Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Mac 2009

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Alhamdulilah,segala puji hanyalah bagi Allah…

sembahyang

“Ya Allah ya tuhanku,berikanlah daku friskies bersama susu”

Fasal pada menyatakan diantara penghalang termaqbulnya doa… (1)

Dan diantara penghalang yang menghalang dari termaqbulnya doa seseorang itu ialah apabila dia menginginkan supaya doanya cepat termaqbul,dan merungut apabila doanya lambat termaqbul lalu dia pun berputus asa seterusnya meninggalkan terus daripada berdoa,maka keadaan orang sedemikian tidak ubah seperti seseorang yang menyemai benih atau menanam tanaman,yang mana pada mulanya dia begitu menjaganya dengan baik dan sentiasa menyiramnya dengan rajin,kemudianya apabila dia melihat benih atau tanaman tersebut lambat membuahkan hasil dia pun sudah tidak menghiraukanya lagi serta sudah tidak menyiramnya…

Di dalam sebuah hadith sahih riwayat Imam Bukhari ada menyatakan bahawa : Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu,sesungguhnya rasulullah sallallahu alaihi wassalam pernah bersabda :

يستجب لأحدكم ما لم يعجل يقول دعوت فلم يستجب لي

Bermaksud : “Akan dimaqbulkan doa seseorang itu jika dia tidak tergesa-gesa (mahukan doa cepat dimaqbulkan dan merungut apabila lambat dimaqbulkan) sambil berkata : Aku sudah pun berdoa,tetapi tidak dimaqbulkan langsung” (riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Manakala di dalam sebuah hadith lain pula riwayat Imam Muslim ada menyatakan tentang ini :

لا يزال يستجاب للعبد ما لم يدع بإثم أو قطيعة رحم, ما لم يستعجل, قيل يا رسول الله ما الإستعجال؟ قال : يقول قد دعوت و قد دعوت فلم أر يستجاب لي فيستحسر عند ذلك ويدع الدعاء

Bermaksud : “Doa seseorang hamba itu akan termaqbul selagimana dia tidak mendoakan sesuatu yang mendatangkan dosa atau sesuatu yang boleh menyebabkan terputusnya silaturrahim,dan selagimana dia tidak tergesa-gesa,lalu ditanyakan kepada baginda : Ya rasulallah,bagaimanakah tergesa-gesa itu? baginda berkata : Apabila dia berkata sesungguhnya aku ini sudah pun berdoa dan berdoa tetapi aku merasakan doaku itu tidak dimaqbulkan,lalu dia pun berputus asa dari berdoa seterusnya meninggalkan terus dari berdoa”

Maka berjaga-jagalah wahai saudaraku sekalian daripada sifat mudah berputus asa apabila kalian mengharap kepada Allah akan sesuatu,kerana dikhuatiri sikap sedemikian bakal membuatkan kalian meninggalkan berdoa kepada Allah dan berputus asa untuk meminta apa-apa yang dihajati seterusnya tidak menjadikan Allah sebagai tempat meminta dan bersandar segala perkara,makanya di dalam setiap doa kalian cubalah sedaya mungkin jangan merasakan :

(1)    Tergesa-gesa mahu dimaqbulkan doa tersebut

(2)    Merungut-rungut apabila merasakan doa tersebut tidak dimaqbulkan dengan berkata : Aku sudah pun berdoa banyak kali tetapi tidak dimaqbulkan!!

(3)    Terbit rasa putus asa untuk meminta kepada Allah

(4)    Meninggalkan berdoa pada Allah (Nauzubillahi min zaalik)

Tetapi hendaklah kalian merasa dengan yaqin bahawa doa kalian pasti akan dimaqbulkan,selagimana doa tersebut bukan untuk sesuatu yang bakal mendatangkan dosa dan maksiat serta bukan juga untuk memutuskan silaturrahim…

ادعوا الله وأنتم موقنون بالإجابة واعلموا أن الله لا يقبل دعاء من قلب غافل لاه

Bermaksud : “Berdoalah kalian kepada Allah dan kalian berasa yaqin akan termaqbulnya doa tersebut,ketahuilah kalian bahawa sesungguhnya Allah tidak akan memaqbulkan doa seseorang yang hatinya lalai dan alpa” (hadith riwayat Imam Tirmizi dan Imam Al-hakim di dalam Mustadraknya dan At-Thobrani di dalam Ad-Doa’,Ibnu A’diy dan Ibnu Hibban dengan sanad yang dhoif)

doa

“Ya Allah,aku berdoa kepadamu dengan penuh mengharap”

