Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…
Alhamdulilah,segala puji hanyalah bagi Allah tuhan sekalian alam…
Apakah Bahasa Arab itu bahasa ahli syurga??
Ketika daku di alam pengajian di bumi Maghribi sana,daku pernah bertanyakan soalan sebegini di hadapan guruku yang mulia As-Syeikh Al-Fadhil Sidi Abdul Qaadir Abdus Salam Karkish At-Tetouani hafizahullahu taala,seusai sahaja pengajian kitab Alfiah Ibnu Malek dengan beliau,soalan ini daku utarakan :
“Ya syeikh,apakah ahli syurga nanti akan bercakap sesama mereka di dalam bahasa arab?? Apakah ianya di kira bahasa ahli syurga”?? daku bertanya
“Wahai Daud,dikau berikan aku satu hadith sahih yang jelas lagi nyata yang menyatakan bahawa bahasa arab merupakan bahasa ahli syurga,sememangnya ada hadith tersebut tetapi ketahuilah bahawa hadith itu terlalu lemah dari hukum sanadnya bahkan ada yang menghukumnya sebagai palsu!! Oleh itu,tiadalah sebarang dalil yang boleh menyatakan bahawa bahasa arab merupakan bahasa syurga,dan jangan mendakwa perkara sedemikian di hadapan manusia lain” guruku menjawab..
Sepanjang pembelajaranku di sekolah agama rendah hinggalah daku menginjak ke alam sekolah menengah agama,doktrin inilah yang disuapkan kepadaku,iaitu : Bahasa Arab adalah bahasa syurga!!
Hanyalah ilmu,hanyalah ilmu yang dapat membebaskan manusia daripada belenggu hanya mengikut cakap-cakap orang kepada hakikat perkara yang sebenar,sememangnya ada “hadith” tersebut :
أحبوا العرب لثلاث لأني عربي ، والقرآن عربي ، وكلام أهل الجنة عربي
Maksud : Cintailah kalian bangsa arab itu kerana tiga perkara : Kerana daku berbangsa arab,dan Al-Quran itu diturunkan di dalam bahasa arab,dan percakapan ahli syurga itu bahasa arab (Riwayat At-Thobrani di dalam Al-Ausath,Al-Hakim dan Al-Baihaqi di dalam Syu’abul Iman)
Ada lagi..
عَن جابر : أن النَّبِيّ صلى الله عليه وسلم ، قَالَ : إذا ذلت العرب ذل الإسلام.
Maksud : Daripada Jabir : Sesungguhnya nabi sallallahu alaihi wassalam bersabda : Jika terhinanya bangsa arab,maka akan terhinalah agama islam
Tetapi sayangnya,para ulamak hadith menghukumkan hadith ini palsu!!
Di dalam kitab ‘Ilalul Hadith oleh Ibnu Abi Hatim Ar-Razi ketikamana beliau bertanyakan bapanya tentang status hadith tersebut,beliau telah mendengar bapanya berkata : hadith ini hadith yang dibohongkan (rujuk : ‘Ilalul Hadith oleh Ibnu Abi Hatim,hadith bernombor 2641,juz : 2,m/s : 376)
Dan di dalam kitab Al-Fawaiedul Maudhu’ah fil Ahaditsil Maudhu’ah oleh Mar’i Bin Yusouf mengatakan bahawa hadith ini tersangat dhoief (rujuk : Al-Fawaiedul Maudhu’ah fil Ahaditsil Maudhu’ah juz :1,m/s : 141 hadith bernombor 202)
Berkatanya Imam Az-Zahbi bahawa beliau merasakan hadith ini palsu,begitu juga Ibnu Hibban yang sependapat dengan beliau (rujuk : Asnal Matholib fi Ahaditsa Mukhtalifatil Maratib oleh Muhammad ibnu Darwisy Al-Huut juz: 1 m/s : 41)
Manakala jika diambil daripada pendapat pakar hadith yang ulung dari tanah Albania pula iaitu As-Syeikh Nasiruddin Albani mengatakan bahawa hadith ini juga palsu (rujuk : Sohihun wad Dhoi’eful Jaami’es Soghir oleh Syeikh Nasaruddin Albani bab : 1186,juz : 4 m/s : 208)
Jika dirujuk di dalam kitab Majma’uz Zawaied Wa Manba’ul Fawaied oleh Al-Haitsami mengatakan bahawa di dalam hadith ini terdapatnya seorang perawi yang bernama Al-‘Alak Ibn ‘Amr Al-Hanafi yang mana kata beliau telah bersepakatnya para ulama’ hadith akan kedhoiefanya (rujuk : Majma’uz Zawaied Wa Manba’ul Fawaied juz : 10,m/s : 25)
Dan berkatanya Al-‘Aqiliy bahawa hadith ini munkar dan tiada asal pula baginya (rujuk : Al-AAliul Masnu’ah Fil Ahaditsil Maudhu’ah oleh Imam Jalaluddin As-Suyuthi juz: 1,m/s : 404)
