Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Disember 2007

terbang.jpg

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani,selawat serta salam kepada nabi besar junjungan Muhammad sallallahu alaihi wassalam serta sahabat handai dan kaum keluarga baginda yang diredhai Allah sekelianya..

Berkatanya Allah yang maha berkata-kata di dalam kalamNya yang agung :

“Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi ke (medan perang),Mengapa sebahagian dari setiap golongan diantara mereka tidak pergi untuk memperdalamkan pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya” (surah At-Taubah : 122) 

BETAPA BERUNTUNGNYA SI PENUNTUT ILMU YANG TERBANG…. 

“Tatkala si ayah dan ibu berkata : terbanglah,terbanglah wahai anakku,keluarlah dikau dari kepompong duniamu selama ini,lihatlah dunia orang lain,agar luas celik matamu,lingkup mindamu,alam terokamu kepada dunia luar sana….kami menanti disini dengan segunung harapan yang memuncak,agar kepuasan kami dan kebanggaan kami selama membesarkanmu tersirna indah dihati kami….walaupun dengan hati yang berat,juraian airmata yang mengalir melepaskan si anak,dilepaskan juga si anak pergi mengejar citanya demi mencari keredhaan tuhanya..”

YA,betapa beruntungnya pelajar yang belajar diluar negara,berbeza dengan pelajar yang hanya belajar di dalam negara sahaja,nikmatilah taqdiran manis dari Allah ini dengan sebaiknya :

(1) Jauh berjalan luas pengalaman :Mereka mempunyai berbagai pengalaman manis di negara orang,dapat melihat keindahan bumi ciptaan Allah yang berbagai rupa dan jenis..

(2) Melihat budaya dan adat resam bangsa lain :Boleh melihat adat resam perkahwinan mereka,makanan,pakaian,serta tatacara kehidupan mereka,pegangan-pegangan mereka yang semestinya amat asing dari kehidupanya selama ini..

(3) Dapat mempelajari banyak perkara baru :Jika selama ini hanya mengetahui perkara-perkara yang kebanyakkanya berlegar di sekeliling dunianya sahaja,selepas merantau,baru tersedar,batapa banyak lagi perkara yang dirinya tidak tahu,sebagai contohnya : pengembaraan Imam Syafie rahimahullahu taala dari satu negara ke satu negara sehingga lahirnya dari Qaul Qadim (pendapat beliau yang lama ketika beliau di kota Baghdad) kepada Qaul Jadid (pendapat beliau yang baru iaitu ketika beliau di Mesir)..

(4) Merasai alam cuaca yang berbeza :Paling kurang dapat merasai cuaca 4 musim (sejuk,bunga,luruh dan panas),yang mana sebelum ini hanya dapat rasai panas terik sahaja,nak bergaya dengan jaket pun serba salah dan fikir banyak kali,takut dianggap gila!! tapi..hujan batu dinegeri orang,hujan emas dinegeri sendiri,lebih baik dinegeri sendiri..

(5) Mengetahui dan mempelajari bahasa asing : Lebih-lebih lagi kepada pelajar yang belajar di tanah arab,betapa beruntungnya mereka mengetahui bahkan memperdalami bahasa agama suci kita ini iaitu bahasa arab..

dan berbagai lagi keuntungan yang diberikan Allah kepada mereka,andai insan yang bijak,dia akan menjadikan keuntungan yang didapati diselilingnya itu sebagai batu loncatan untuk memajukan dirinya sendiri,berbeza dengan insan yang leka dan hanyut dengan keuntungan tersebut yang dengan ‘slumber’ mensia-siakanya..

DIRIMU YANG CUKUP ISTIMEWA…TERPILIH 

Antara keistimewaan pada diri para pelajar luar negara yang dapat daku senaraikan :

(1) Lebih fokus kepada matlamat dan cita-citanya :Demi kerana dibenak fikiran dan sanubari mereka sentiasa merasa menanggung harapan yang menggunung tinggi  dari insan-insan yang tersayang yang menanti kepulangan mereka,dan semestinya hasil dari perasaan tersebut,mewariskan suatu ‘kuasa’ yang menolak supaya terus bangkit rajin,tekun dan terus berusaha ke arah cita-cita,dan juga mewariskan suatu perasaan yang merasa tidak berbaloi andai merantau jauh-jauh,bahkan bertahun-tahun,tetapi kepulanganya tidak dapat memberikan apa-apa hasil yang membanggakan,lalu menjadikan dirinya lebih bertanggungjawab,tetapi tidak daku nafikan adanya niat si penuntut yang begitu tulus dan murni,iaitu hanya mengharapkan keredhaan tuhanya..

(2) Mempunyai sikap berdikari dan ‘self survive’ yang mantap :Jika sebelum ini hanya duduk di bawah ketiak emak sahaja,maka baju,seluar,seluar dalam pun dibasuh oleh emak,maka selepas merantau,semuanya akan ditanggung oleh dirinya sendiri,dari memasak,membasuh baju,membuat urusan pembayaran bil-bil dan sewa rumah,mencari rumah sewa,pergi ke pasar dan lain-lain,dan persekitaran asing disekelilingnya itu dapat menjadikan dirinya lebih yakin,dan tabah dalam menghadapi apa jua rintangan hidup,kerana hidup harus diteruskan walau susah mana pun ia..

( 3) Terdidik dengan sistem pendidikan yang berbeza : Sistem pendidikan semestinya berbeza mengikut negara-negara,ada yang sistemnya menganjurkan pelajarnya mencari sendiri sesuatu yang baru,ada pula yang banyak menganjurkan perbincangan pada setiap pendapat yang bercanggah,tetapi yang penting,setiap sistem ada kebaikkan masing-masing..dan setiap sistem yang disusun,dengan izin Allah bakal melahirkan pemikiran yang berbeza-beza..