Fasal pada menyatakan waktu-waktu yang mungkin memaqbulkan doa…

Dan hendaklah seseorang itu di dalam doanya disertakan bersama dengan menghadhirkan hatinya di dalam berdoa,memberikan tumpuan dengan sepenuhnya terhadap apa yang dimintanya,dan juga bertepatan pula waktunya yang memungkinkan dimaqbulkan Allah jika berdoa dikala itu,antaranya :

(1)    Di sepertiga malam

(2)    Ketika dilaungkan azan

(3)    Di antara azan dan Iqamah

(4)    Sejurus selepas solat-solat wajib

(5)    Ketika khatib jumaat naik ke atas mimbar sehinggalah solat Jumaat dikerjakan

(6)    Di waktu akhir solat Asar di hari yang sama (hari Jumaat)

Dan hendaklah apabila berdoa di waktu-waktu sedemikian dia khusyuk memintanya dengan penuh tumpuan di dalam hatinya,penuh rasa hina di hadapan Tuhanya Yang Maha Pemberi,merintih dan mengharap agar dimaqbulkan apa  yang dipinta,menghadapkan dirinya ke arah qiblat,berwudhuk dengan sebaik-baik wudhuk,mengangkat tanganya ketika berdoa,mulakanlah doanya dengan puji-pujian terhadap Allah terlebih dahulu,memberikan selawat serta salam kepada baginda nabi sallallahu alaihi wassalam ,dan dahuluilah doanya itu dengan bertaubat serta meminta ampun kepada Allah, dan bertawassul doanya itu dengan nama-nama Allah yang maha suci…

Dan ingatlah bahawa sesungguhnya keadaan berdoa dengan sedemikian rupa dengan izin Allah tidak akan ditolak selamanya,lebih-lebih lagi apabila kena dengan waktu-waktu yang memungkinkan dimaqbulkan doa seperti yang dinyatakan tadi seperti yang dikhabarkan oleh baginda nabi dan doa itu pula dipenuhi dengan nama-nama Allah yang maha agung,sebagai pedoman antaranya :

“Dari Abdullah Bin Buraidah daripada ayah beliau sesungguhnya rasulullah sallallahu alaihi wassalam telah terdengar seorang lelaki berkata :

اللهم إني أسألك بأني أشهد أنك أنت الله لا إله إلا أنت الأحد الصمد الذي لم يلد ولم يولد ولم يكن له كفوا أحد فقال : لقد سأل الله بالإسم الأعظم الذي إذا سئل به أعطى وإذا دعي به أجاب

Bermaksud : Ya Allah,sesungguhnya aku meminta kepadaMu dengan aku bersaksi bahawa engkaulah Allah tiada tuhan selain engkau,Yang Maha Satu,tempat meminta segala sesuatu,yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tiadalah sesuatu yang setara dengaNya,maka berkatanya baginda nabi : Sesungguhnya dia telah berdoa dengan nama Allah yang maha agung,yang mana jika meminta denganya pasti akan diberi dan jika berdoa denganya pasti akan dimaqbulkan” (riwayat Imam Ahmad,Abu Daud,At-Tirmizi,Ibnu Majah,Ibnu Hibban)

Di dalam Musnad Imam Ahmad dan Sahih Ibnu Hibban : “Dari Abu Hurairah radiallahu anhu dan dari Anas Bin Malik dan Rabia’h Bin A’mir dari baginda nabi sallallahu alaihi wassalam,sesungguhnya baginda telah bersabda :

ألظّوا بيا ذالجلال والإكرام

Bermaksud : Berpeganglah kalian dengan kalimah “Ya Zal Jalali Wal Ikram” (di dalam doa kalian)

“Dari Ibnu Abbas sesungguhnya rasulullah sallallahu alaihi wassalam pernah membaca doa ini dikala dilanda kesusahan :

لا إله إلا الله العظيم الحليم, لا إله إلا الله رب العرش العظيم,لا إله الا الله رب السموات ورب العرش الكريم

(hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

dan berbagai lagi doa-doa dari baginda nabi yang dipenuhi dengan nama-nama Allah yang maha agung,bertawassul lah dengan nama-nama suci ini di dalam doa-doa kalian,dengan izin Allah akan diperkenankan…

Dan betapa banyak kita dapati doa-doa dari berbagai orang yang dimaqbulkan doanya,yang mana mereka menyertakan di dalam doa-doa mereka itu dengan penuh tawajjuh dan menghadhirkan hati mereka di dalamnya,ataupun mereka telah membuat segala macam kebaikkan sebelum berdoa dan Allah maqbulkan doa-doa mereka itu sebagai balasan terhadap amalan kebaikkan tersebut,ataupun waktu mereka berdoa kena dengan waktu yang memungkinkan dimaqbulkan doa oleh Allah,lalu doanya dimaqbulkan….

