kelengkapan perang,selepas itu,beliau pun mula membina sebuah masjid yang berdekatan dengan Masjid Quba’,dan pembinaan masjid tersebut telah selesai sebelum baginda keluar ke peperangan Tabuk,lalu para pengikutnya pun mengajak baginda nabi agar sudi bersolat di masjid yang telah dibina mereka agar dapat menjadi suatu hujjah bahawa baginda nabi  merestui mereka jika baginda bersolat di situ,mereka menyatakan kepada baginda bahawa masjid itu dibina untuk orang-orang yang susah dan sebagai tempat berlindung daripada kesejukkan musim sejuk di waktu malam,tetapi Allah telah melindungi nabi daripada termakan ajakkan mereka itu dengan bersabda :

“Sesungguhnya aku ini di dalam permusafiran (ke Tabuk) dengan izin Allah sekembalinya kami daripada musafir,kami akan bersolat di situ..”

Kemudian,sekembalinya baginda nabi daripada Tabuk ke Madinah,tidak sampai sehari atau dua hari turunlah wahyu daripada Allah memberikan peringatan tentang Masjid Dhirar (masjid yang dibina oleh Abu ‘Amir) yang mana ianya di bina di atas asas kekafiran kepada Allah dan bertujuan untuk memecahbelahkan kesatuan kaum muslimin yang bersolat jemaah di Masjid Quba’ yang  diasaskan di atas asas taqwa kepada Allah :

Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belahkan antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu.Sesungguhnya mereka bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan.” dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya)(At-Taubah : 107)

Dan juga larangan Allah kepada baginda agar tidak bersolat di situ :

“Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan di atas dasar taqwa (masjid Quba),sejak hari pertama (ianya dibina) adalah lebih patut kamu solat di dalamnya,di dalam masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih” (At-Taubah : 108)

Kemudianya,baginda nabi pun menghantar Malik Bin Dukhsyum dan Ma’an bin ‘Adiy untuk merobohkan Masjid Dhirar itu dan membakarnya…(rujuk Tafsir Ibnu Katsir iaitu riwayat tentang surah At-Taubah ayat 107-108)

“Yang warna merah ranum itu Rathab dan yang di dalam mangkuk itu Tamar..”

Pasar kurma…

Di bahagian luar masjid ini,terdapat beberapa pasar kurma,di masjid inilah aku pertama kali merasa kurma yang sungguh sedap sekali,kurma ini sangat basah dan sangat ranum serta masih terasa lagi manisnya,seakan-akan ianya telah direndam lama-lama di dalam air gula,dan rasanya seperti campuran buah anggur dan kurma,dan mutawif aku memberitahu bahawa kurma yang basah dan ranum ianya dipanggil sebagai “Rathab” (basah) manakala kurma yang sudah dikeringkan pula dinamakan sebagai “Tamar” dan perkara ini merupakan ilmu baru bagi aku,kerana sebelum ini aku tidak tahu pula kurma yang dikeringkan dinamakan sebagai tamar,hehe…

Keadaan di dalam masjid ini sungguh tenang dan nyaman sekali,terdapat suatu ruang legar di bahagian tengah masjid ini,tetapi memang sungguh,terasa masjid ini dibina atas rasa ketaqwaan,kerana aku dapat merasakan suatu ketenangan yang aneh apabila bersolat di dalamnya,sungguh aneh…sesungguhnya kalam Allah dan rasulNya sangat benar…percayalah bahawa apabila anda masuk lalu bersolat ke dalam masjid ini,insyallah akan merasainya juga…

Bersambung insyallah ke Ceritera Haramain 3 tentang ziarah-ziarah kami yang seterusnya..

Read Full Post »

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Alhamdulilah,segala puji hanyalah bagi Allah…

“Masjid Nabawi dari shoot tepi tingkap hotel..”

Rombongan….

Rombongan umrah kami berjumlah 12 orang kesemuanya,pada mulanya aku diberitahu yang YB Mat Sabu bakal memimpin rombongan kami,aku tercari-cari kelibat beliau,tetapi diberitahu oleh ketua rombongan kami iaitu Pakcik Yuhaizad (Timbalan Yang Di-Pertua PAS Kawasan Jasin) bahawa YB Mat Sabu akan menyertai kami dari Mekah kerana beliau akan bergerak ke Mekah daripada Iran…dalam rombongan kami itu aku terlihat seorang yang sangat aku kenali,aku cuba meneka namanya,tepat rupanya beliau ialah Hanipa Maidin seorang peguam syariah dan merupakan AJK PAS Pusat sebagai Pengerusi Lajnah Guaman,kami bersalaman…