TERSADUNG LANGKAHMU…. 

Walaupun pelajar-pelajar luar negara disaji dengan bermacam keistimewaan dan keuntungan,tapi tidak dinafikan akan kekurangan mereka disebabkan terleka dan hanyutnya mereka pada keistimewaan-keistimewaan mereka..

(1) Tiada nya pengawasan : semua perkara bergantung pada dirinya sendiri,mahu rajin,bermalas-malasan,bersuka-suka,bergembira,mahu berjalan sahaja,lebihkan berniaga dari pelajaran dan macam-macam perangai lagi,semuanya terletak diatas pertimbangan dirinya,antara faktornya ialah jauhnya dari keluarga,maka tiadanya suara yang meleterinya seperti ibunya berleter,maka kawan-kawanlah sahaja keluarga besar mereka,andai pandai dirinya memilih kawan,maka insan itulah umpama ibu-bapanya,andai  tersilap memilih kawanya,maka sangat rugilah kembaranya selama bertahun-tahun sekali pun..

(2) Tidak pandai ‘mencuri’ peluang yang ada : Betapa banyaknya peluang mereka untuk memajukan diri terhidang di depan mata,tetapi tidak pandai untuk mengambil peluangnya,ingatlah,hanya ketika diberi peluang ini sahajalah untuk kamu belajar dan belajar,andai disia-siakan,diri kamu tidak akan dapat memutarkan kembali masa yang telah berlalu,kemudian,barulah hendak katakan : menyesalnya aku..kalaulah aku..(berapa banyak kalau)

(3) Merasakan diri sedang ‘honeymoon’ : Ada pula insan yang tidak sedarkan diri,dia merasakan bahawa dirinya sedang berbulan madu,makan angin dan tak ubah seperti pelancong lagaknya,mahu berjalan ke sana,berjalan ke sini,pelajaran diabaikan,bayangkan..berbaloikah duit hasil penat lelah orang tuamu dihabiskan untuk dirimu berjalan tidak tentu hala,bila pulang dari pengajian,berbagai perkara tidak tahu,berbagai perkara masih samar-samar..

MAKA…. 

Aku banyak kali mendengar insan yang mengatakan bahawa beliau tidak dapat merasakan suasana belajar wujud ditempatnya…sebenarnya diri kamu itu sendirilah yang semestinya wujudkan suasana belajar itu !!,mujur Allah mencampakkan  perasaan sebegitu dalam diri kamu,agar kamu sendiri yang bergerak mewujudkanya,mengapa menunggu suasana itu wujud dengan sendirinya?? bisakah makhluk hidup dengan sendirinya??

Maka sedarlah,fokuslah pada cita-cita dan matlamat hidupmu,fikirkanlah cara-cara yang memungkinkan dirimu mencapai matlamat,wujudkan suasana belajar walau dimana pun dirimu berada,usah ditunggu orang lain,gerakkan dirimu dahulu,kemudian ajaklah orang lain,carilah pembangkit semangatmu,agar menyedarkan dirimu akan cita-citamu..tiada perkara lain yang harus diingat lagi,selain belajar dan teruskan belajar..

HIDUPLAH PERJUANGAN ISLAM SELAMANYA!!! 

Advertisements

Read Full Post »

cium.jpg

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani serta selawat juga salam kepada nabi besar junjungan Muhammad sallallahu alaihi wassalam serta kaum keluarga baginda yang berketurunan mulia…

Apakah hukumnya melihat kaum hawa yang bukanlah mahram kita??

HARAM hukumnya melihat kaum hawa yang ajnabiah (perempuan asing yang bukan mahram) disisi mazhab Hanafi,tetapi diperbolehkan melihat hanya kepada muka dan kedua telapak tangan sahaja,berdasarkan dari kalam Allah yang maha agung:

“Dan janganlah menampakkan perhiasanya (auratnya) kecuali pada yang (biasa) terlihat” (surah An-Nur : 31)

Begitu juga pada mazhab Maliki,mengharuskan penglihatan kepada perempuan ajnabiah hanya kepada muka dan kedua belah telapak tangan sahaja,tetapi hanyalah kepada orang tua,manakala pada perempuan ajnabi yang masih muda belia dan segar bugar lagi maka HARAM hukumnya,kecuali pada beberapa perkara iaitu ketika : bertunang atau menjalani rawatan..atau memberi persaksian..

Begitu juga pada mazhab Hanbali,HARAM hukumnya seorang lelaki memandang kepada perempuan ajnabi tanpa apa-apa sebab yang munasabah,(dating munasabah ke???)..Dan mazhab Hanbali juga mazhab Syafiey bersepakat bahawa keseluruhan badan seorang perempuan yang merdeka adalah auratnya,tetapi berlainan pula dengan mazhab Maliki dan mazhab Hanafi,iaitu muka dan kedua belah telapak tangan tidaklah termasuk aurat..

