Dengan nama Allah,suatu zat yang sewajibnya disembah dan ditaati segala titah perintahnya,dan jambangan selawat yang subur mekar ku kalungkan ke atas penghulu segala pesuruh Allah yang maha mulia,manusia agung yang memimpin seantero dunia ini sekalianya,Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam,juga salam sejahtera kulampirkan ke atas keluarga baginda nabi yang mulia,yang memerah jerih perih mereka menyebarkan agama benar ini ke serata alam….
Suatu sifat yang dapat aku amati, selalu benar terdapat pada seorang pendakwah/penuntut ilmu ini ialah: Keterbiasaanya membangkang,sehinggalah ianya mendarah daging dalam jiwa raga sang pejuang..bahaya benar bunyinya…
Tetapi,bukanlah maksudku disini membangkang pada perkara yang sudah jelas lagi terang salahnya,maksudku ialah sifat membangkang pada perkara yang samar-samar kesalahanya,kerana terkumpul juga perkara yang ada benarnya di dalam perkara yang salah itu..jikalau perkara yang jelas lagi terang salahnya itu,sudahlah Allah menitahkanya di kalamNya yang mulia serta kalam kekasihnya yang agung:
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan,menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah dari perkara yang jahat,merekalah orang-orang yang beruntung”(surah Al-Imran: 104)
“Daripada Abi Said Al-Khudri radiallahu anhu berkata: Aku telah mendengar daripada rasulullah sallallah alaihi wassalam berkata: Barangsiapa yang telah melihat suatu kemungkaran,maka hendaklah dia mengubahnya dengan tanganya,jika dia tidak berkemampuan pula,hendaklah diubah dengan lidahnya,jika tidak berkemampuan juga,hendaklah diubah dengan hatinya(dengan perasaan membencinya) dan itulah selemah-lemah iman”
(Diriwayatkan oleh Imam Muslim,Imam Tirmizi dan Imam Ahmad)
Disebabkan keterbiasaanya terlalu suka membangkang,sehinggalah dia terbawa-bawa sifatnya itu pada segenap perkara,maka,dia sudah tidak memikirkan lagi samada perkara itu ada terselit secebis kebenaran ataupun tidak,baginya,perkara yang bertentangan dengan apa yang dia ketahui adalah salah belaka hukumnya!!tanpa perlu ditimbang serta ditapis lagi dengan pertimbangan Allah,sunnah serta aqalnya yang waras..
Nantilah dulu wahai pejuang,janganlah terburu-buru dalam menghukum,cubalah bersikap berlapang dada,sudilah kiranya mendengar dulu pendapat yang bertentangan dari hanya yang diketahui,bukanlah semua perkara yang kamu tidak ketahui itu salah hukumnya,kerana barangsiapa yang mengetahui sesuatu,pastilah akan tersembunyi juga padanya sesuatu,kerana yang hanya mengetahui segenap perkara itu hanyalah Allah yang bersifat Al-A’liim itu..
Apakata sebelum melulu dengan bangkangan itu,bersikap tenang dahulu,timbanglah dahulu dengan Al-Quran yang mulia serta sunnah nabi dan atsar-atsar yang sahih,bukanlah perkara yang samada benar atau salah itu hanyalah salah sahaja hukumnya,bak kata Allah yang maha mulia:
” wahai orang-orang yang beriman,taatilah allah dan taatilah rasul,dan pemimpin kamu,kemudian,jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu,maka kembalikanlah ia kepada allah (al-quran) dan rasulnya (sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada allah dan hari kemudian.Yang demikian itu lebih utama bagimu dan lebih baik akibatnya” (surah an-nisa’ :59)
Kata Ibnu Taimiyah rahimahullahu di dalam kitabnya Majmu’ Al-fatawa pada jilid yang ke-11 pada mukasurat 92:
“Mereka tidak akan menerima perkara yang datang dari agama,ilmu atau pendapat yang lain selain dari jalan yang mereka ikuti,dan tidak akan bersandar selain dari pendapat mereka,dan taasub jenis ini merupakan suatu ikutan yang dicela oleh allah taala dan rasulNya” dan beliau menambah pula di dalam kitabnya Iqtidho’ Siratul Mustaqim di jilid 1 pada mukasurat 211 dengan:
“iaitu suatu perbuatan orang jahiliah!!”
Dan,diriku ini berasa,bersikap berlapang dada pada menilai suatu pendapat yang bertentangan dari yang hanya kita tahu sambil ditapis serta disaring pula pendapat itu dengan tapisan Al-quran,Hadith serta Atsarnya tanpa secara melulu membangkang secara membuta tuli adalah suatu akhlaq yang sangat terpuji serta semestinya diamalkan bersama..
Kerana asal utama berbincang pada pendapat yang saling bercanggah itu adalah untuk mencari kebenaran,yang mana kebenaran itu mengikut dari hasil jerih perihnya memerah keringat menganalisa serta menelitinya seterusnya bersetujunya pula para ulama’ ummat hanyalah untuk mencari keredhaan Allah,bukanlah mencari permusuhan!! jika tidak dihiasi pula percanggahan ini dengan akhlaq yang mulia,masakan keredhaan allah dapat dicapai??
Ibnu mubarak berkata: “TIdak akan dapat seorang lelaki itu pada berbagai jenis ilmu jika tidak dihiasi pula ilmunya itu dengan berbagai jenis akhlaq yang terpuji” (kitab Muntholaqaat Tholibul Ilmi oleh Syeikh Husin Yaaqub)
Oleh itu,janganlah terlalu suka membangkang secara membuta tuli,timbanglah dahulu dengan timbangan allah serta rasulnya dahulu,bersikap amanah pada ilmu serta menjaga adab-adab dalam percanggahan serta menjaga persaudaraan adalah lebih utama lagi !
YA ALLAH,JAUHKANLAH KAMI DARI HANYA MEMBANGKANG SECARA MEMBUTA TULI,TANPA MENGIKUT TELUNJUK AJARAN SUCI MU INI,JADIKANLAH KAMI PARA PEJUANG YANG MENJADIKAN KALAM MU INI DIJUNJUNG TEGAK DI ATAS KEPALA KAMI INI, AMIN….
Tinggalkan Jawapan