Maka orang lain yang melihat pun bersangka bahawa rahsia di sebalik doanya itu dimaqbulkan adalah disebabkan lafaz-lafaz yang dilafazkanya di dalam doanya,maka orang itu pun menggunakan lafaz-lafaz yang digunakan oleh insan yang dimaqbulkan doanya itu,maka hal sedemikian tidaklah ubah seperti seseorang yang makan ubat yang sangat berkesan dan mujarab yang mana dia memakanya pada waktu yang sepatutnya dan dengan cara yang sebetulnya,maka sembuhlah penyakitnya disebabkan perlakuan tersebut,dan orang lain yang melihat hal sedemikian pun menyangka bahawa ubat tersebutlah sahaja penyebab ubat itu sangat mujarab dan berkesan,maka sedarlah kalian bahawa hal itu sangat bersalahan sama sekali!! yang mana ianya merupakan perkara yang selalu menjadi kesalahan orang ramai…

Begitulah juga,jika seseorang yang berdoa dan merintih dengan penuh terdesak di kuburan dan dimaqbulkan pula doanya,maka bersangkalah orang yang jahil bahawa rahsia di sebalik doanya dimaqbulkan adalah dengan berdoa di kuburan,sedangkan dia tidak mengetahui bahawa rahsia disebaliknya adalah disebabkan rintihanya dan pengharapanya yang ikhlas terhadap Allah,yang mana adalah terlebih baik jika dia berdoa di masjid dan dimaqbulkan pula oleh Allah yang mana keadaan sedemikian adalah lebih diredhai oleh Allah…

doa2

“Ya Allah,kabulkanlah doa dan permintaanku ini”

Fasal pada menjawab satu soalan yang sangat masyhur dipertanyakan…

Terdapatnya satu soalan yang masyhur dipertanyakan,iaitu : Jika sesuatu yang diminta itu telah pun ditaqdirkan akan di maqbulkan maka sudah pasti dan sudah semestinyalah akan termaqbul,samada seseorang itu berdoa ataupun dia tidak berdoa,manakala jika yang diminta itu telah pun ditaqdirkan tidak terjadi,maka sudah semestinyalah ianya takkan terjadi,sama sahaja halnya samada seseorang itu meminta atau tidak meminta untuk terjadi??

Lalu orang-orang yang jahil pun mempercayai perkataan sedemikian,lalu meninggalkan pada berdoa dan berkata : “Tiada faedahnya aku ini berdoa”!!  Wah,senangnya hidup ini!!

Makanya daku katakan kepada mereka : Jikalaulah kenyang selepas makan itu telah ditaqdirkan kepada kalian,maka sudah semestinyalah kalian akan kenyang selepas makan,samada kalian makan atau tidak makan sama sahaja halnya,dan jika ia tidak ditaqdirkan akan berlaku,sudah pasti tidak akan berlaku,begitulah juga jika  mendapat anak itu sudah ditaqdirkan kepada kalian,maka sudah pastilah kalian akan mendapat anak tersebut,sama sahaja halnya jikalau kalian menyetubuhi isteri-isteri kalian atau pun tidak,pasti akan dapat,manakala jikalau telah ditaqdirkan kalian tidak beroleh anak,pasti tidak akan mendapatnya,maka tidak perlulah kalian berkahwin!!!

Maka apakah orang yang berkata sedemikian ini seorang yang beraqal atau manusia?? bahkan mereka ini sebenarnya adalah seperti lembu dan kambing yang mana sememangnya ia tahu bahawa  keperluan  mencari makanan dan minuman untuk beroleh tenaga dan meneruskan hidup mereka,bukankah lembu dan kambing adalah terlebih mengetahui dan lebih memahami perkara tersebut berbanding mereka?? bahkan keadaan mereka lebih teruk dari haiwan tersebut!!

Dan ada juga orang yang “lebih pandai” daripada mereka ini dengan berkata : Bawasanya berdoa itu tidak lebih hanyalah suatu ibadat sahaja yang mana Allah kurniakan pahala kepada pelakunya,sesungguhnya berdoa itu tidak memberikan apa-apa kesan pun kepada apa yang diminta,dan pada mereka,tiadanya beza langsung samada berdoa dengan menghadhirkan hati,merintih dan mengucapkan doa dengan lisan dengan orang yang tidak berdoa untuk mengharapkan sesuatu,maka sama sahaja di antara orang yang hanya duduk berdiam diri dengan orang yang berdoa…pandainya!!