Alamak aii!! habis tu,kalau terpandang sebab tidak sengaja,macam mana??

haaa..jika kamu sudah terpandang tanpa sengaja dan bukan sebab nak gatal-gatal untuk memandangnya,maka hendaklah kamu cepat-cepat berpaling dan terus berpaling,dan tidaklah berdosa pandangan pertama yang tidak disengajakan itu berdasarkan dari hadith ini :

” Daripada Jarir bin Abdullah Al-Bajalli : Aku telah bertanya kepada nabi sallallahu alaihi wassalam tentang pandangan yang secara tiba-tiba(kepada perempuan ajnabi),lalu beliau menyuruhku supaya aku mengalihkan pandanganku” (riwayat Imam Muslim)

“Daripada Buraidah radiallahu anhu: berkatanya rasulullah sallallahu alaihi wassallam kepada Ali radiallahu anhu: Wahai Ali! janganlah pandangan kamu yang pertama diikuti pula dengan pandangan kamu yang kedua,kerana pandangan pertama itu untukmu (yang tidak sengaja) tetapi tidaklah pula untuk pandangan yang kedua” (riwayat Imam Abu Daud)

Tetapi..harus diingat..tidak boleh juga memandang kepada muka perempuan ajnabi jika takut-takut akan menaikkan nafsu,kecuali kalau kerana dharurah (keterpaksaaan) yang terpaksa memandangnya,dan halal atau haramnya memandang kepada perempuan ajnabi itu terikat dengan timbulnya syahwat ataupun tidak,jika timbulnya syahwat,maka HARAM..dan dikira timbulnya syahwat itu ialah dengan menegangnya alat sulit..

ek elleh..Abis tu takkan tiada kelonggaran sedikit kot?? takkan tidak boleh nak tengok langsung??!!

ada..ada kelonggaranya…diantara keharusan-keharusan syarak yang mengharuskan memandang kepada perempuan ajnabiah mengikut ijtihad para fuqaha’ ialah ketika :

(1) Pertunangan : cuma diharuskan melihat hanya kepada muka dan kedua belah telapak tangan sahaja,dan tanpa menyentuhnya..

(2) Menjalani rawatan : hanya boleh melihat ke bahagian anggota yang sakit sahaja,dan semestinya bersama mahramnya,serta tidak boleh si kafir zimmi ada bersama orang islam,doktor yang tidak amanah ada bersama doktor yang amanah ketika menjalani rawatan…dan sekurang-kurangnya boleh melihat juga kepada muka dan kedua belah telapak tangan,selain dari kedua itu,hanyalah pada anggota-anggota yang disunatkan tayamum
(3) Berurusan jual beli : tetapi diharuskan hanya melihat kepada muka sahaja..

(4) Meminta fatwa kepada Qadhi : dibolehkan melihat hanya pada muka sahaja..

(5) Belajar. dan lain-lain..(selain perkara yang dinyatakan di atas yang terpaksa untuk melihat demi keperluan yang mendesak,dan semestinya tanpa timbulnya syahwat)
Tapi,ada syaratnya lagi,melihat pun hanyalah apabila ada keperluan yang penting sahaja,dan tidak boleh melangkaui batas melihat selain dari ada keperluan untuk melihat,kerana apa yang dihalalkan ketika dharurah (keterpaksaan) semestinya ada batas-batasnya..

“Dari Abi Tsa’labah Al-Khushaniyyi radiallahu anhu : Sesungguhnya Allah telah menfardhukan kewajipan-kewajipanya maka janganlah sia-siakanya,dan membataskan batas-batasanya maka janganlah melampauinya,dan mengharamkan banyak perkara maka janganlah membencinya,dan mendiamkan banyak perkara sebagai rahmat kepada kamu dan bukanlah kerana lupa (maha suci Allah dari sebarang keterlupaan) maka janganlah mencari-cari tentangnya” (riwayat Imam Daruquthni dengan sanad yang hasan)

ooo..habis tu,kalau saya nak ‘dating’ * dengan awek saya tak bolehlah maknanya yer??!!

ehh,kamu ni,tentulah tak boleh dan haram!! sedangkan melihat kepada mereka sahaja sudah bermacam-macam syarat,inikan pula berdating,kalau dah berdating tu,bukan setakat melihat,macam-macam adaaa..

(1) berpegangan tangan : tak perlu penjelasan,mula-mula pegang tangan,lepas itu bawah dari tangan!! sebab syaitan dah masuk jarum!!

“Dari Umaimah binti Raqiqah : Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan orang perempuan” (diriwayatkan di dalam kitab Al-Muwattho’ ,Imam Tirmizi,dan Imam An-Nasaiey )

(2) adegan pandang-memandang dan jeling menjeling : perbuatan ini sememangnya lari terus dari kaedah-kaedah yang telah digariskan oleh ulama’ pada melihat,takkan la tidak rasa apa-apa kot bila mata kamu tu menjamah kecantikkan muka awek kamu tu??

(3) ciuman perpisahan di pipi : NO KOMEN!!

(4) Adegan ‘ringan-ringan’ : ………..

selain dari perbuatan ini tidaklah ingin daku senaraikan pula,nanti tak sanggup pula kamu ingin mendengarnya,cukuplah yang ini pada kebiasaanya dilakukan oleh mereka ketika berdating, tahu tak??

“Sesungguhnya janganlah seorang lelaki itu berseorangan dengan perempuan yang tidak halal baginya (perempuan ajnabiah) kerana sesungguhnya yang ketiganya adalah syaithan kecuali bersama mahram” (riwayat Imam Ahmad)

Kalau mahram kamu setakat budak kecil berumur 5 tahun yang masih meleleh hingus di hidung dan boleh sahaja diupah dengan gula-gula sebutir dua,tak payah laa..

Ermm,kalau chatting-chatting,ucapan sayang-sayang dan message-message,macam mana?

Bergantunglah pada niat,andai chatting untuk tujuan berbincang tentang program persatuan,bertanyakan masalah-masalah agama,memberikan nasihat serta peringatan kepada si hawa,tidak mengapa,sebagai qiasan kepada syarat-syarat melihat seperti yang telah digariskan oleh ulamak itu tadi,selagimana tidak timbulnya nafsu syahwat serta tidak lari terus dari keperluan untuk berbicara….

