Suapan:
Kiriman
Komentar

Arkib bagi Bulan November 2012

SEBAB PARA FUQAHA’ KHILAF DALAM HUKUM

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…

Alhamdulillah segala puji hanyalah bagi Allah…

 

Di antara sebab perbezaan pandangan para fuqaha’ adalah seperti berikut :

  1. Pemahaman teks-teks Al-Quran dan As-Sunnah yang pelbagai, di mana sememangnya manusia akan berselisih pendapat di dalam memahami sesuatu perkara, ada ulama’ yang memahami keduanya secara tekstual (pemahaman zahir) dan ada juga ulama’ yang memahami keduanya secara kontekstual (menyelami maksud sebenar teks) dan kedua dua jenis pemahaman sebegini telah pun berlaku di zaman baginda nabi lagi, apabila baginda bersabda ketika peperangan Ahzab :

 

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bersolat Asar di Bani Quraizah” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Maka apabila hari semakin senja dan matahari hampir tenggelam, para sahabat berselisih pandangan sesama mereka, ada yang kata nabi maksudkan ialah agar kita percepatkan perjalanan agar dapat bersolat Asar di Bani Quraizah, dan ada juga sahabat yang berkata : Tidak! Nabi mengatakan kita mesti bersolat Asar di Bani Quraizah, kami hanya akan bersolat Asar apabila sudah sampai di sana walaupun matahari sudah pun tenggelam! Apabila perkara ini dikhabarkan kepada baginda nabi, baginda sedikit pun tidak memarahi mana-mana pihak sahabat, bahkan nabi mengakui ijtihad setiap sahabat, maka di sinilah di antara sebab khilaf.

 

  1. Sikap manusia ada yang bersifat keras dan ada yang bersifat lembut, ini merupakan sifat semulajadi manusia, Ibnu Umar berbeza dengan Ibnu Abbas, jika Ibnu Umar berpandangan berwudhuk mesti memasukkan sedikit air ke dalam mata maka Ibnu Abbas berpandangan perkara demikian bukanlah suatu kemestian sehingga butalah mata Ibnu Umar atas perbuatan tersebut, Jika Ibnu Umar enggan memeluk anak-anaknya kerana khuatir air liur mereka akan terkena pakaianya maka Ibnu Abbas pula memeluk anak-anaknya dan mengatakan air liur mereka ialah wangian bunga yang dicium, maka di sini juga menjelaskan di antara sebab perselisihan pendapat.

 

  1. Bahasa, bahasa boleh menjadi sebab perbezaan pandangan, contoh :

 

“Perempuan-perempuan yang ditalaq hendaklah menunggu sehingga tiga kali quru’ “ (Al-Baqarah : 228)

 

Perkataan quru’ boleh membawa maksud yang banyak, ada yang kata ia bermaksud haidh, dan ada yang berkata suci, maka di sinilah perbezaan berlaku.

 

Begitu juga pada ayat : “…atau kalian menyentuh perempuan” (Al-Maidah : 6) ada yang berpandangan makna sentuh itu makna yang hakiki dan ada pula yang kata maknanya secara perumpamaan, Ibnu Umar mengatakan maknanya ialah menyentuh dengan tangan dan Ibnu Abbas pula mengatakan maknanya ialah perumpamaan kepada jima’ (persetubuhan) dan bukanya sentuhan tangan.

 

  1. Penerimaan sebahagian ulama’ terhadap riwayat sebahagian perawi dan penolakkan mereka terhadap sebahagian yang lain.

 

  1. Dalil-dalil yang digunakan oleh para ulama’ di dalam membina hukum, ada yang memakai Amalu Ahli Madinah, ada yang kuat memakai Qiyas dan Istihsan dalam membina hukum, ada juga yang memakai hadith Mursal dan ada yang menolak, dan begitulah seterusnya.