Tempat dudukku bersebelahan beliau,kami bercerita tentang banyak perkara sepanjang perjalanan,beliau banyak menanyakan tentang sistem pelajaran Maghribi kepadaku,banyak manfaat yang aku perolehi daripada beliau,bicara kami di dalam pesawat lebih banyak berkisar tentang senario politik tanahair,kerana bukan senang mahu berjumpa pimpinan pusat,waktu beginilah aku manfaatkan…aku mencatit beberapa tajuk buku yang beliau sarankan yang mana buku-buku tersebut lebih menceritakan tentang perbandingan hukum sivil dan hukum syariah,kami juga berbicara tentang Ilmu Feqh dan Usul Feqh dan kaitan keduanya di dalam sistem perundangan,beliau juga mengemukakan bukti-bukti perundangan sivil banyak mencedok sistem perundangan syariah hasil pengalaman beliau sebagai peguam…kemudian masing-masing tidur,aku tersenyum sendirian,manfaat pertama yang aku perolehi sebelum ke sana….

“Inilah rombongan kami dengan ihram,err..yang paling kiri tu bukan eh..hehe”

Ceritera Madinah…

Alhamdulilah…segala puji bagi Allah,aku sampai ke Kota Hijrah iaitu Al-Madinah Al-Munawwarah dari lapangan terbang Jeddah pada waktu yang agak tengah malam,sampai-sampai sahaja terus semua barang-barang dikeluarkan,kami menginap di hotel yang agak dekat dengan Masjid Nabawi iaitu hotel Retaj Al-Manazeli iaitu hotel kepunyaan orang-orang Turki,kerana aku melihat bendera Turki terpacak kemas di atas meja penyambut tetamu…aku tidak cakap banyak,terus memburu kamar tidur kerana penat merentas padang pasir,nasib baik naik van,kalau naik unta dah lama aku lelap kat tepi tangga hotel itu juga!!

Esoknya semua tetamu Allah dari berbagai pelusuk ceruk dunia berbondong-bondong berjalan kaki menuju ke Masjid Nabawi untuk menunaikan Solat Subuh,keadaan sungguh tenang dan hening,sesampainya di masjid,terlalu ramai ummat Muhammad yang bersesak-sesak menuju ke bahagian hadapan masjid untuk bersolat di situ,aku membaca Al-Quran sambil-sambil menunggu muazzin melaungkan azan subuh,kelihatan payung besar di tengah-tengah ruang legar masjid mula menaikkan lembayungnya,menarik!!…teringat kepada sebuah hadith baginda nabi :

عن أبي هريرة ، رضي الله عنه ، سمعت رسول الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم يقول : سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلاَّ ظله : الإمام العادل ، وشاب نشأ في عبادة الله ، عَزَّ وَجلَّ ، ورجل قلبه متعلق بالمساجد ، ورجلان تحابا في الله اجتمعا على ذلك وتفرقا عليه ، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال : إني أخاف الله. ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ، ورجل ذكر الله خاليًا ففاضت عيناه.

Bermaksud : Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu : “ Aku telah mendengar rasulullah sallallahu alaihi wassalam bersabda : Tujuh golongan yang akan Allah lindungi mereka di bawah lembayung rahmatNya pada hari tiadanya lindungan selain lindungaNya,mereka ialah : Pemerintah yang adil,pemuda yang hanya hidup beribadat kepada Allah Taala,dan lelaki yang hatinya sentiasa bergantungan dengan masjid,dua lelaki yang saling menyukai kerana Allah yang mana mereka bertemu dan berpisah adalah keranaNya,lelaki yang apabila diajak oleh perempuan yang mempunyai pangkat dan kecantikkan( untuk berbuat perkara yang dimurkai Allah) akan berkata : Sesungguhnya aku takutkan Allah,dan lelaki yang bersedeqah dan menyembunyikan sedeqahnya sehinggalah tangan kiri tidak mengetahui apa yang telah diberikan oleh tangan kanan,dan lelaki yang berzikir kepada Allah berseorangan sehingga mengalirlah airmatanya”

Maka pilihlah mana-mana golongan yang kamu sukai….