“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain,mereka menyuruh melakukan yang makruf dan mencegah dari melakukan yang mungkar,melaksanakan solat,menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan rasulNya,mereka akan diberi rahmat oleh Allah,sungguh Allah maha perkasa,maha bijaksana,Allah menjanjikan kepada mukmin lelaki dan perempuan (akan mendapat) syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai,mereka kekal didalamnya dan (mendapat) tempat yang baik di syurga Adn,dan keridhaan Allah itu lebih besar,itulah kemenangan yang agung” (surah At-Taubah : 71)

jika sekadar ingin menggatal-gatal sehingga naik nafsu syahwatnya,apakah adanya perkataan lain selain haram??..bukankah sudah diajar??

“Dari Abi Muhammad Al-Hasan bin Ali bin Abi Talib: Jauhilah apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan dirimu” (riwayat Imam Tirmizi,Imam Nasaiey,berkatanya Imam Tirmizi,hadith ini hasan sahih)

cuba bayangkan,perempuan dengan suaranya yang memikat dan merengek-rengek manja sambil terluncur dari bibirnya yang mungil itu..sayaaaaaaang..jawabnya,umpama bara api dibawah punggung la,memang tak sedap duduk jawabnya,sampai termimpi-mimpi..naik nafsu tak perlu cakap la,melainkan tidak aktif dah!!

Ingatlah: “Berjaga-jagalah kamu terhadap dunia dan berjaga-jagalah kamu terhadap perempuan,kerana sesungguhnya fitnah pertama yang berlaku pada Bani Israel aadalah berpunca dari perempuan ” (riwayat Imam Muslim)

Jadikanlah agamamu wahai sang puteri dijunjung tegak di atas kepalamu dan janganlah sekali-kali merendahkan martabat agamamu serendah kakimu,maka rendahlah juga maruah dirimu,serta tidaklah bernilai langsung dirimu di sisi Tuhanmu kelak,jagalah dirimu sang puteri dari tutur manis bicara si anak adam,andai silap langkahmu,meranalah dirimu,walau ditebus dengan air mata darah sekalipun,sedikit pun tidak berguna..

Satu lagi…apa hukum…

sudahlah,aku nak tidur ni…HIDUPLAH PERJUANGAN ISLAM SELAMANYA!!

************************************************************************************************************

*dating= suatu adat resam pasangan yang bercinta sebelum termeterainya ijab dan qabul yang berhukum haram dan merupakan bunga-bunga zina yang keji!!

RUJUKKAN :

(1) Al-Fiqh Al-Islamiyy Wa Adillatuhu oleh Dr.Wahbah Az-Zuhaili,jilid yang ke-4 muka surat 2650 terbitan Aafaqu Makrifatu Mutajaddidah.

(2) Syarah Arbaiin An-Nawawi oleh Ibnu Daqiq Al-I’iid terbitan Dar Ibnu Hazm.

Read Full Post »

zulkifli.jpg

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani hamba-hambanya serta selawat dan salam kepada nabi besar junjungan Muhammad sallallahu alaihi wassalam serta kaum keluarga baginda yang berketurunan mulia….

“Katakanlah (wahai Muhammad) seandainya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah tuhanku,maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat tuhanku,meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula” (surah Al-Kahfi : 109)

“Barangsiapa yang menyusuri jalan untuk menuntut ilmu,Allah akan susurkan pula baginya jalanya ke syurga,dan sesungguhnya para malaikat akan menghamparkan sayap-sayapnya kepada mereka kerana redha kepada penuntut ilmu itu dan segala yang ada di langit dan di bumi akan memohon ampun untuk orang yang berilmu,sehinggakan ikan yang berada di laut pun akan memohon ampun untuk mereka,dan keutamaan antara orang yang berilmu dengan seorang ahli ibadah itu bagaikan sinar rembulan yang lebih menerangi daripada sekelian bebintang,dan para ulamak itu adalah pewaris para nabi,dan para nabi itu tidaklah mereka mewariskan wang emas walau wang perak,sesungguhnya mereka mewariskan ilmu,barangsiapa yang mengambilnya,maka dia telah mengambil keuntungan yang banyak” (diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi bernombor 2682 dan telah disahihkan oleh As-Syeikh Nasaruddin Al-Banni rahimahullahu taala pada sahih At-Tirmizi bernombor 2159)

Gambar di atas ini ialah gambar guruku yang amat ku kasihi iaitu As-Syeikh Al-Fadhil Ustaz Abu Abdul Halim Dzulkifli Bin Ismail Al-Hadhrami ghafarullahu lahu,beliau sekarang merupakan Ketua Dewan Ulamak PAS negeri Melaka dan merupakan mudir (pengetua) pondok yang diasaskan oleh beliau sendiri iaitu Majlis Taklim Baitul Qurra’ Littafaqquh Fiddin di Kampung Sungai Udang,Melaka…

Segala puji bagi Allah,telahpun diberikan kesempatan oleh Allah kepada diriku untuk mengutip butiran permata yang dikurniakan Allah kepada beliau selama beberapa bulan lamanya sebelum menjejakkan kakiku ke tanah asing ini,suatu lama masa yang cukup berharga pada diriku walaupun sebentar cuma ku rasakan…

Banyak kenangan manis di antara daku dan rakan-rakan seperguruanku sepanjang menuntut dengan beliau,kami bagaikan anak itik yang senantiasa mengekori si ibunya,manakan tidak,kemana sahaja beliau pergi menyampaikan ilmu,pasti dibawa kami bersama,sebagai suatu proses belajar melalui pengalaman bersama masyarakat lebih daripada hanya sekadar peneman dalam kembara…

Kebanyakkan perkara yang dapat daku kutip ialah tarbiyah mendidik jiwa secara langsung diantara guru dengan muridnya,juga didikkan fardhu ain dari kitab-kitab kuning hasil karangan para ulamak nusantara yang bukan calang-calang juga hebatnya,dan yang paling penting ialah pemikiran perjuangan islam yang dimiliki beliaulah yang paling daku kagumi sekali..