 

Bagi yang boleh membaca bahan-bahan di dalam bahasa arab, disarankan membaca buku-buku tentang khilaf seperti : “Al-Insaf Fi Asbabil Ikhtilaf” oleh Ad-Dahlawi, “Asbabu Ikhtilafil Ulama’” oleh Syeikh Ali Al-Khafif, “As-Sohwatul Islamiah Bainal Ikhtilafil Masyru’ Wat Tafarruqil Mazmum” oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.

 

Di antara rahmat Allah terhadap ummah ini ialah Allah memberikan keluasan terhadap pandangan feqh itu sendiri dengan menerima kepelbagaian pemahaman manusia, ada hukum yang sesuai pada sesuatu keadaan tetapi tidak sesuai pada keadaan yang lain, bahkan ada juga pandangan sesetengah sahabat yang dikeluarkan ditarik balik disebabkan baru mengetahui sesuatu yang bukan pengetahuanya atau merasakan tidak sesuai digunakan pada sesuatu keadaan.

 

Maka perbezaan pandangan terhadap perkara bersifat ranting adalah diharuskan dan adalah agak mustahil manusia sependapat di dalam perkara sebegini.

 

Persoalanya sekarang, apakah hukum mengikut mazhab-mazhab sebegini?

 

Ada yang kata ia berhukum wajib mengikuti mazhab-mazhab feqh yang ada iaitu pandangan Ibrahim Al-Laqqani di dalam kitabnya Jauharatut Tauhid…

 

Bermazhab Syafiey kata : Wajib ikut Imam Syafiey! Bermazhab Maliki kata : Wajib ikut Imam Malik Bin Anas, Bermazhab Hanafi kata : Wajib ikut Imam Abu Hanifah dan bermazhab Hanbali kata : Wajib ikut Imam Ahmad Bin Hanbal!

 

Bahkan ada yang berkata : Wajib ikut kata-kata imam ikutanya dan haram mengikuti kata-kata selainya!! Imam Ibnu Taimiyah berkata : orang yang berkata sebegini mesti bertaubat jika tidak dia dibunuh! Cuba kalian lihat kata-kata Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah tentang menolak pandangan wajib taqlid sebegini di dalam I’lamul Muwaqqi’iin, yang mana beliau menyenaraikan sebanyak 50 sebab kesalahan berbuat sedemikian!

 

Oleh itu bagi sesiapa yang belum boleh menilai nas-nas hukum berbekalkan ilmu-ilmu alat untuk menggunakanya sebagai hukum yang dipegangi maka dia diharuskan mengikuti mana-mana imam yang disukainya yang mana imam tersebut sudah sampai taraf mujtahid, manakala yang sudah mampu hasil pengajianya terhadap ilmu-ilmu alat secara konsisten maka dia diharuskan berijtihad juga.

 

Apakah baginda nabi ada melakukan perkara-perkara yang menjadi perselisihan para ulama’ feqh?

 

Ya, kerana terdapat di dalam banyak hadith-hadith baginda yang diriwayatkan menyatakan beberapa sahabat melihat sendiri perbuatan baginda terhadap sesuatu ibadat tetapi terdapat juga sebahagian sahabat melihat perbuatan tersebut tidak sama seperti yang dilihatnya atau dia tidak pernah melihat baginda melakukanya tetapi ada sahabat pernah melihatnya. Contohnya seperti azan, ada yang mengatakan lafaz Allahu Akbar itu perlu dilaungkan sebanyak dua kali sahaja dan ada yang mengatakan empat kali, kedua-duanya ada riwayat, maka Imam Malik mengatakan dua kali manakala yang lain mengatakan empat kali. Begitu juga Tarji’ di dalam azan iaitu menyebut lafaz-lafaz azan dengan suara yang perlahan sebelum melaungkanya, kerana ada riwayat tentang hal demikian, maka ada ulama’ yang mengambilnya dan ada yang tidak.