Tetapi ada juga orang yang “terlebih pandai” dari kedua kaum ini,mereka berkata bahawa : Sesungguhnya berdoa itu tidak lebih hanyalah suatu tanda,iaitu Allah jadikanya hanyalah sebagai suatu tanda bahawa sesuatu yang di pinta bakal termaqbul,dan apabila Allah telah membuatkanya berdoa,maka ianya adalah suatu tanda kepadanya bahawa hajatnya sudah pun termaqbul,yang mana ianya adalah seperti : Apabila kita melihat awan mendung di langit di waktu musim sejuk,maka ianya adalah tanda dan alamat bahawa hari akan hujan!!

Dan mereka juga berkata : Beginilah juga halnya bahawa  amalan-amalan ketaatan adalah suatu tanda mendapat pahala,dan amalan-amalan maksiat dan mungkar adalah suatu tanda mendapat dosa,bagi mereka ianya tiada kaitan langsung dengan ‘Al-Asbab’,dan sesungguhnya anggapan sedemikian adalah bersalahan dari segi aqal dan fitrah,syarak dan anggapan orang-orang bijak pandai,bahkan anggapan tersebut bakal digelakkan oleh orang-orang yang bijak…

Kataku : Sesungguhnya mereka terlupa bahawa sesuatu yang ditaqdirkan itu telah pun ditaqdirkan dengan sesuatu yang dipanggil  sebagai Al-Asbab,dan di antara Asbab tersebut adalah DOA!! Sesungguhnya sesuatu itu tidak ditaqdirkan tanpa sebab,tetapi sesuatu itu ditaqdirkan dengan sebab,dan bilamana seseorang itu melakukan sebab,maka akan berlakulah apa yang ditaqdirkan itu,dan apabila dia tidak melakukan sebab,tidak akan berlakulah apa yang ditaqdirkan tersebut,contohnya seperti : Jika ditaqdirkan kenyang itu terjadi dengan sebab dia makan,maka dia akan kenyang jika dia makan,dan ditaqdirkan mendapat anak dengan bersetubuh,begitulah juga halnya ditaqdirkan masuk syurga dengan amalan-amalan soleh,dan masuk ke neraka pula dengan amalan-amalan dosa dan maksiat…dan inilah yang telah dilupai oleh si penyoal!!

Maka wahai saudaraku sekalian,doa itu merupakan suatu sebab yang paling kuat untuk memperoleh sesuatu yang dihajati,dan jikalau sudah ditaqdirkan sesuatu yang dihajati itu dengan berdoa,maka tidak bolehlah seseorang itu mengatakan : Tiada faedahnya pada berdoa itu,seperti dia berkata : Tiada faedahnya pada makan itu!! dan ketahuilah bahawa tiada suatu sebab pun yang lebih bermanfaat selain berdoa dan doa!!

Sesungguhnya para sahabat radiallahu anhum merupakan kaum yang paling mengetahui tentang Allah dan RasulNya dan yang paling arif tentang agama mereka,contohnya Umar Bin Al-Khattab radiallahu anhu dapat mengalahkan musuhnya dan merupakan di antara tentera baginda nabi yang agung,dia pernah mengatakan kepada para sahabat :

لستم تنصرون بكثرة وانما تنصرون من السماء

Bermaksud : Bukanlah kalian sendiri yang mengalahkan musuh sebenarnya,tetapi ianya hanyalah bantuan dari langit!!

Dia juga pernah berkata : “Sesungguhnya aku tidak risaukan doa aku dimaqbulkan atau tidak,tetapi apa yang aku risaukan adalah doaku,jikalau kalian risaukan keadaan doa kalian,sesungguhnya maqbul itu pasti datang bersama!!”

Bersambung….insyallah pada keluaran akan datang….

HIDUPLAH PERJUANGAN ISLAM SELAMANYA!!

****************************************************

(1) Di terjemahkan dan di olah daripada kitab : Ad-dau’ Wad Dawaa’ (Penyakit Dan Penawar) oleh Al-Imam As-Syeikh Al-Allamah Syeikhul Islam Syamsud Din Abu Bakar Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah rahimahullahu taala,semoga segala amalan kebaikkan beliau diterima Allah dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang diredhai..Amin

Advertisements

Read Full Post »