Beliau mempunyai ilmu,semangat serta kesedaran perjuangan islam yang amat menakjubkan,pernah sekali kami diajak berkumpul di sisi beliau demi mendengar nasihat-nasihat beliau:

“Setiap anak murid ustaz selepas habis tempoh pengajianya mesti berjuang kerana islam,jangan balik nanti bekerja untuk memenuhkan perut sendiri sehingga lupakan tanggungjawab kamu kepada perjuangan islam”

Beliau terlalu banyak mementingkan adab bersama guru,demi kerana hasil tarbiyah yang beliau sendiri lalui sepanjang pengajian beliau dahulu dan dipraktikkan pula kepada kami,bibir beliau yang tidak pernah lekang dengan menuturkan nasihat demi nasihat kepada kami,juga sindirin-sindirin yang pedas sebagai peringatan kepada anak murid..

Beliau pernah berkata bahawa beliau tidak pernah rasa menyesal sepanjang masa pengajian beliau sepuluh tahun yang lampau,kerana beliau sudah dapat apa yang dihajati untuk diri beliau juga untuk keperluan dakwah kepada masyarakat,kerana apa?

“ingatlah,janganlah ingat perkara lain apabila kamu disana nanti(tanah asing murid-murid beliau) selain mengaji(belajar) dan mengaji,jadikanlah tidurmu ingat untuk mengaji,jalanmu juga ingat untuk mengaji,larimu juga ingat mengaji bahkan mimpimu juga ingat akan mengaji,kerana andai dirimu leka,maka dapatkah dirimu memusingkan kembali masa yang telah berlalu??dirimu tidak akan dapat lagi peluang sebegini, hanya masa mengajimu sahajalah untuk kamu mengaji”

Andai niat sang penuntut inginkan ilmu,maka ilmulah yang akan dikejarinya,andai niat sang penuntut inginkan wang harta hasil meniaga,maka perkara itulah yang akan didapatinya,kerana setiap amalan itu sememangnya dipasangkan dengan niat..

Beliau telah melalui banyak kenangan manis serta tarbiyah dari bermacam orang guru,beliau mengatakan bahawa beliau telah mempunyai hampir 40 orang guru ramainya,yang kesemuanya para alim yang dikurniakan Allah butiran permata yang bercahaya gemilang,dan beliau selalu menceritakan ragam-ragam guru beliau kepada kami yang penuh sarat dengan pengajaran untuk direnungi..

Beliau mempunyai cita-cita yang sangat tinggi,menginginkan agar bumi melaka ini nanti bakal dipenuhi sarat dengan para ulamak yang beramal dengan ilmunya,dan menginginkan agar hukum islam bertapak kemas di atas bumi melaka,kerana bumi melaka perlu merampas kembali haknya yang dahulu telah hilang kegemilangan agamanya hasil tajakkan si kuffar laknat yang menjajah,dan lebih malang pula terkesanya pula pemerintahan si islam yang mengaku sudah beriman dengan pemikiran si kuffar laknat itu,padahal telunjuk si lakhnat itu sedikit pun tidak dapat memberikan kebahagiaan hidup akhirat yang lebih kekal lagi..

Daku mendoakan kepada guruku yang mulia agar tercapainya cita-cita beliau serta dipanjangkan lagi umur beliau agar dapat diambil manfaat lagi selagi nyawa dikandung badan,serta daku doakan agar rahmat allah serta kasih sayangnya memayungi hidup beliau sepanjangnya..allahumma amin ya rabbal alamin..

YA ALLAH,KURNIAKANLAH KAMI PARA KEKASIHMU YANG DIKAU KASIHI INI YANG MEMEGANG TAMPUK PEMERINTAHAN,AGAR DAPATLAH KAMI RASAI KEMANISAN SURUHAN DAN LARANGANMU YANG TERSIMPAN SERIBU SATU HIKMAHNYA…

hiduplah perjuangan islam selamanya!!!

Read Full Post »

Tipuan??hanya tipuan??

 dunia.jpg

Dengan nama allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani para hambanya yang melata di segenap ceruk bumi ciptaanya,juga selawat dan salam kepada baginda nabi yang mulia Muhammad sallallahu alaihi wassalam dan ahli keluarga beliau yang berketurunan mulia…

Hayatilah kalam Allah yang maha mulia ini:

“Sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau,jika kamu beriman serta bertaqwa,allah akan memberikan pahala kepadamu,dan dia tidak akan meminta hartamu” (surah Muhammad :36)

“Wahai kaumku!sesunguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negei yang kekal” (surah Al-Mu’min :39)

“Dan apa sahaja(kekayaan,jabatan,keturunan) yang diberikan kepadamu,maka itu adalah kesenangan hidup duniawi dan perhiasanya,sedangkan apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal,tidakkah kamu mengerti? (surah Al-Qasas : 60)