 

Begitu juga dengan membaca basmalah secara kuat ketika membaca Al-Fatihah, ada riwayat yang kata nabi pernah membacanya dengan kuat dan ada juga riwayat mengatakan nabi tidak pernah melakukanya! Maka kemungkinan baginda membacanya secara kuat pada sesetengah waktu adalah untuk mengajarkan para ma’mum tentang bacaanya, Imam Ibnu Taimiyah mengatakan : Harus hukumnya meninggalkan perkara yang afdhal di dalam perkara ibadat dengan bertujuan untuk menyatukan hati-hati manusia sepertimana baginda nabi tidak membina kaabah di bahagian maqam Ibrahim alahissalam kerana khuatir manusia akan lari daripada islam sewaktu kaum Quraish masih baru-baru lagi memeluk islam, sepertimana yang telah dinyatakan Imam Ahmad, begitu juga pada bacaan basmalah tadi dan solat witir yang dilakukan secara bersambung dengan satu salam, yang mana semua perbuatan tadi adalah perubahan daripada melakukan afdhal (yang paling baik dilakukan) kepada harus dilakukan dengan maksud menjaga penyatuan ummah dan mengajar sunnah.

 

Bagaimanakah boleh berlaku sesuatu hukum itu menjadi wajib pada sesetengah imam tetapi boleh menjadi makruh pula pada imam yang lain pada perkara-perkara ibadat contohnya?

Perkara sebegini adalah agak jarang berlaku contohnya seperti : Membaca Al-Fatihah di belakang imam adalah wajib bagi makmum pada Mazhab Syafiey pada setiap jenis solat samada secara jelas (Subuh, Maghrib dan Isyak) atau secara perlahan (Zohor dan Asar) manakala Mazhab Hanafi memandang bacaan tersebut sebagai Makruh.

 

Tetapi ada juga pandangan yang bersifat pertengahan, iaitu bacaan dibolehkan pada solat yang dibaca perlahan kerana makmum tidak mendengar bacaan imam dan apabila solat bacaan jelas maka makmum patut diam kerana bacaan tersebut didengari makmum berdasarkan hadith sahih riwayat Muslim :

وإذا قرأ فأنصتوا

 

Bermaksud : Jika dibacakan (Al-Quran) hendaklah kalian diam

 

 

Apakah boleh mengikuti mazhab feqh yang lain selain empat mazhab yang masyhur? Apakah boleh terus menggunakan dalil Al-Quran dan As-Sunnah tanpa bermazhab?

 

Ya, boleh mengikuti mazhab feqh yang lain selain mazhab empat yang masyhur..dan boleh juga memakai terus dalil-dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah tetapi jika dia mampu berbuat demikian yang mana sekiranya dia sudah mampu berijtihad dan mengkaji serta membuat perbandingan, mampu mengeluarkan hukum daripada nas-nas yang ada serta mampu menilai pandangan yang paling kuat dan lebih dekat kepada isi Al-Quran dan As-Sunnah, dia boleh merujuk kepada para ulama’ feqh yang suka mencari hukum dengan membuat suai-banding dan perbandingan seperti Imam Ibnu Daqiq Al-‘Aid, Imam Ibnu Taimiyah, Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, Imam As-Son’aani, Imam As-Syaukani dan selain mereka, bahkan dia berhak memilih pandangan mana-mana ulama’ yang lebih dekat dengan jiwanya.

 

Tentang kata-kata yang mengatakan bahawa pintu ijtihad telah tertutup adalah merupakan kata-kata yang ditolak kerana tidak didasari oleh sebarang dalil daripada Al-Quran, As-Sunnah dan Ijmak para ulama’, berkatanya para ulama’ mazhab Hanbali :

 

“Adalah sesuatu yang tidak mungkin suatu zaman itu mengalami ketiadaan mufti yang mampu berijtihad berdasarkan dalil-dalil, adalah tidak mustahil Allah boleh mengurniakan kemampuan untuk berijtihad kepada mana-mana hambaNya”

 

Bahkan pada zaman ini adalah lebih senang lagi berbekalkan kemajuan teknologi seperti komputer dan sebagainya (Rujuk : Al-Ijtihad Fis Syariatil Islamiah oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi)

 

Manakala bagi sesiapa yang masih belum menguasai ilmu bahasa arab dengan baik, ilmu Al-Quran dan ilmu As-Sunnah, perkara-perkara berkaitan Ijmak dan Khilaf, qaedah-qaedah qiyas, feqh dan Taarudh Wat Tarjih dan pelbagai lagi ilmu-ilmu asas ijtihad, maka adalah wajib dia bertanyakan orang yang lebih tahu.