Selepas daripada solat subuh,Pakcik Yuhaizad mengajak kami menziarahi maqam baginda nabi sallallahu alaihi wasssalam bersama maqam Abu Bakar dan Umar radiallahu anhuma,aku sangat gembira,kami pun bergerak perlahan-lahan ke arah maqam baginda nabi,terlalu ramai manusia yang berpusu-pusu ke arah maqam,sesampainya kami di hadapan maqam,aku pun mula membaca doa yang daku hafal :

السلام عليك يا رسول الله,السلام عليك يا نبي الله,السلام عليك يا خيرة خلق الله من خلقه,السلام عليك يا خير خلق الله.السلام عليك يا حبيب الله.السلام عليك يا سيد المرسلين.السلام عليك يا رسول الله رب العالمين.السلام عليك يا قائد الغر المحجلين.أشهد أن لا إله إلا الله،وأشهد أنك عبده ورسوله وأمينه وخيرته من خلقه.وأشهد أنك قد بلغت الرسالة، وأديت الامانة، ونصحت الامة، وجاهدت في الله حق جهاده.

Bermaksud : Salam sejahtera ke atas mu wahai rasulullah,salam sejahtera ke atas mu wahai nabi Allah,salam sejahtera ke atas mu wahai kejadian Allah yang terbaik daripada sekalian makhluqNya,salam sejahtera ke atasmu wahai kejadian Allah yang baik,salam sejahtera ke atas mu wahai kekasih Allah,salam sejahtera ke atas mu wahai penghulu sekalian rasul,salam sejahtera ke atas mu wahai rasulullah rasul kepada tuhan sekalian alam,salam sejahtera ke atas mu wahai ketua bagi para mukmin yang bercahaya wudhuk,Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah,dan aku bersaksi bahawa engkau hambaNya,rasulNya,yang amanah kepada Allah,kejadian terbaik daripada makhluq-makhluqnya,aku bersaksi bahawa telah engkau sampaikan risalah,telah engkau lunaskan amanah,telah pun engkau menasihati ummat dan telah pun engkau berjihad di jalan Allah dengan bersungguh-sungguh…(rujuk : Feqh Sunnah Sayyid Sabiq jilid 1 terbitan Darul Fikr mukasurat 553)

Kemudian,selesai daripada doa tersebut kepada baginda nabi,aku pun memberikan salam kepada dua sahabat setia baginda nabi yang ditanam bersebelahan dengan baginda nabi iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Faruq radiallahu anhuma,kedengaran polis-polis penjaga maqam sekali-sekala memarahi para pelawat yang berdiri di tengah-tengah jalan…

“Di hadapan salah satu pintu Masjid Nabawi..”

Taman-taman syurga nan indah…

ما بين بيتي ومنبري روضةٌ من رياض الجَنَّة

Bermaksud : Di antara rumahku (maqam baginda) dan minbarku merupakan sebuah taman daripada taman-taman syurga..(riwayat Imam Bukhari)

Begitulah sabda nabi…di antara maqam baginda nabi sallallahu alaihi wassalam dan minbar baginda adalah suatu tempat yang dipanggil sebagai Ar-Raudhah yang bermaksud taman….Mengapakah baginda menggelar tempat tersebut sebagai taman daripada taman-taman syurga ya??

Kerana dahulunya Ar-Raudhah ialah tempat beribadat,berzikir dan menuntut ilmu bagi para sahabat baginda yang mana keadaan sedemikian seolah-olah berada di dalam suatu taman di dalam taman-taman syurga,dan ianya berdasarkan sebuah hadith baginda nabi :

“ Jikalau kalian melintasi taman-taman syurga maka nikmatilah sepuas-puasnya,kemudian mereka pun bertanya : apakah dia taman syurga itu?? jawab baginda : perkumpulan zikir…” (riwayat Imam Tirmizi)

Pada petang itu,selesai daripada solat Asar di Masjid Nabawi,aku pun bergegas-gegas pergi ke ruang legar tengah masjid iaitu di bawah payung besar,kerana semalam aku terlihat ada pengajian di situ,tapi aku tidak pasti pengajian apa dan oleh siapa,aku hanya sempat duduk sekejap kemudian balik untuk menemankan ayahku pulang ke hotel,kerana ayahku sudah mula sakit-sakit ketika di Madinah..