Kehidupan di dunia yang mengandungi banyak kesenangan dan kegembiraan sehingga terlupa akan kehidupan akhirat yang lebih kekal adalah benar-benar suatu tipuan..bukanlah diriku mengatakan tidak perlu kepada kehidupan di dunia ini secara mutlaq,tetapi menghargai kehidupan di dunia yang penuh dengan kesenangan itu sehingga terlupa dan lalai akan adanya suatu kehidupan akhirat yang lebih kekal lagi yang cuba daku katakan..sesungguhnya kewujudan kita ke dunia ini penuh dengan misinya,dan bukanlah hanya duduk di dunia  kosong-kosong sahaja tanpa kerja:

“Dan tidaklah Aku menjadikan jin dan manusia itu melainkan agar mereka beribadah kepadaKu” (surah Az-Zaariyat : 56)

 Sesungguhnya kehidupan dunia ini bukanlah segalanya,jika kamu sayangkan kekasih kamu,ingatlah dia juga akan binasa,jika kamu sayangkan isteri dan anak-anak kamu,ingatlah  bahawa mereka juga akan binasa,jika kamu sayangkan handphone kamu yang canggih,ya,semestinyalah akan binasa,maka,manakah benarnya kehidupan dunia ini jika kamu tidak kawankan kehidupan dunia itu dengan kehidupan akhirat yang lebih kekal?

Cubalah jadikan segala kehidupan di dunia yang kamu sayangi ini sebagai jaminan kebahagiaan kamu di akhirat,jika tidak,rugilah kehidupan kamu di dunia ini,semata-mata rugi dan secara mutlaqnya memang rugi!!sebagai contoh:

Jadikanlah isteri kamu serta anak-anak kamu yang kamu sayangi menjadi insan yang taat kepada perintah dan larangan agama,dengan niat agar dapatlah kamu berkumpul di dalam syurga nanti serta mendapat pula keredhaan allah..

Jadikanlah harta-harta kamu yang kamu sayangi dengan menyalurkanya ke arah kebaikkan dan kesenangan orang ramai serta memeberi faedah pula kepada masyarakat,dengan niat agar mengalir pula pahala yang diberikan allah kepada kamu selagimana masyarakat mendapat faedah hasil saluran harta kamu (amal jariah)

“jika matinya anak adam itu,akan terputuslah segala amalanya melainkan 3 perkara: doa anak yang soleh (yang mendoakan kebahagiaan hidup ibu dan bapanya) ilmu yang dimiliki dimanfaatkan (secara betul) serta sedeqah jariah(yang mengalir pahalanya kepada si pemberi selepas kematianya)” (riwayat imam muslim)

teringat daku akan nasihat oleh guruku yang mulia,As-Syeikh Al-Fadhil Ustaz Dzulkifli Bin Ismail Al-Hadhrami ghafarullahu lahu,ketika daku bersimpuh di hadapan beliau meminta nasihat beliau dalam menghadapi ranjau jalan yang daku susuri ini:

“Janganlah dirimu cuba-cuba untuk memandang akan kehidupan dunia itu,kerana kelak kehidupan akhirat tidak akan sudi memandang dirimu lagi,tetapi cuba-cubalah memandang akan kehidupan akhirat itu,kerana kelak kehidupan dunia itu sendiri yang akan menjeling memandang dirimu nanti,dan apabila dipandang dunia,kelak tidaklah lagi ia akan menjadi fitnah kepada dirimu” 

Nasihat yang amat daku pegangi,bukanlah kebahagiaan kehidupan di dunia itu yang dapat menjamin kebahagiaan kehidupan kita di akhirat kelak,tetapi menjadikan kehidupan dunia sebagai alatan kita mencapai kebahagiaan kehidupan diakhiratlah yang bisa menjamin kehidupan kita di akhirat teramat bahagia,bahkan lebih kekal lagi sifatnya,kerana segala perkara atas dunia ini akan binasa,dan segala makhluq sifatnya akan binasa,kecuali Al-Khaliq:

“Semua yang ada di bumi itu akan binasa,tetapi wajah tuhanmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan tetap kekal” (surah Ar-Rahman : 26 dan 27)

YA ALLAH,JADIKANLAH KAMI SENTIASA SEDAR AKAN KEHIDUPAN AKHIRAT YANG DIJANJIKAN ITU MELEBIHI KESENANGAN KAMI DI DUNIA YANG BERSIFAT TIPUAN INI…..

Hiduplah perjuangan islam ini selamanya!!

Read Full Post »

hp.jpg

 

Dengan nama Allah yang amat pemurah lagi maha amat mengasihani……serta selawat dan salam ku lampirkan untuk baginda nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam serta kaum keluarga baginda yang berketurunan mulia…

 

Gambar di atas ini adalah gambar handphone aku,dihadiahkan kepadaku oleh ibuku ketika daku sempat balik ke tanah air baru-baru ini,tujuan aku menayangkan handphone ini bukanlah bertujuan untuk berlagak konon-konon dapat handphone baru dan konon-konon nak beritahu orang semua yang handphone aku ini canggih..tidak..tidak sama sekali..hanya allah yang maha mengetahui niat hamba-hambanya…

 

Tujuanku menayangkan gambar handphone ini adalah sebagai mengisytiharkan bahawa ‘benda alah’ ini sangat berjasa dalam menaikkan kembali semangatku apabila turun levelnya dan pudar warnanya,tetapi ianya tidak lebih hanyalah sebagai penyebab sahaja dan yang menjadi sebabnya hanyalah tuhan sekelian alam ini yang maha memiliki hati-hati hambaNya..

 

Kenapakah daku katakan ianya berjasa??kerana ianya mempunyai banyak fungsi yang mampu menyimpan maklumat secara bondongan,kerana ia dilengkapi dengan MP3,memory card sebanyak 1 giga memori serta mampu memindahkan maklumat-maklumat dari komputer setelah dimuat-turun terus kepada ia dengan menggunakan kabel..

