Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani,juga kalungan selawat ku kalungkan kepada pembawa risalah agama yang benar ini ke serata alam,baginda nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam serta kaum keluarga baginda yang berketurunan mulia…
Firman allah di dalam kalamNya yang agung:
“Katakanlah wahai Muhammad,seandainya lautan itu menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat tuhanku,maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai penulisan kalimat-kalimat tuhanku meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu pula”
(surah Al-Kahfi:109)
Daku mempunyai seorang kawan yang berbangsa Sinegale disini,Ibrahim Thiam namanya,daku mula menjadi rapat dengan beliau semenjak kami bersama-sama mengadah kitab di hadapan Syeikh Abdul Qadir semenjak dua tahun yang lepas…
Beliau merupakan seorang anak muda yang baik akhlaqnya,lancar tutur bicaranya mengatur disiplin ilmu bahasa arab ketika bercakap dan yang paling menonjol sifat beliau yang aku nampak ialah istiqamahnya beliau dalam mencari ilmu,dan kami mempunyai minat yang sama: memburu syeikh-syeikh yang wujud di wilayah tetouan ini untuk mengambil manfaat yang ada daripada apa yang telah Allah kurniakan rahmatNya pada syeikh-syeikh ini…
Segala puji bagi Allah,telah Allah kurniakan aku berjumpa dan bertemu mata bertentang mata dengan seorang syeikh yang telah diperkenalkan oleh Ibrahim ini,yang mana sebelum ini aku hanyalah mendengar sahaja namanya dibibir-bibir manusia,iaitu Fadhilatus Syeikh Boukhubza rahimahullah taala…
Syeikh Boukhubza merupakan anak murid kepada Muhaddith terulung abad ini iaitu Fadhilatus Syeikh Al-Banni rahimahullah taala,dan beliau merupakan seperguruan dengan alim terkenal iaitu Abu Ishaq Al-Huyayni,daripada yang aku dengar,beliau merupakan salah seorang anak murid Syeikh Al-Banni yang mendapat ijazah dari Syeikh Al-Banni sendiri secara bertulis dan beliau telah melazimi Syeikh Al-Banni selama beberapa tahun juga lamanya dan Syeikh Al-Banni sendiri pernah turun menziarahi beliau dirumah beliau di bandar Tetouan!!
Sesampainya aku dimasjid itu(masjid Sidi Tholhah,Bario,Tetouan) selepas solat maghrib,daku dapat lihat begitu ramainya manusia yang menghadiri kuliah beliau itu,kebanyakkanya merupakan golongan As-Salafiah(gelaran kami kepada mereka,yang senantiasa memakai jubah dan berjanggut serta kuat berpegang dengan sunnah nabi yang mulia)sehinggakan penuh masjid kecil itu diisi manusia…
Orang ramai memanfaatkan beliau secara total,bertimbun-timbun perakam yang bermacam-macam jenis dilambakkan dihadapan beliau,kertas yang berisi masalah agama pada pelbagai bidang pula tak putus-putus dihulur tunggu dijawab selepas kuliah,berhelai-helai banyaknya,dan beliau menjawabnya dengan izin allah secara memuaskan hati hadirin,kerana disertakan setiap jawapan dengan hadith yang beserta dengan perawinya serta martabat hadith tersebut pula…
Segala puji bagi Allah,teramatlah puas hatiku mengambil manfaat dari apa yang telah Allah kurniakan pada beliau itu,ya allah,segala puji bagi mu,ilmu yang dikau campakkan kepada hambaMu teramatlah sedikit sangat-sangat,teramatlah kerdil pabila ingin dibandingkan dengan ilmu Mu yang taklah tergambar luasnya…
Tinggalkan Jawapan