Mari kita dengar apa pula komen dari Al-Imam Ibnu Taimiyah rahimahullahu taala tentang hadith ini :
“Berkatanya Al-Hafiz As-Salafi : bahawa hadith ini hasan,dan tidaklah aku tahu samada beliau bermaksud hasan dari segi sanadnya yang mengikut kefahaman para ahli hadith atau pun ianya bermaksud hasan dari segi matanya (teksnya) yang mengikut isthilah ilmu hadith yang umum,dan Ibnu Al-Jauzi telah meletakkan hadith ini di dalam Al-Maudhu’aatnya dan telah berkata : Berkatanya Ats-Tsa’labi : hadith ini tiada asalnya,dan berkata pula Ibnu Hibban : di dalam hadith ini seorang perawi yang bernama Yahya Bin Zaid telah meriwayatkan hadith ini secara terbalik,maka terbatallah hadith ini untuk dijadikan sebagai hujjah,wallahu a’lam” (rujuk : Iqtidho’us Siratil Mustaqim juz : 1,m/s : 158)
Dan beliau menambah lagi di dalam sebuah kitabnya yang lain :
“Beliau telah ditanya tentang bahasa apakah yang akan dipertuturkan oleh manusia di hari kiamat kelak? Apakah mereka akan bertutur di dalam bahasa arab? Dan apakah benar ada yang mengatakan bahawa bahasa ahli neraka adalah bahasa parsi dan bahasa ahli syurga pula ialah bahasa arab??
Beliau menjawab : Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam,sesungguhnya tidaklah dapat diketahui tentang bahasa apakah yang akan dipertuturkan oleh manusia pada hari itu,dan juga tiadanya sebarang bahasa yang boleh didengari oleh manusia daripada utusan Allah kelak,kerana Allah tidak menyatakan langsung tentang perkara sedemikian kepada kita,begitu juga baginda nabi tidak memberitahu kita tentang perkara tersebut,dan tidaklah benar bahawa bahasa ahli neraka kelak ialah bahasa parsi begitu juga bahasa arab merupakan bahasa ahli syurga yang abadi,bahkan kita tidak mengetahui pun terdapatnya khabar tentang percanggahan para sahabat tentang hal itu,bahkan mereka tidak mencampuri pun urusan tersebut,tetapi telah terjadinya khilaf (percanggahan pendapat) di kalangan para ulama’ zaman ini,ada yang berkata mereka akan bercakap bahasa arab kecuali ahli neraka kerana mereka akan bercakap di dalam bahasa parsi,ada juga yang berkata bahawa mereka akan bercakap dengan bahasa Suryaani kerana ianya bahasa Nabi Adam alaihis salam dan kesemua bahasa yang wujud pada hari ini adalah bersumberkan daripada bahasa tersebut,ketahuilah bahawa kesemua pendapat ini adalah tidak boleh dijadikan hujjah langsung kerana ianya tidak bersumber daripada jalan naqal (Al-Quran dan As-Sunnah) juga jalan aqal bahkan kesemuanya ini tidak didasari langsung dengann dalil-dalil daripada Allah Subhanahu Wa Taala,wallahu a’lam” (rujuk : Majmu’ul Fatawa,juz : 4,m/s : 299)
Oleh itu jelaslah wahai kawan-kawan,kata-kata selama ini yang mengatakan bahawa bahasa arab ialah bahasa syurga adalah terbatal dan tertolak kerana kata-kata tersebut bersumberkan daripada sebuah hadith yang dihukumkan oleh para ulama’ hadith sebagai palsu!! bahkan “hadith” ini juga boleh dihidu ketidaksahihanya kerana ianya seolah-olah membawa maksud seruan kepada perkauman yang mana sudah banyak aku lihat para penulis blog yang suka menyeru kepada kehebatan kaumnya dengan berdalilkan “hadith” ini,ada apa dengan hal perkauman ini ya? haaa..tunggu kerana daku akan cuba tuliskan sebuah cerita tentang seruan kebangsaan,yang ini hanyalah muqaddimah,wallahu a’lam…
HIDUPLAH PERJUANGAN ISLAM SELAMANYA!!
Berkata Al Hakim, Syaikhul Muhaddisin (Wafat 405 H) dalam Al MUstadrak Ala As Sohihain, bahawa hadis yang diriwayatkan oleh Yahya bin Yazid daripada Ibnu Jurai :
أحبوا العرب لثلاث لأني عربي ، والقرآن عربي ، وكلام أهل الجنة عربي
adalah sahih. (juzuk : 16, hlmn : 321, no hadis : 7100)
Jadi, memang benarlah bahasa arab adalah bahasa syurga. Terima kasih sudi berkongsi ilmu