Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…..
Alhamdulilah,segala puji hanyalah bagi Allah…
‘Kalau mahu memacu perubahan perlulah rajin seperti saya kan…’
USTAZ OH USTAZ…
Sebenarnya yang menjadi ketandusan kita pada hari ini adalah golongan ustaz yang benar-benar ‘ustaz’ dalam erti kata yang sebenar,dan kita sedang mengalami lambakkan ustaz dalam erti kata insan yang hanyalah berpengetahuan agama, yang hanya boleh berbahasa arab sekadarnya,sering berkopiah dan berjubah dan yang hanya boleh bercakap bab-bab agama,dan hanya diperlukan di majlis-majlis tahlil serta kenduri…sebenarnya kita memerlukan golongan ustaz yang lebih dari sekadar itu sahaja!!
Bukanlah boleh dibanggakan sangat dengan bilangan pelajar agama yang tamat belajar dari negara-negara arab berbondong-bondong tetapi setengah daripada mereka hanyalah omong kosong,juga kosong dari ruh agama yang dipelajarinya bertahun-tahun itu,bahkan kebanyakkan mereka pula masih tidak lagi mempersiapkan diri mereka dengan ilmu agama yang secukupnya sebagai persiapan menghadapi masyarakat dan mengharungi era perubahan yang bermacam rencam kini,tahap pengetahuan mereka masih lagi di tahap pelajar sekolah menengah agama ketika mereka pergi ke seberang dahulu dan ketika mereka pulang semula ke sarang,masih di takuk yang lama,masih lagi menjadi pak turut pada cakap-cakap orang tanpa bergerak membuat kajian untuk menilainya secara ilmiah…
‘Kreatif tak saya…‘
BERSIKAP LEBIH KREATIF….
Para ustaz pada hari ini perlulah sedar akan cabaran dunia di zaman ini yang sudah bersifat lebih terbuka luas dan global,segala permasalahan agama tidak lagi relevan untuk dikupas dengan hanya berlegar dilapangan kitab-kitab kuning sahaja,yang hanya membicarakan masalah-masalah agama yang dihadapi oleh si pengarang kitab di zamanya,para ustaz hari ini perlulah bersifat lebih kreatif dengan membuat perkaitan isu-isu semasa dengan segala apa yang telah termaktub di dalam dua unsur terbesar di dalam Islam iaitu Al-Quran dan As-Sunnah,jikalau mahu bicarakan bab-bab feqh,aqidah,usul feqh,tafsir Al-Quran dan sebagainya maka bicarakanlah semuanya,tetapi perlu membuat persediaan dengan membuat perkaitan isu-isu semasa yang melanda umat islam kini,kerana agama islam itu relevan sepanjang zaman selagimana umat islam itu wujud di atas dunia ini….