 

Oleh itu,daku menjadikan teknologi yang dicipta oleh kaum kuffar ini sebagai faedah yang berguna untuk kaum yang beriman menyumbang jasa kepada agamanya yang disayanginya,daku telah memindahkan banyak fail-fail yang telah dimuat turun dari internet kepada benda alah ini yang terdiri daripada gambar-gambar ulamak semasa,nasyid-nasyid perjuangan islam,bacaan ayat suci Al-quran oleh para qari yang suaranya bisa membuatkan burung berhenti terbang serta klip-klip video teladan..segala puji bagi Allah,hasil pengumpulanku selama ini..

 

Apabila daku dilanda kebosanan atau semangatku untuk belajar hilang dan pudar warnanya,pasti aku akan menatap gambar-gambar ulamak semasa yang terkenal dari seluruh pelusuk dunia,dan dengan izin Allah,semangatku untuk belajar akan serta merta naik dan hilang terus unsur kebosanan dalam diri,kerana diriku akan berkata-kata dengan sendirinya: wahai sang pejuang,tidak kepinginkah dirimu ingin menjadi seperti mereka??lihatlah wajah-wajah mereka yang tersenyum padamu mengatakan supaya bangkit dan terus bangkit mencari ilmu demi agamamu yang tunggu dinaikkan kembali maruahnya serta demi mencari keredhaan tuhanmu yang hakiki jua…

 

Dan juga sebelum diriku mencari lena(dan allah jua yang memberi lena) pasti aku akan mencari earphonenya dan disumbat pada telinga menikmati lagu-lagu yang berentak perjuangan mencari ilmu,menegakkan islam serta motivasi kepada kehidupan…sebagai dodoian ku mengharungi malam..dan boleh juga sebagai pengganti si ibu mendodoikan anak terunanya ini…pastilah diriku akan semakin bersemangat dan terus kembali bersemangat serta akan mengingatkan kepada diriku akan lambaian perjuangan yang tunggu disambut lambaianya..

 

Ia juga cukup berjasa besar pada merekod pengajian-pengajian ilmu oleh para syeikh yang aku hadiri,segala puji bagi Allah yang memberikan kesenangan kepada manusia hasil campakkan ilham kepada hambaNya,lalu,setelah direkod,senang untuk daku dengar kembali ucapan mereka sebagai langkah tidak mahu tertinggal walau sebutir butiran mutiara yang dikurniakan Allah kepada mereka..

 

Oleh itu,cubalah mencari penaik semangatmu yang terkadang hilang,terkadang pudar itu,minta dinaikkan kembali,dan juga menjadi kepada pengingat segala cita-citamu supaya tidak dilupakan,dan lagi satu,cubalah jadikan segala harta benda atas dunia ini sebagai pemangkin kita mencapai kebahagiaan kita di akhirat kelak,supaya tidaklah diri kita akan terlalu menyayanginya,serta tidaklah semacam menjadikan kehidupan dunia ini seperti alam yang segalanya atau alam yang kekalnya ia…dunia ialah tempat kita menyemai,menanam serta membaja..dan akhiratlah tempat kita mengutip hasil tuainya..

 

YA ALLAH,TETAPKANLAH CITA-CITA MURNI KAMI MENJADI IMPIAN KAMI,TETAPKANLAH HATI-HATI KAMI PADA JALANMU,YA ALLAH,BERIKANLAH HATI KAMI GHAIRAH MENCARI REDHAMU..

 

hiduplah perjuangan islam selamanya!! takbir!!

Read Full Post »

fikir-fikirkan lah….

ulamak.jpg

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani,selawat dan salam kepada baginda nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam serta kaum keluarga baginda yang berketurunan mulia…

Segala puji bagi Allah,yang mencampakkan fitrah rasa bertuhan didalam sanubari setiap manusia,dan fitrah itu diakui selayaknya memegang kebenaranya oleh yang beriman ataupun yang tidak beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman..

Perasan tak bahawa insan-insan yang akhirnya memeluk islam tidaklah sebelum itu dengan hanya ber goyang kaki sahaja kerja mereka?jika disoroti kisah mereka sebelum memeluk islam pastilah mereka akan mengatakan bahawa mereka membuat suatu kajian yang amat terperinci sehinggalah dapat dikurniakan Allah suatu perasaan yang mengakui dengan tunduk dan rasa rendah diri bahawa ALLAH dengan selayaknya memegang ‘title’ tuhan yang selayaknya untuk disembah,dan akhirnya,mereka mengakui bahawa sememangnya hak kebenaran inilah yang berhak dijunjung tinggi…

Bagaimanakah mereka dapat dikurniakan perasaan yang sebegitu rupa?tentu sahajalah mereka mengkaji,bertanya,menganalisis,berfikir dan terus berfikir sehinggalah dapat dipandu perahan fikiran mereka itu dengan hidayah Allah yang cukup mengasyikkan jiwa…dan sudah tentulah mereka semua ini insan-insan yang bijak kerana menggunakan dengan baik aqal yang dikurniakan oleh Allah demi mencari suatu kebenaran yang hakiki…

Dan selepas sudah beriman pula,Allah tetapkan pula keimanan mereka itu dengan sebenar-benar rasa beriman yang amat kukuh tanpa bergoyah walau sedikit pun,demi kerana mereka mendahulukan keimanan mereka itu dengan kajian demi kajian untuk mencari suatu kebenaran,berlainan dengan orang yang mengaku beriman,tetapi beriman hasil dari warisan kaum keluarga yang terdahulu,tanpa dapat merasakan aliran iman itu mengalir didalam jiwa sanubarinya..maka senang sahajalah goyahan untuk tumbang bila-bila masa…maka,tidak hairanlah insan-insan yang baru memeluk islam itu lebih hebat nilai keimanan mereka berbanding insan-insan yang islam hasil warisan kaum keluarga yang terdahulu..