Tapi hari ini,segala puji bagi Allah aku sempat mengikuti majlis ilmu tersebut,terdapat seorang syeikh duduk di atas kerusi yang besar dan dikelilingi oleh para murid yang ramai yang semuanya memakai serban merah yang dilapik ke atas kepala seperti tudung wanita…aku cuba mengintai-intai tajuk buku yang mereka pelajari,rupanya ianya adalah buku : Al Manhaj al Sahih Fi al Hukm ‘Ala al Hadith al Nabawi al Syarif oleh Adil Mursyid..aku belum pernah ketemu dan membaca kitab tersebut,aku cuba mencari tempat duduk paling depan kerana ingin merakam pengajian tersebut,tetapi tidak kesampaian,aku hanya duduk sambil mendengar,benarlah kata baginda,keadaan duduk di dalam majlis ilmu seolah-olah duduk di dalam taman syurga,sungguh indah menuntut ilmu…terdapat seorang murid membacakan isi kandungan buku dengan mikrofon dan syeikh tersebut membahaskan terus apa yang dibaca,selesai pengajian kelihatan berpusu-pusu anak-anak murid beliau mendapatkan beliau,disalam dan dicium dahi beliau,dan ada juga yang sempat menanyakan soalan,aku cuba menghampiri,tetapi tidak sempat,kerana terlalu sesak dan syeikh itu terus keluar daripada masjid…

Selesai pengajian,aku pun cuba-cuba ingin meninjau keadaan Ar-Raudhah baginda nabi,hajatnya kalau tidak sesak ingin bersolat sunat dan berdoa di situ,aku pun cuba mencari tempat solat,tetapi keadaan terlalu sesak…aku pun bersolat juga di tempat yang sedikit kosong dan meletakkan cermin mataku di atas karpet Ar-Raudhah….

PRAAAAP!!!! Sungguh merdu bunyi cermin mataku di pijak oleh seorang Pakistan yang mana tapak kakinya sebesar bigfoot jantan,mungkin kerana mendaki gunung setiap hari kot..getusku sambil memungut bangkai cermin mataku…

Kemudian ada seorang pakcik arab dari Syria yang duduk bersebelahan denganku pun berkata : “ Bukankah lebih baik jikalau kau suruh aku pegangkan cermin mata kau tadi” aku pun menjawab : “ Qadarallahu wa ma syaak fa’al..”  (Allah telah pun menentukanya terjadi,dan apa yang ingin dilakukanya telah pun dilakukaNya)

Ucapanku itu berdasarkan daripada sebuah hadith baginda nabi iaitu :

عن أبي هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : المؤمن القوى خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف وفي كل خير احرص على ما ينفعك واستعن بالله ولا تعجز فإن أصابك شيء فلا تقل لو أني فعلت كذا وكذا ولكن قل قدر الله وماشاء فعل فإن لو تفتح عمل الشيطان

Bermaksud : Daripada Abu hurairah radiallahu anhu,berkatanya nabi sallallahu alaihi wassalam : Orang mu’min yang kuat (keimanan) adalah baik dan lebih disukai oleh Allah daripada mu’min yang lemah,tetapi masing-masing juga mempunyai kebaikkan..dan bersungguh-sungguhlah mencari setiap perkara yang boleh memberikan manfaat kepadamu,dan pintalah pertolongan kepada Allah dan janganlah merasa lemah (berputus asa untuk mencari perkara yang bermanfaat),jika kamu ditimpa sesuatu (musibah) maka janganlah dikau katakan : kalaulah aku lakukan begini dan begini tetapi katakanlah (jika ditimpa musibah) : “Qadarallahu wa ma syaa’ fa’al” (Telah pun Allah tentukanya terjadi,dan apa yang ingin dilakukanya telah pun dilakukaNya) kerana sesunguhnya berkata perkataan “kalau” itu bakal membuka amalan syaithan..(riwayat Imam Muslim,Imam Ahmad di dalam musnadnya dan Ibnu Majah)

Pakcik arab itu pun tersenyum sahaja padaku..daku membalas senyuman…kerana aku yakin,setiap apa yang Allah telah tentukan terjadi kepada kita adalah untuk kebaikkan kita semata-mata,guruku Al-Fadhil As-Syeikh Abu Abdul Halim Dzulkifli Bin Ismail hafizahullahu taala pernah berkata : “Kullu minal habib fahuwa khair” (Setiap apa yang datang daripada kekasih itu adalah baik belaka) maka sebagai seorang muslim yang ingin menjadi mu’min sejati hendaklah kita banyakkan membina sangkaan-sangkaan baik setiap kali kita ditimpa sebarang kesusahan,dan yaqinlah bahawa Allah sekali-kali tidak akan menzalimi hambaNya,kalau Allah ingin menzalimi hambaNya,sudah lama Allah boleh berbuat begitu,Allah juga bisa untuk tidak menjadikan manusia dan bumi serta alam sekalianya…!!

Bersambung ke Ceritera Haramain 2…

Read Full Post »