 

Bagaimana pula seseorang itu mencampur adukkan pelbagai mazhab? Bolehkah?

 

Inilah yang dinamakan sebagai Talfiq..Talfiq ini ada ulama’ yang mengharuskanya dan ada yang melarang, hukumnya adalah jika seseorang melakukan talfiq dengan tujuan untuk mencari-cari hukum yang paling mudah bagi dirinya atau yang paling dekat dengan hawa nafsunya tanpa didasari sebarang dalil maka perbuatan sebegini adalah tidak dibolehkan, disebabkan itu berkatanya para ulama’ salaf : Sesiapa yang mencari-cari yang senang untuk dirinya maka dia adalah fasiq!

 

Contohnya dia berpegang dengan pandangan salah satu mazhab disebabkan dia nampak pandangan tersebut menyenangkan dirinya, seperti memakai pandangan Mazhab Hanafi yang memberikan Syuf’ah kepada jiran berdekatan jikalau jiran tersebut ingin menyewa untuk dirinya sendiri, jikalau pandangan mazhab itu tidak relevan untuk dirinya dia akan mengambil pandangan mazhab lain yang lebih memberi untung untuk dirinya. Maka ini lah dia contoh mempermainkan agama untuk kepentingan diri sendiri, oleh itu seorang islam yang beriman hendaklah dia sentiasa cuba untuk berada di dalam kebenaran samada kebenaran tersebut menuruti nafsunya atau tidak, sepertimana Allah nyatakan di dalam Al-Quran :

 

“Dan (di antara orang-orang yang tidak dikehendakiNya ke jalan yang lurus ialah) mereka yang berkata: “Kami beriman kepada Allah dan kepada RasulNya serta kami taat”; kemudian sepuak dari mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah dan Rasul) sesudah pengakuan itu, dan (kerana berpalingnya) tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman

 

Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta sepuak dari mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka).

 

Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukumnya)” (An-Nur : 47-49)

 

Orang sebegini Allah sifatkan mereka dengan :

 

“Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit (kufur), atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman), ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka).” (An-Nur : 50)

 

Tetapi jika seorang islam itu mengikuti pandangan mazhab lain berdasarkan apa yang dia nampak lebih mendekati kepada kebenaran dari sudut Al-Quran dan As-Sunnah, dan apa yang lebih dekat dengan hati nuraninya maka adalah tidak mengapa jika dia memakai pandangan Mazhab Hanafi yang mengatakan tidak batal wudhuk jika menyentuh tangan perempuan ajnabiah dan memakai pandangan Mazhab Syafiey yang mengatakan tidak batal solat seseorang yang mengalir darah di badanya dan memakai pandangan Mazhab Maliki yang mengatakan air muthlaq sekali-kali tidak akan menjadi najis selagimana tidak berlaku perubahan yang mana pemilihan yang dibuat adalah berdasarkan dalil-dalil yang ada. Maka anda sendiri berhak menentukanya berdasarkan ilmu yang ada tanpa sebarang kecenderungan hawa nafsu.

 

Wallahu a’lam.

 

Daud Bin Dalib At-Tetouani

10:18 PM Pejabat Taman Maju

20 November 2012

 

* Kebanyakkan isi artikel diambil dan diolah sendiri daripada link :

 

http://qaradawi.net/fatawaahkam/30/6318-2012-11-13-07-57-50.html

Baca Kiriman Penuh »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers