
“Err..bang..assalamualaikum,tumpang lalu boleh tak??”
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani..
Alhamdulilah,segala puji hanyalah bagi Allah tuhan sekelian alam..
Tak tahu….
Perasaan ini sekali lagi melanda aku,iaitu tidak tahu ingin menulis tentang apa,dan seperti biasa,akan daku gantikan pula dengan sesuatu terjemahan dari kitab yang terpilih sebagai menggantikan perkara yang ingin ditulis nanti,tambahan,masa juga tak mengizinkan daku untuk terus aktif menulis tentang sesuatu didalam lapangan ini…
Tak keterlaluan daku rasakan jika terjemahan ini pula yang menggantikan perkara lain yang ingin ditulis nanti..hurmmm..meoww!!
Bab pada menyatakan tentang cara-cara memberi salam..(1)
Ketahuilah bahawa adalah lebih baik ke atas seseorang yang memberikan salam dengan mengatakan : Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh!!
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Makanya hendaklah juga dia menggunakan dhamir jamak (kata nama untuk ramai) iaitu ‘kum’ (kamu semua) walaupun orang yang memberikan salam tersebut berseorangan,dan hendaklah pula orang yang diberikan salam itu menjawabnya dengan berkata : Waalaikumussalam warahmatullahi wa barakatuh !!
وعليكم السلام ورحمة الله وبركته
Iaitu hendaklah dia mendatangkan huruf ‘waw al-a’thfi’ (waw yang membawa maksud dan) pada jawapan salamnya itu iaitu : Wa alaikum..(dan kepada kamu juga)

“Indahnya hidup ini jikalau agama yang menjadi sandaran setiap perkara”
Dan orang yang mengatakan bahawa adalah afdhal (lebih baik) kepada orang yang memulakan memberikan salam itu berkata : Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh adalah Al-Imam Al-Qadhi Abu Al-Hasan Al-Mawardi didalam kitab beliau iaitu ‘Al-Haawiy’ dan juga Imam Abu Said Al-Mutawalli yang mana beliau merupakan imam di dalam golongan kami (bermazhab As-Syafiey) didalam kitab beliau ‘Solatul Jumuah’…
Dan dalilnya adalah dari apa yang telah diriwayatkan didalam Musnad Ad-Daarimi dan sunan Abi Daud dan At-Tirmizi,daripada Imran Bin Al-Hashin radiallahu anhu telah berkata :
‘Telah datangnya seorang lelaki kepada nabi sallallahu alaihi wassalam lalu berkata : Assalamualaikum,lalu dijawab salam lelaki tersebut seraya duduk,maka berkata pula nabi sallallahu alaihi wassalam : sepuluh (pahala) kemudian datang pula seorang yang lain lalu berkata : Assalamualaikum warahmatullah,dijawab salamnya kemudian duduk dan berkata pula nabi sallallahu alaihi wassalam : dua puluh (pahala) kemudian datang lagi yang lain lalu berkata : Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,dijawab salam lelaki tersebut lalu duduk,dan berkata nabi pula : tiga puluh’ (pahala)
(berkatanya Imam At-Tirmizi : hadith ini berdarjat hasan,manakala hadith dari riwayat Muaz Bin Anas adalah dhoif)
Berkatanya Imam dari golongan kami (iaitu Ashabus Syafiey) : Jika berkatanya orang yang memulakan salam dengan : Assalamu alaikum,maka ianya dipanggil memberi salam,dan jika berkata pula dengan : Assalamu alaika ataupun Salamun alaika juga dipanggil memberi salam,manakala jawab bagi salam tersebut yang paling kurangnya dia menyebut : Wa alaikas salam atau Alaikum salam,jika si pemberi salam membuang huruf ‘waw’ dengan berkata : Alaikumus salam,mendapat pahala dan dikira juga sebagai menjawab salam kepada yang memberikan salam,dan inilah mazhab sahih yang masyhur yang telah dikatakan oleh Imam golongan kami iaitu Imam Syafiey rahimahullahu taala didalam kitab beliau yang besar iaitu ‘Al-Um’ dan begitulah juga diperkatakan begini oleh para jumhur imam dari golongan kami,tetapi Abu Said Al-Mutawalli yang bermazhab Syafiey pula mengatakan jawapan salam sedemikian tidak akan mendapat pahala oleh orang yang menjawabnya juga tidak dipanggil sebagai jawapan kepada salam yang diberikan,dan pendapat ini dhoif (lemah) juga (ter)salah,kerana ianya bersalahan dengan Al-Kitab juga As-Sunnah dan apa yang telah diperkatakan oleh Imam golongan kami ini (Imam Syafiey rahimahullahu taala)
P/s : Ermm,biasalah,para imam bercanggah pendapatnya walaupun mereka didalam mazhab yang sama,wallahu a’lam bissawabihi…
Manakala didalam kalamullah Allah azza wajalla telah berkata dengan :
قالوا سلاما قال سلام
Bermaksud : …mereka mengucapkan ‘salam’ (selamat) dia (nabi Ibrahim) menjawab : ‘salam’ (selamat keatas kamu) (surah Hud : 69)
Makanya perkataan ini adalah dikira sebagai Syara’an liman qablana (2),maka sesungguhnya telah datang pula syariat kita dengan memperakuinya iaitu dari hadith Abi Hurairah radiallahu anhu :….kami telah diberitahu tentang jawapan salam para malaikat kepada nabi Adam alaihissalam,dan sesunggunya nabi sallallahu alaihi wassalam telah mengkhabarkan kepada kami dengan berkata : « Sesunguhnya Allah taala telah berkata : ianya (Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh) itu merupakan salam penghormatan kamu dan juga salam penghormatan zuriat kamu » (hadith riwayat Imam Bukhari 3326 dan Imam Muslim 2841) dan ummat ini (ummat nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam) termasuk juga dengan zuriat nabi Adam alaihis salam…

Haii…senyum itu satu sedeqah..ermmm”
Dan telah sepakatnya golongan kami (ashabus Syafiey) jika dikatakan begini pada jawapan salam : Alaikum,maka ianya tidaklah dipanggil menjawab salam,jika dikatakan : Wa alaikum,apakah ianya dipanggil jawapan kepada salam ?? makanya didalam mazhab kami (As-Syafiey,demi Imam Nawawi bermazhab As-Syafiey) terdapatnya dua pendapat,jika berkatanya orang memulakan salam : Salamun alaikum atau berkata : Assalamu alaikum,maka si penjawab hendaklah menjawab dengan dua cara iaitu : Salamun Alaikum dan boleh juga dijawab dengan : Assalamu alaikum,seperti mana juga yang telah diperkatakan oleh Allah taala didalam surah Al-Hud ayat 69 tadi,dan berkatanya Imam Abu Hasan Al-Wahidi yang mana beliau dari golongan mazhab kami : kamu mempunyai pilihan samada ingin ta’rif (dengan meletakkan huruf alif dan lam iaitu Assalamu alaikum) ataupun ingin tankir (dengan membuangkan alif dan lam iaitu Salamun alaikum) dan daku (Imam Nawawi) berkata : tetapi adalah lebih baik dengan disertakan alif dan lam (dengan mengatakan Assalamu alaikum)…
Dan sekurang-kurangnya dalam memberikan salam itu yang mana menjadi sunat baginya itu hendaklah dia meninggikan sedikit suaranya sekadar didengari kepada orang yang ingin diberi salam kepadanya,jika salamnya tidak didengari sesungguhnya ia dikira tidak memberikan salam,dan tidaklah wajib untuk dijawab,maka dikira telah sempurnanya kefardhuan menjawab kembali salam itu adalah paling kurangnya dia meninggikan sedikit suaranya sehingga dapat didengari orang yang memberikan salam,jika jawapan salamnya tidak didengari,maka tidaklah sempurna kefardhuan jawapan salamnya seperti yang dikatakan begini oleh Imam Said Mutawalli As-Syafiey dan yang lainya..
Daku berkata (Imam Nawawi) : Dan adalah sunat hukumnya dia meninggikan sedikit suaranya setinggi yang boleh didengari orang diberikan salam padanya secara sehingga betul-betul yakin bahawa salamnya itu didengari,jika dia berasa syak bahawa adakah salamnya itu dapat didengari maka hendaklah dia mengulangi kembali salamnya itu,adapun jika diberikan salam kepada orang yang berjaga (tidak tidur) manakala disisi orang yang berjaga tersebut terdapat orang yang sedang tidur adalah menjadi sunnat pula padanya memperlahankan suaranya sekadar dapat didengari oleh orang yang berjaga dan tidak pula mengejutkan orang yang sedang tidur itu..
Berkatanya Imam Abu Muhammad Al-Qadhi Husin dan juga Imam Abu Al-Hasan Al-Wahidi dan selain mereka berdua dari mazhab golongan kami (As-Syafieyyah) : dan adalah disyaratkan menjawab kembali salam itu dengan cepat,jika dilambatkan kemudian menjawabnya pula maka ianya tidaklah dikira sebagai menjawab salam,dan adalah dikira berdosa jika meninggalkan menjawab salam itu..

“Ngee…lawa tak senyumanku ini??”
Bab pada menyatakan makruh hukumnya memberikan isyarat dengan tangan sebagai cara memberikan salam tanpa melafazkanya.