Maka kuncinya hanyalah sahaja: mengkaji dan mengkaji dan sentiasa berfikir terhadap sesuatu sebelum menerimanya,agar perkara yang bakal dijadikan pegangan nanti bertetapanya ia secara kuat dan kukuh didalam jiwa.

“Barangsiapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah(petunjuk),dia akan membukakan dadanya untuk menerima islam,dan barangsiapa yang dikehendakiNya menjadi sesat,dia akan dijadikan dadanya sempit dan sesak,seakan-akan dia sedang mendaki ke langit,demikianlah Allah menimpakan siksa kepada oarang-orang yang tidak beiman”(surah Al-Anaam:125)

“Dan katakanlah wahai Muhammad,kebenaran itu datangnya dari tuhanmu,barangsiapa mengkehendaki beriman,hendaklah ia beriman,dan barangsiapa yang mengkehendaki kekafiran,biarlah dia kafir….”(surah Al-Kahfi:29)

Ketika dahulu,daku pernah mengamalkan sesuatu sebelum cuba-cuba untuk melelapkan mata,iaitu cuba-cuba juga untuk berfikir-fikir tentang segala perkara,seperti kejadian alam ini,hakikat segala pertukaran alam ini seperti,kejadian siang dan malam,pertukaran cuaca dan musim..juga perangai-perangai manusia sekeliling ku,serta terbayangkan bahawa tidaklah suatu kebetulan itu bakal terjadi melainkan hanya adanya suatu kuasa besar yang merancangnya dan menyusun nya..dan amalan ini daku rasakan amat berkesan dalam membantu menajamkan aqal fikir manusia ..haa..apa kata cuba..

sekian,hiduplah jua perjuangan islam ini hendaknya!!!!

Read Full Post »

WAHAI USTAZKU..

NangisDengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani hamba-hambanya,selawat dan salam kepada nabi besar junjungan,kerana dengan usaha beliaulah dapat kita merasai nikmat agama benar ini..

Alhamdulilah,dengan izin allah,tahun ini daku sudahpun menjejaki tahun kedua untuk semester yang ketiga di bumi morocco ini,dan dihidangi pula dengan matapelajaran yang tersangat menarik hatiku ini,sungguh,daku dapat rasakan kepuasanya jauh ke dalam lubuk hatiku ini,terima kasih Allah atas kurniaan ini..

Ustazku yang mulia,Muhammad Asy-Shath rahimahullah taala namanya,sebelum ini tiadalah daku berasa minat dengan kelasnya,demi kerana percakapan beliau dengan bahasa pasar mereka dengan tuturan yang amat pekat juga ku rasakan,susah amat ingin menangkap setiap butiran maksud beliau itu,beliau mengajarku mata pelajaran Al-Aqidah Minal Quran..tua amat orangnya,alhamdulilah,sudah menjangkau 80 tahun umurnya..

Tadi,aku dapat rasakan ‘penangan’ beliau,maha suci Allah,percakapan beliau di dalam kelas tadi sungguh menyentuh hatiku,hiba amat ku rasakan,terasa genangan airmata yang dikurniakan Allah untuk mengalir,beliau berbicara tentang kebesaran Allah dengan cara yang cukup berkesan,terasa amat kerdil,hina dina,keji,tidak berharga diriku ini pabila memikirkan kembali kata-kata beliau itu..

“Iza aamanal insanu billahi,falyakun labiiban,wala yukhlithu iimanahu bilkufri”
Bermaksud: Jika berimanlah manusia itu dengan Allah Taala,maka akan jadi bijaklah ia,dan tidak pula akan bercampur aduk keimananya itu dengan unsur kekafiran..

Beliau membawakan kepada kami potongan bait syair ini untuk ditatapi,orang yang sudahpun beriman dengan Allah,maka bijaklah dia,kerana?? kerana tidaklah dia menjadikan keimananya itu sama tarafnya dengan iman orang yang Kafir..

Orang yang mengaku sudahpun beriman tetapi meminta pula pertolongan dengan selaiNya,kuburan orang yang diangap suci,juga kepada manusia lain yang dapat memberikan rasa takut dan kagum kepada diri si peminta(yang bodoh),apakah mereka ini bijak?? sekejap…orang Kafir meminta pertolongan kepada selain Allah,orang yang mengaku sudah beriman juga meminta kepada selain Allah,erm..sama tak??bijak ke??

“Dan janganlah engkau menyembah sesuatu yang tidak memberi manfaat dan tidak pula memberi bencana kepadamu selain Allah,jika engkau lakukan yang demikian,maka sesunguhnya engkau termasuk orang-orang yang zalim, dan jika Allah menimpakan sesuatu bencana kepadamu,maka tidak ada yang dapat menghilangkanya kecuali Dia,dan jika Allah mengkehendaki kebaikkan bagi kamu maka tidak ada yang dapat menolak kurnianya,dia memberikan kebaikkan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki diantara hamba-hambaNya yang maha pengampun dan maha penyanyang(surah Yunus:106 dan 107)

YA ALLAH,PADA ENGKAULAH KAMI MENYEMBAH DAN PADA ENGKAU SAHAJALAH AKAN KAMI MEMINTA PERTOLONGAN…

hiduplah perjuangan islam selamanya!!

Read Full Post »

Older Posts »