Jikalau ramai ilmuwan mengatakan bahawa agama islam adalah cara hidup,agama islam adalah releven sepanjang zaman,agama islam adalah penyelesai kepada segala permasalahan ummat,maka tidak dapat tidak kita sememangnya memerlukan para ustaz yang sedar akan tanggungjawab untuk merealisasikanya,kita memerlukan para ustaz yang rajin mencari,mengkaji,bertanya dan belajar dan terus belajar untuk menjerit dan melaung kepada dunia bahawa agama islamlah penyelesai kepada segala masalah,para ustaz juga tidak boleh lagi terleka sehingga tercicir pada segenap bidang ilmu-ilmu dunia yang dapat membentuk kemajuan ummah,seperti sains dan teknologi,IT,falsafah dan pemikiran-pemikiran barat (isme-isme)yang cuba untuk merosakkan ummat islam,tetapi kita perlu bangkit dari mimpi indah dan angan-angan dengan mempelajari serta menguasai ilmu-ilmu tersebut…
KELUAR BEBAS DARI KONGKONGAN…
Mulai dari sekarang kita perlu keluar bebas dari kongkongan bicara agama yang hanya bermain dikalangan para imam-imam muktabar kita sahaja,tetapi sekarang kita perlu menginjak lebih jauh dengan melihat-lihat dan membaca serta mengkaji pendapat-pendapat para ilmuwan barat yang sudah pun meninggalkan kita jauh terkebelakang dan menuju kemajuan untuk bangsa mereka,kita boleh sahaja belajar,mengkaji bahkan meniru idea-idea mereka pada bermacam perkara,kerana hikmah itu adalah barang kehilangan orang mukmin,walau siapa sahaja yang mendapatnya dan walau dimana sahaja pun dia,maka dialah yang berhak mendapatnya,tetapi tanpa kita lalai dan lupa akan dua unsur besar yang telah ditinggalkan kepada kita oleh nabi yang mulia Muhammad sallallahu alaihi wassalam,jangan pula kita rakus membabi buta menyelongkar khazanah mereka dan terlupa pula akan khazanah agama sendiri,apa-apa yang datang daripada mereka yang tidak bercanggah dengan syariat dan dapat pula memberi kebaikkan dan kemaslahatan serta kemajuan kepada ummah boleh sahaja digunapakai bertitik tolak daripada kaedah : “Dimana sahaja terdapat kemaslahatan untuk ummat islam,maka disitulah terdapatnya juga syariat agama Allah”
APAKAH ADANYA CARA YANG BETUL??
Adanya seorang revolusioner yang hebat dizamanya telah menyatakan tentang cara-cara yang betul dalam mengambil ilmu-ilmu para ilmuwan barat…..Beliau ialah Syeikh Jamaluddin Al-Afghani,yang mana beliau merupakan orang yang penuh sarat dengan pengetahuan latarbelakang serta sejarah ketamadunan barat,menguasai ilmu falsafah serta menguasai beberapa bahasa asing hasil percampuranya yang bertahun-tahun di tanah asing :
“Beliau menyatakan bahawa dalam mengambil serta meniru hasil idea-idea para ilmuwan barat kita perlulah berdiri diatas binaan ajaran islam yang sahih,tanpa perlu kita terlalu fanatik menutup segala pintu ke arahnya juga tidak perlu terlalu terbuka seluas-luasnya dalam menerimanya…beliau menyatakan bahawa beliau menolak apa-apa yang datang dari barat dari sudut kebudayaan mereka,demi kerana mereka membinanya berdasarkan fahaman Falsafah Materialisme yang terhasil daripada pertelingkahan yang lama antara pihak gereja pada satu sudut dan dengan falsafah itu sendiri pada satu sudut yang lain”
“Maka sewajibnya kita perlu berdiri diatas dua asas ini dalam memasuki pintu ke arahnya :
(1) Bertitik tolak daripada kaedah-kaedah yang sejahtera dalam menuju kearah kebudayaan serta idea-idea mereka…iaitu kembali semula kepada kaedah-kaedah islam yang sejahtera dengan mengambilnya ketika zaman permulaan kedatanganya,serta memberikan suatu petunjuk dan pengajaran yang berkesan kearah membersihkan jiwa dari penyakit-penyakit hati (Al-Akhlaq),membuang sifat tamak,iri hati dan dendam serta bersatu hati dan seiya sekata dalam memajukan ummah.
(2) Mengambil faedah daripada apa yang ada pada bangsa-bangsa maju seperti method ilmu pengetahuan,sistem perkilangan,sistem pengurusan dan lain lain lalu disesuaikan pula mengikut hajat keperluan ummah masa kini ke arah menjana kemajuan yang efisien,serta menolak pula adat-adat dan kebiasaan-kebiasaan mereka yang jelas bercanggah dengan hukum syarak serta bertentangan dengan keperibadian muslim.
KITA SUDAH ADA ISLAM YANG HAQIQI…..
Kita tidak perlukan langsung pun akan segala prinsip-prinsip Islam Hadhari yang sibuk dicanang oleh ustaz-ustaz yang hanya nampak nikmat dunia dimata mereka itu,juga yang sanggup menukarkan kebaikkan akhirat dengan sesuatu yang hina,yang mana ianya hanya gah di kertas-kertas kerja dan seminar-seminar juga pada namanya sahaja,tetapi pada perlaksanaanya tak ubah seperti sampah kosong yang tak memberi apa-apa makna langsung pun kepada ummah,sebenarnya kita sudah pun punyai agama islam yang hakiki yang terkandung di dalamnya suruhan-suruhan menuju kemajuan,cuma tiadanya orang yang sesuai dan layak serta sedar untuk mencungkil dan mengeluarkan perkara-perkara tersebut sebagai membangkitkan kesedaran orang islam akan kewujudanya,demi kerana kebanyakkan suruhan-suruhan tersebut seakan-akan tersembunyi dan tidaklah dinyatakanya secara zahir,dan disebabkan itulah kita perlukan para ustaz yang rajin belajar dan mengkaji dan mempunyai akhlaq budi yang luhur serta beramal pula dengan ajaran islam untuk berijtihad dengan menyelami lautan ilmu Al-Quran dan As-Sunnah untuk mendapatkan permata-permata ketamadunan lalu disesuaikan dengan keadaan semasa kearah kemajuan tetapi masih berpaksi kemas diatas landasan agama yang suci,bukankah hukum hakam itu bisa berubah-ubah seiring sejalan dengan perubahan zaman??
Bagi daku,Islam Hadhari itu tidak ubah hanyalah seperti suatu bulatan yang pada mulanya kosong kemudianya telah mencedok daripada bulatan islam yang mengandungi di dalamnya beberapa suruhan-suruhan dan pembangkit-pembangkit yang mengajak kepada menjana perubahan dan kemajuan ummah,tetapi telah melampaui batas pula dengan membuat suatu bulatan mereka sendiri dan dengan beraninya menamakan bulatan tersebut sebagai bulatan mereka sendiri hasil cedokkan dari bulatan islam itu tadi…padahal perkaranya perkara yang sama juga ingin disampaikan cuma ingin dilainkan dengan memberikan sedikit tambahan nama dan telah dipesongkan pula dengan tidak mengamalkanya!!
AI-Islam Bertaqwa dan beriman kepada Allah Pembangunan Ketamadunan Demi masa Ekonomi Menguasai ilmu pengetahuan Jihad dll. |
Islam Hadhari Kemajuan Ekonomi Pembangunan Bertaqwa kepada Allah Ketamadunan |
Sekarang mari kita lupakan Islam Hadhari yang tak ke mana ini dan kita teruskan perbicaraan kepada ustaz-ustaz yang disayangi ini…
‘Kalau duduk rileks macam ini,bagaimana mahu memacu perubahan ya??
MELEBARLUASKAN PERANAN USTAZ….
Jikalau dahulu keterlibatan para ustaz hanyalah berlegar di ruang lingkup perkara karaian keagamaan,dan hanya diperlukan di masjid-masjid dan di surau-surau,juga hanya boleh bercakap pada hal-hal yang berkaitan dengan agama sahaja,demi kerana terikutkan rentak persepsi masyarakat yang beranggapan sedemikian rupa,tetapi bagiku,ustaz pada hari ini perlulah memecahkan tradisi lama itu yang besar kemungkinan hanya akan mengakibatkan peranan ustaz yang amat besar ini dikecilkan saiz ruang lingkupnya lalu masih bergerak di takuk perkara yang lama,makanya para ustaz hari ini perlulah melangkah dengan lebih jauh lagi melebarkan sayap perananya dengan duduk semeja bersama para politikus,para artis,masyarakat umum dan para saintis serta doktor-doktor untuk melangsungkan suatu keterlibatan agama di dalam setiap bidang tersebut,oleh itu di dalam menjana sebarang bentuk kemajuan di dalam segenap bidang akan wujudnya disitu suatu ikatan yang amat rapat dengan agama agar kerakusan mengejar kemajuan tidak dilekakan dan dilalaikan oleh nafsu serakah sehingga sanggup melampaui batasan syariat dan yang paling penting untuk mengemis agar hadhirnya barakah dari Allah terhadap segala usaha manusia yang lemah dan mengharapkan campurtangan Allah pada setiap perkara yang tak dapat ditanggung oleh qudrat manusia biasa….
RANGKA KERJA REALISASI…
Demikianya,dalam rangka untuk mewujudkan keterlibatan agama pada bidang-bidang tersebut,kita sememangnya memerlukan para ustaz yang penuh sarat dengan pengetahuan agama secara mendalam dan bukanya arif separuh dan kabur-kabur separuh,yang tahu setiap selok belok hukum hakamnya agar tidaklah nanti menjadi ‘mufti tak bergaji’ yang pandai-pandai berfatwa menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal dek kerana takutkan jatuhnya reputasi diri,yang menghayati setiap ajaran agama yang dipelajarinya dan bukanya hanya sarat dengan riwayat dan hafalan tetapi tidak tahu dimanakah sepatutnya diletakkan hafalan-hafalan tersebut,yang berani menghadapi cabaran serta ranjaunya dan bukanya ustaz yang cepat putus asa,baru dibaling orang kampung dengan kulit rambutan sudah merajuk untuk berdakwah….oleh itu,para ustaz pada hari ini perlulah pandai-pandai sendiri mencari apa jua ilmu-ilmu moden yang wujud kini untuk dikuasai sebagai tambahan kepada ilmu agama semata-mata agar dapat mencari peluang-peluang serta ruang-ruang kosong yang dapat diisi di dalamnya dengan ajaran agama Allah yang suci ini serta setanding pula dengan bangsa-bangsa lain yang sudah maju…kita perlu buktikan bahawa dengan bawakkan islam kita berupaya maju!!
‘Hiduplah perjuangan islam selamanya!!’
AKHIR KALAM….
Apa yang penting wahai para ustaz,setiap kamu perlulah memasang cita-cita dan angan-angan untuk membawa ummah agama suci ini ke arah kemajuan,supaya dapatlah dijadikan role model kepada penganut agama lain bahawa penganut agama ini takkan mundur ke belakang walau banyak laranganya juga walau banyak kewajipanya,bahkan ianya dapat menjadikan mereka tertarik dengan agama islam yang amat cantik ini yang menyokong sebarang bentuk usaha memajukan ummatnya,cumanya agama kita telah dicemari oleh beberapa penganutnya sendiri yang menambah-nambah pelbagai perkara juga menyusah-nyusahkan berbagai perkara lalu menjadikan mereka terhenti untuk mengenali agama islam…
Oleh itu,semua yang daku nyatakan di atas hanya dapat wujud apabila para ustaz sedar akan peranan mereka,yang tetap menjadi pelajar walaupun digelar ‘pak ustaz’ juga yang sanggup rajin segalanya demi membawa misi ini,yang tidak lalai dari berniat mengejar kemajuan akhirat disamping mempergunakan dunia ini…kerana kita sudah ketandusan insan-insan seperti Imam Syafie,Imam Ibnu Taimiyah,Imam As-Syahid Hasan Al-Banna dan imam-imam lain yang mana kitalah yang bertanggungjawab untuk ‘melahirkan semula’ mereka ke alam moden ini…
P/S : Sambungan siri keduanya insyallah akan menyusul yang mana daku akan letakkan persiapan-persiapan untuk merealisasikan perkara ini,demi Allah tuhan yang menjadikan isi langit dan bumi ini bahawa segala usaha ini datang daripadaNya dan tertanggung hasilnya juga daripadaNya..
HIDUPLAH PERJUANGAN ISLAM SELAMANYA!!!