Diriwayatkan kepada kami didalam kitab Imam At-Tirmizi daripada Amru Bin Syuaib daripada ayah beliau daripada nabi sallallahu alaihi wassalam,beliau telah berkata : ‘Bukanlah dari kalangan kami bagi sesiapa yang menyerupai golongan selain kami,janganlah kamu menyerupai dengan golongan yahudi itu begitu juga dengan golongan nasrani itu,sesunguhnya para yahudi memberikan salam dengan memberikan isyarat jejari tangan dan para nasrani pula memberikan salam dengan isyarat mengangkat telapak tangan mereka’ (berkatanya Imam At-Tirmizi bahawa sanad hadith ini dhoif tetapi telah dihasankan pula hadith ini oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani rahimahullahu taala)
Daku berkata : Manakala hadith yang diriwayatkan kepada kami didalam kitab Imam At-Tirmizi itu daripada Asma’ Binti Yazid : Sesungguhnya rasulullah sallallahu alaihi wassalam telah melintasi sebuah masjid disuatu hari,dan sekumpulan wanita sedang duduk-duduk,dan beliau memberikan isyarat dengan tangan beliau sebagai isyarat memberikan salam,berkatanya Imam At-Tirmizi : hadith ini hasan,dan ianya memberitahu bahawa nabi sallallahu alaihi wassalam memberikan lafaz salam juga beserta isyarat tangan beliau,berdasarkan dari hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud : dan beliau berkata didalam riwayat beliau bahawa nabi memberikan salam kepada kami (dengan lafaz)..

”Hiduplah perjuangan islam selamanya!!”
Apa yang kita pelajari hari ini :
(1) Adalah lebih baik memberikan salam dengan : Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan dijawab pula dengan : Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,jika mengatakan : Assalamualaikum,Assalamu alaika ataupun Salamun alaika juga boleh,dan dijawab dengan : Wa alaikas salam ataupun Alaikum salam,tanpa mengucapkan salam seperti : Akum,Askum,A’kum,Cam mek kom,dan lain-lain lagi jenis-jenis ringkasan salam yang begitu menular dizaman sekarang ini,ianya tidak dikira sebagai memberikan salam dan adalah tidak wajib pula untuk dijawab salam sedemikian,kerana bersalahan terus dengan sunnah nabi yang telah diperdalilkan oleh para ulama’!!
p/s : selalu sangat dah daku terkena,kali ini biar daku jawab dalam blog aku sahaja,ambil perhatianlah semua ya…dunia sekarang semuanya mahu ringkas,sampai jalan dalam agama pun mahu diringkas-ringkaskan!!
(2) Tidak dikira menjawab salam jikalau berkata : Alaikum sahaja.
(3) Adalah sunat pula bagi pemberi salam meninggikan sedikit suaranya ketika memberikan salam sehingga dapat pula didengari oleh orang supaya dapat pula dia menjawabnya kembali,jika dia tidak mendengarinya ulangi kembali ucapan salam,dan jika ada orang sedang tidur,perlahankan pula ucapan salam itu pada orang yang sedang berjaga supaya tidak mengejutkan orang yang sedang tidur itu.
(4) Hendaklah terus menjawab kembali salam yang diberikan,jika melambatkanya kemudianya baru menjawabnya adalah tidak dikira menjawab salam,dan adalah berdosa pula jika meninggalkan menjawab kembali salam itu.
**********************************************************************************************
Rujukkan dan penerangan :
(1) Al-Azkar Al-Muntakhab Min Kalami Sayyidil Abrar oleh Imam Abi Zakariya Yahya Bin Syiraf An-Nawawi (w: 676h) yang ditahqiq oleh Abdur Rauf Sa’di,diantara golongan ulamak Al-Azhar As-Syarif,Mesir,terbitan Maktabah As-Sofa’ cetakkan tahun 2006.
(2) Syar’an liman qablana ialah : Hukum hakam yang telah disyariatkan oleh Allah kepada para ummat yang terdahulu melalui lisan para nabi mereka seperti Nabi Ibrahim alaihis salam,Nabi Musa alaihis salam,Nabi Daud alaihis salam,Nabi Isa alaihis salam,dan hukum hakam tersebut dikira termasuk sebahagian daripada syariat kita jika ianya ada disebut didalam Al-Quran juga As-Sunnah,yang mana ianya terbahagi kepada tiga bahagian :
(2.1) Hukum hakam yang telah dinasakh (dihapus) daripada syariat kita,maka ianya tidaklah dikira termasuk didalam syariat kita secara ittifaq ulamak (persetujuan ulamak),contoh : pengharaman ghanimah (harta rampasan perang),sesungguhnya ianya telah dihalalkan didalam syariat kita,seperti kata nabi sallallahu alaihi wassalam : “Telah dihalalkan kepadaku ghanimah yang mana tidaklah dihalakan kepada sesiapa pun sebelumku”
(2.2) Hukum hakam yang telah diperakukan didalam syariat kita,dan bahagian ini dikira termasuk didalam syariat kita,contohnya puasa
(2.3) Hukum hakam (ummat terdahulu) yang telah disebut oleh Allah taala kepada kita didalam Al-Quran atau yang telah disebut oleh nabi sallallahu alaihi wassalam tanpa apa-apa pengingkaran atau iqrar (pengakuan) padanya,contohnya qisas pada syariat kaum yahudi,dan terdapatnya khilaf ulamak pada bahagian ini,wallahu a’lam (Al-Wajiz Fi Usul Fiqh oleh Dr.Wahbah Az-Zuhayli,terbitan Darul Fikr)
Read Full Post »